MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Makmum Terputus Mendengar Suara Imam Ketika Solat

 


SOALAN


Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, jika kita terputus daripada mendengar suara imam ketika sedang solat berjemaah, apakah yang perlu dilakukan? Jika solat tersebut merupakan solat Jumaat dan makmum memilih untuk mufaraqah daripada imam, adakah perlu diganti dengan solat Zohor dengan ditambah dua rakaat atau bagaimana?


Mohon penjelasan. Terima kasih.


RINGKASAN JAWAPAN


Jika terdapat cara lain yang membolehkan makmum mengetahui pergerakan imam seperti melihat kepada saf di hadapannya yang bersambung sehingga kepada saf paling hampir dengan imam atau dengan mendengar suara orang perantara yang menyampaikan suara imam (mubaligh), maka hendaklah makmum meneruskan solat seperti biasa.


Walau bagaimana, jika tiada cara untuk mengetahui pergerakan imam seperti berada di luar masjid atau sebagainya, maka makmum tersebut dibolehkan untuk berniat berpisah (mufaraqah) daripada berjemaah bersama imam dan kemudian solat secara bersendirian. Namun begitu, sebaiknya hendaklah menunggu sebentar dan memastikan bahawa sudah tiada cara untuk berjemaah bersama imam sebelum mufaraqah kerana boleh jadi keadaan tersebut cuma seketika sahaja.


Manakala bagi permasalahan solat Jumaat pula, jika makmum sempat mendapat satu rakaat solat bersama imam sebelum mufaraqah maka makmum hendaklah menyempurnakan solat sebagai solat Jumaat. Adapun jika tidak sempat maka hendaklah menyempurnakan solatnya sebagai solat Zohor.


WaAllahu a’lam.


Sumber/Kredit: muftiwp.gov.my

Post a Comment

0 Comments