MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Adab Tetamu Berkunjung Ke Rumah



Apabila kamu masuk rumah seseorang jadilah kamu seorang buta dan apabila kamu keluar daripadanya maka jadilah kamu seorang yang bisu.. (pergi rumah orang jangan tengok aib ahli rumah, keluar rumah tu jangan cerita aib orang rumah tu).


Jagalah kemuliaan saudara yang kita ziarah dan kunjungi..


Bersama ini dikongsikan antara adab tetamu berkunjung/datang ke rumah seseorang dan lazimnya suasana semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri:-


1) Memilih waktu yang sesuai untuk ziarah. Elakkan bertandang pada waktu yang kebiasaannya orang belum bersedia ataupun masa untuk berehat dan tidur. Seeloknya hubungi terlebih dahulu untuk dapatkan persetujuan supaya tetamu dan tuan rumah berada dalam keadaan yang selesa.


2) Jika ada buah tangan sebagai hadiah kepada tuan rumah, itu lebih baik. Perlakuan tersebut boleh menyuburkan lagi rasa kasih dan sayang.


3) Menjamah hidangan yang dijamu oleh tuan rumah. Kalaulah hidangan tersebut tidak menepati selera kita, jangan sama sekali bercakap tentang makanan tersebut tidak sedap atau sebagainya yang mungkin boleh mengguris hati tuan rumah.


4) Mendoakan tuan rumah.


5) Tidak singgah atau tinggal terlalu lama sehingga menyebabkan tuan rumah tidak selesa dengan kehadiran tetamu atau dikhuatiri mengganggu perancangan awal tuan rumah.


6) Jika ada dalam kalangan ahli keluarga kita terdiri dalam golongan OKU, maka seeloknya dimaklumkan terlebih dahulu agar tuan rumah dapat memahami. Mohon maaf sejak dari awal lagi sekiranya kehadiran kita bersamanya boleh mengganggu tuan rumah.


Justeru, sama ada kita menjadi tetamu atau menerima tetamu, masing-masing kena saling memahami dan meraikan adab-adab yang dianjurkan.


Ingatlah, amalan ziarah-menziarahi akan menjadi satu budaya indah yang menghiasi kehidupan sesebuah masyarakat. Bahkan, amalan itu boleh menjadi menjadi asbab untuk manusia mengecap nikmat syurga.


Kredit: JAKIM & Ustaz Abd Razak Muthalib merupakan Perunding Latihan dan Motivasi, Akademi Magnet Sukses.

Post a Comment

0 Comments