MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Definisi, Jenis-Jenis & Syarat Wajib Zakat

 


DEFINISI ZAKAT

Zakat merupakan satu amalan yang dapat menyucikan diri dan harta yang dimiliki. Ianya merupakan salah satu rukun islam yang lima. Dalil kefardhuan ibadah zakat ini di antaranya adalah berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud;

 

وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

 

“Dan tunaikanlah solat dan laksanakanlah zakat; serta taatilah Rasul; nescaya kamu beroleh rahmat”.

(Surah An-Nur 24:56)

 

PENGERTIAN ZAKAT MENURUT BAHASA

Zakat dari segi bahasa bererti bersih, suci, subur, berkat dan berkembang. Apabila seseorang itu berzakat, dia sebenarnya telah membersihkan harta yang dimiliki. Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

 

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡ صَدَقَةٗ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٞ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

 

“Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat), agar dengan demikian akan membersihkan (harta) dan mensucikan (hati) mereka serta doakanlah mereka, kerana doamu itu akan membawa ketenangan untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Lagi Maha Mengetahui”.

(Surah At-Taubah 9:103)

 

PENGERTIAN ZAKAT MENURUT SYARAK

Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian (kadar tertentu) daripada harta tertentu untuk diberikan kepada asnaf-asnaf tertentu yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh syarak.

 

KEWAJIBAN BERZAKAT

Pensyariatan zakat berlaku pada tahun kedua Hijrah seiring dengan pensyariatan puasa. Perintah berzakat yang disebut di dalam Al-quran adalah sebanyak 35 kali dan 32 diantaranya digandungkan dengan kata “solat”. Contohnya Firman Allah S.W.T;

 

وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱرۡكَعُواْ مَعَ ٱلرَّٰكِعِينَ

 

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk”.

(Surah Al-Baqarah 2:43)

Dengan demikian, perintah wajib berzakat adalah sama seperti perintah menunaikan solat. Selain itu, zakat juga merupakan rukun islam yang ketiga dari lima rukun islam. Hal ini disebut dalam sabda Nabi S.A.W;

 

بُنِىَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

“lslam itu terbina atas lima perkara: bersaksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan”.

(Riwayat Bukhari & Muslim)


SYARAT WAJIB ZAKAT

Setiap individu yang ingin menunaikan zakat mestilah memenuhi syarat-syarat wajib zakat, sebagaimana berikut :

Islam. Zakat diwajibkan hanya kepada orang Islam sahaja;

Merdeka. Individu yang bebas merdeka dalam menguasai sesuatu pemilikan harta;

Sempurna Milik. Harta yang dimiliki sepenuhnya dengan sempurna. Bagi harta berkongsi dengan bukan islam, hanya pemilikan bahagian orang islam sahaja yang diambil kira di dalam pengiraan zakat;

Cukup Nisab. Nisab adalah paras minima yang menentukan sama ada sesuatu harta itu diwajibkan zakat, iaitu bersamaan dengan 85 gram nilai emas semasa; dan

Cukup Haul. Genap tempoh setahun bagi pemilikan harta tersebut. 354 hari bagi kalendar tahun Hijrah dan 365 hari bagi kalendar tahun Masihi.


JENIS-JENIS ZAKAT

1. Zakat Pendapatan

Terdapat dua kaedah mengira zakat pendapatan iaitu:

5% atas semua pendapatan setelah ditolak had kifayah dan tolakan yang dibenarkan.

5% atas semua pendapatan kasar.


2. Zakat Perniagaan

2.5% atas aset semasa bersih yang diselaraskan.

 

3. Zakat Simpanan

2.5% atas baki terendah dan melibihi nisab yang tersimpan selama setahun setelah ditolak faedah.

 

4. Zakat Saham

2.5% atas harga semasa (nilai pasaran) semua saham yang dimiliki pada hujung haul dan keuntungan tunai pada sepanjang haul yang diambil oleh pelabur.

 

5. Zakat KWSP

Sebelum mencapai umur 55 tahun (pemilikan belum sempurna)

2.5% dari jumlah pengeluaran KWSP adalah jumlah wajib zakat.Jumlah pengeluaran tidak mengira samada mencapai nisab. Jika jumlah pengeluaran KWSP dibawah nisab, hendaklah dicampurkan bersama pendapatan lain.

Setelah mencapai umur 55 tahun (pemilikan sempurna)

2.5% atas keseluruhan wang KWSP dizakatkan seperti kaedah zakat simpanan.

Dengan itu,tiada lagi tolakan caruman KWSP pada taksiran zakat pendapatan untuk yang masih bekerja dan membuat caruman KWSP

 

6. Zakat Emas

Emas perhiasan wanita ialah emas yang digunakan sebagai perhiasan di badan. Kiraan zakat emas perhiasan ini adalah 2.5% atas lebihan daripada uruf. Kadar semasa untuk uruf emas perhiasan (yang dikecualikan zakat) ialah 800 gram.

Emas bukan perhiasan ialah emas yang selain daripada perhiasan wanita yang dipakai di badan sama ada dalam bentuk mata wang simpanan, galian, peralatan rumah dan sebagainya. Kiraan zakat emas bukan perhiasan adalah 2.5% atas keseluruhan nilai emas, jika melebihi nisab 85 gram.


7. Zakat Perak

2.5% atas perak yang dipakai atau disimpan sama ada menyamai atau melebihi 595 gram yang mengikut harga semasa.



Kredit: Pemilik Asal

Post a Comment

0 Comments