Allah swt beri 10 panduan yang penting untuk kita amalkan ketika menggunakan media sosial.
1. BERSABAR ketikamana berinteraksi dengan media sosial. Jangan tergesa-gesa mencipta persepsi dan kenyataan yang tergantung, sabar dahulu sehingga orang yang autoriti menjawab.
2. JANGAN MENGHINA orang lain ketika bersosial media, tidak kira menghina tubuhnya kah atau sifatnya. Adakah kita cukup sempurna sehingga sanggup menghina orang lain?
3. SELIDIKI dahulu apa-apa berita atau kenyataan yang kita terima, samada di 'news feed' atau di 'thread'. Kaji dan tambahkan pembacaan lagi sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan, agar kita tidak terpalit dosa 'fitnah' pada orang lain.
4. JANGAN MENGGELAR orang lain dengan gelaran yang buruk dan mengaibkannya, contoh seperti "wei pak malaun (orang yang dilaknat) !" Tidak salah menggelar orang lain, tapi pastikan dengan gelaran yang baik-baik dan kita faham apa maksudnya.
5. DAMAIKAN pertelingkahan diantara kita dengan saudara yang lain. Elakkan status kita berbaur perpecahan dan pertelingkahan sepertimana segelintir kita 'mengapi-apikan' individu, gerakan, bentuk pemikiran atau apa sahaja maklumat yang 'mengoda' kita untuk berpihak. Lupakah kita bahawa setiap muslim itu adalah bersaudara?
6. JAUHI BANYAK BURUK SANGKA pada orang lain. Baru baca sekerat kenyataan seseorang, terus kita sangka dia begitu dan begini. Ingat ! Banyaknya prasangka buruk itu boleh membawa padah dan dosa.
7. BERLAKU ADILLAH ketikamana membaca sesuatu isu atau kontroversi. Walaupun kita ada pendirian peribadi, tetapi tetaplah berlaku adil atas sebab kebenaran diutamakan bukannya emosi diutamakan.
8. JANGAN MENGINTIP atau mencari-cari kesalahan orang lain yang telah ditutup, lalu mengeluarkan kenyataan yang memalukan pemiliknya. Seperti yang dilakukan segelintir dari kita, 'screenshot' di profile apa aktiviti seseorang itu lalu dimalukannya. Lupakah kita Nabi saw menyebutkan "orang yang curi-curi tengok isi rumah orang lain itu diberi peluang mencungkil mata orang tersebut? Ini menunjukkan dosa mengintip rahsia orang lain ini adalah dosa yang berat !.
9. JANGAN MENCEMUH ATAU MERENDAHKAN sesuatu puak atau kelompok manusia yang lain. Boleh jadi mereka lebih mulia dan baik berbanding kita. Situasi ini sepertimana segelintir dari kita sekarang saling mencemuh melalui penulisan samada melibatkan hal kumpulan mahupun individu.
10. JANGAN MENGUMPAT orang lain, lebih-lebih lagi melalui penulisan kita. Sudahlah kita mengintip aib orang lain lepastu mengumpat pula dia, tidak takutkah kita muflis di akhirat?Ringkasan intipati Surah al-Hujurat
Kita sedar bahawa di akhirat nanti, tangan-tangan kita akan menjadi saksi, maka fikir dahulu sebelum menaip. Sedangkan ketika bercakap pun, Nabi saw nasihatkan agar bercakap yang baik-baik sahaja, begitu juga dengan penulisan di media sosial ini.
0 Comments