Tidak mampu bayar bil, Tahfiz Quran al-Bukhari bakal bergelap | 26 Ogos 2021
PASIR PUTEH: Sebuah pusat tahfiz di sini bakal bergelap kerana bekalan elektrik dipotong dalam masa terdekat kerana gagal menjelaskan tunggakan bil RM2,537 manakala bil air mencecah RM1,087.
Realiti pahit itu dihadapi Pusat Tahfiz Quran al-Bukhari Tok Bali di sini, yang menaungi 25 pelajar dan dua guru, ekoran tabungannya ‘kering’ kesan ketiadaan bantuan dan sumbangan orang ramai sejak pandemik melanda negara.
Mudirnya, Khaharizal Abdullah memberitahu Utusan Malaysia, setakat ini, para pelajar tidak mengeluh walaupun menjalani kehidupan amat sederhana kerana faham pihak pengurusan terpaksa berjimat-cermat supaya institusi dibina sejak 25 tahun itu dapat terus bertahan.
“Soal makan kami boleh tahan dengan cara berpuasa. Namun belum sampai ke tahap ikat perut kerana masih ada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan makanan. Paling tidak, dalam bentuk beras dan gula.
“Untuk lauk pauk kami terpaksa mencari sumber kewangan lain. Sekali sekala, ada nelayan yang bermurah hati sedekahkan ikan segar untuk alas perut anak-anak tahfiz ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Selain anak tempatan, para pelajar pusat tahfiz tersebut berasal dari Terengganu, Selangor, Melaka, Kemboja dan Vietnam dengan rata-rata mereka mempunyai latar belakang keluarga susah dan sederhana.
Khaharizal berkata, beliau sudah memaklumkan kepada anak-anak tahfiz agar berjimat cermat menggunakan eletrik dan air bagi mengurangkan beban kosnya iaitu sekitar RM700 sebulan untuk elektrik sahaja.
“Sekarang gaji dua guru pun dibayar separuh sahaja iaitu RM750 sebulan. Hendak bayar lebih di luar kemampuan kerana pusat ini tidak mengenakan yuran kepada pelajar, sebaliknya bergantung atas ihsan ibu bapa yang mahu menyumbang mengikut kemampuan.
Seorang pelajar, Mohd. Lut Rosbi, 24, bersyukur dapat belajar secara percuma selama lapan tahun di pusat tahfiz tersebut dan kini dia mampu menghafal 20 juzuk al-Quran selain mendalami pengajian kitab Turath.
“Bukan tidak mahu menyumbang atau membayar yuran, tetapi saya juga anak yatim yang dikekang kemiskinan keluarga. Alhamdulillah saya membesar dengan baik dan terbela di sini,” ujarnya. – UTUSAN ONINE
.
Sumber :
.......
Ingin Menyumbang?
(Akaun semasa MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN AL-BUKHARI)
Maybank :
553083204131
Bank Islam :
03018010101982
Bank Rakyat :
1101174489
MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN AL-BUKHARI.
Kota Sri Balqis, Lebuhraya Tok Bali, Semerak. 16700 Pasir Puteh, KELANTAN.
http://maahadtahfizulquranalbukhari.com/
#KempenDermaDenganIkhlas
0 Comments