MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Ayam Berkokok Sebab Nampak Malaikat?



HADITH AYAM BERKOKOK SEBAB NAMPAK MALAIKAT?


Hadith yang menyebutkan tentang ini adalah hadith sahih. Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari & Muslim tanpa lafaz di malam hari.


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الْحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا


"Jika kalian mendengar suara ayam berkokok, maka mohonlah kepada Allah kurniaanNya kerana ketika itu ayam itu sedang melihat malaikat dan jika kalian mendengar suara keledai mohonlah perlindungan kepada Allah kerana ketika itu keldai itu sedang melihat syaitan" [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]


Yang dimaksudkan disini adalah ketika di waktu pertengahan malam atau waktu 2/3 malam. Lafaz dimalam hari (seperti di dalam poster) disebutkan di dalam Musnad Ahmad.


Waktu ayam berkokok kebiasaannya adalah waktu tengah malam atau 2/3 malam. Ia merupakan waktu yang afdhal untuk beribadah ( e.g solat tahajjud, solat taubat, baca Al-Quran atau ibadah lainnya) dan waktu itu jugalah Nabi bangun daripada tidur.


Seorang tabi'in bernama Masruq Al-Ajda' pernah bertanya kepada isteri Nabi, Aisyah radhiallahu 'anha, bilakah waktu Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bangun dari tidur?


Aisyah berkata:


كَانَ يَقُومُ إِذَا سَمِعَ الصَّارِخَ

"Baginda bangun apabila mendengar bunyi teriakan (ayam berkokok)."


Ibn Hajar Al-Asqalani menjelaskan dalam Fath Al-Bari:


"Yang dimaksudkan dengan teriakan itu ialah ayam berkokok kerana kebiasaannya ayam jantan berkokok pada separuh malam..." [Fath Al-Bari 3/17]


Ayam berkokok di awal pagi kerana melihat para malaikat turun ke dunia untuk menyaksikan hambaNya yang beribadah.


Kata Imam Al-Qadhi Iyadh:


"Ianya adalah faktor mengharap kepada para malaikat untuk ta'min (mengaminkan) kepada doanya (yakni doa orang yang berdoa ketika itu), istighfarnya dan menjadi saksi keatas keikhlasannya beribadah di malam hari..."

[Syarh An-Nawawi 'ala Muslim 17/46]


Kokokan ayam pada zaman dahulu atau di sebahagian tempat ketika ini seperti di kawasan kampung berfungsi sebagai "jam loceng" untuk bangun pagi.


Walaupun fungsi ayam itu tidak ada lagi di sebahagian tempat seperti kawasan bandar raya, tapi rahmat Allah dan turunnya para malaikat pada waktu separuh malam hingga ke subuh itu masih ada.


Ibadah di malam hari itu kerana turunnya malaikat dan rahmat, bukan kerana bunyi ayam berkokok.


Wallahua'lam.


Ad-Dien Abdul Kadir

Gambar: Pinterest

Post a Comment

0 Comments