Amalan menziarahi kubur menjadi kelaziman setiap masyarakat muslim pada pagi Hari Raya Aidilfitri.
Ibn Majah meriwayatkan dengan sanad yang sahih sabda Nabi SAW:
كنت نهيتكم عن زيارة القبور، فزوروا القبور فانها تزهد في الدنيا وتذكر الأخرة
Maksudnya: "Adalah aku dahulunya menghalang kamu daripasa menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahilah kubur, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat."
Riwayat Ibn Majah
Berikut dikongsikan adab-adab menziarahi kubur.
1. Sebelum menziarahi kubur, disunatkan kita berwudhu, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.
2. Apabila kita sampai ke tanah perkuburan, disunatkan kita memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur dengan iringan doa, antaranya:
Assalamualaikum sekalian saudara-saudara penghuni kubur! Mudah-mudahan Allah melimpahkan kesejahteraan kepada kamu saudara-saudara sekalian. Sesungguhnya kami In sya Allah akan menyusuli kamu, kami memohon kepada Allah untuk kita semua yang masih hidup dan yang sudah kembali ke rahmatullah akan beroleh kesejahteraan.
3. Tidak berbual dengan percakapan kosong yang tidak berfaedah semasa berada di tanah perkuburan.
4. Haram melakukan perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah dengan harapan semoga memperolehi berkat dan sebagainya.
5. Sunat duduk menghadap ke arah mukanya serta membaca ayat suci Al-Qur’an seperti membaca surah Al-Ikhlas atau membaca surah Yaasin dan menghadiahkan pahala kepada ahli kubur tersebut.
6. Sunat menghadap kiblat ketika berdoa semoga Allah mengampuni dosa dan melimpahkan rahmat ke atas roh ahli kubur.
Dengan menziarahi kubur sudah pasti akan membawa keinsafan dan juga semangat untuk beribadat bagi persiapan menuju alam akhirat.
Sumber/Kredit: http://www.kheu.gov.bn/Lists/Khutbah/NewDisplayItem.aspx?ID=762&fbclid=IwAR1Jtqecp9YieLsNPwYh6b8t-te56QWeaGlOaaV9t54W0Ra_7uKk3MPo2sQ
0 Comments