MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Kelebihan Puasa Enam

 


Hukum puasa enam

Di sana terdapat perselisihan antara mazhab feqah mengenai puasa enam. Ada yang mencadangkan supaya berpuasa enam dilaksanakan di penghujung bulan Syawal dan ada yang mencadangkan supaya ia dilakukan berpisah-pisah tidak berturut turut selama 6 hari.

 

Walau bagaimanapun Mazhab Syafie menghukumnya sebagai sunat sepanjang Syawal, sama ada berturut ataupun berpisah. Dalam permasalahan ini, Imam Nawawi R.A menyimpulkan di dalam syarahnya bagi Hadis Shahih Muslim mengatakan;

 

قال أصحابنا: والأفضل أن تصام الستة متوالية عقب يوم الفطر، فإن فرقها أو أخرها عن أوائل شوال إلى أواخره حصلت فضيلة المتابعة لأنه يصدق أنه أتبعه ستاً من شوال، قال العلماء : وإنما كان ذلك كصيام الدهر لأن الحسنة بعشر أمثالها، فرمضان بعشر أشهر والستة بشهرين

 

“Ulamak Mazhab Syafie menyatakan: Yang paling afdhal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Aidil Fitri, jika sekiranya tidak berturut-turut, (misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal) atau melewatkannya hingga ke hujung bulan, maka itu juga turut mendapat fadhilat al-Mutaba‘ah (puasa yang mengiringi) kerana ia benar-benar berniat untuk menyambung enam hari di Bulan Syawal. Ulamak berkata: Dan amalan ini bersamaan berpuasa selama setahun kerana setiap kebaikan itu akan diganjari 10 kali ganda, maka puasa Ramadan bersamaan 10 bulan, dan 6 hari Syawal bersamaan 2 bulan.”

 

Kelebihan Puasa Enam

Berpuasa selama setahun

Nabi S.A.W bersabda;

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.”

(Riwayat Imam Muslim)

 

Bahkan hal ini juga telah dihuraikan oleh Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim yang telah dinyatakan tadi. Ganjaran berpuasa setahun adalah ganjaran yang luar biasa, apatah lagi dari sudut kemampuan umat akhir zaman.

 

Pelengkap amalan fardhu

Puasa enam merupakan puasa sunat yang mempunyai kelebihan yang besar. Kita sentiasa berharap agar amalan-amalan sunat kita boleh menjadi pelengkap kepada amalan-amalan fardhu yang terkurang, sepertimana Hadis Qudsi:


إنَّ أوَّلَ ما يحاسبُ النَّاسُ بِه يومَ القيامةِ من أعمالِهمُ الصَّلاة قالَ يقولُ ربُّنا جلَّ وعزَّ لملائِكتِه وَهوَ أعلمُ انظروا في صلاةِ عبدي أتمَّها أم نقصَها فإن كانت تامَّةً كتبت لَه تامَّةً وإن كانَ انتقصَ منها شيئًا قالَ انظُروا هل لعبدي من تطوُّعٍ فإن كانَ لَه تطوُّعٌ قالَ أتمُّوا لعبدي فريضتَه من تطوُّعِه ثمَّ تؤخذُ الأعمالُ علَى ذاكُم

“Sesungguhnya amalan pertama yang dihitung bagi manusia di Hari Kiamat ialah solat. Baginda S.A.W bersabda, Allah S.W.T berfirman kepada para malaikat-Nya sedang Dia lebih mengetahui: Lihatlah pada solat hamba-Ku ini adakah ia telah disempurnakan atau masih ada kurang? Sekiranya sudah sempurna, tulislah sempurna. Sekiranya masih ada kurang, FirmanNya: Lihatlah adakah ada pada hamba-Ku itu amalan-amalan sunat. Sekiranya ada, FirmanNya: Sempurnakanlah bagi hamba-Ku itu amalan fardhunya dengan amalan sunatnya, kemudian dikira amalan-amalan dalam keadaan itu.”

(Riwayat al Hakim)

 

Menguatkan hubungan dengan Allah S.W.T:

Dalam satu Hadis Qudsi, Allah S.W.T berfirman;


وما تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبدي بِشيءٍ أحبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عليهِ، وما زالَ عَبدي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حتى أُحِبَّهُ، فإذا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الذي يسمعُ بهِ، و بَصَرَهُ الذي يُبْصِرُ بهِ، و يَدَهُ التي يَبْطِشُ بِها، و رِجْلَهُ التي يَمْشِي بِها، و إنْ سألَنِي لأُعْطِيَنَّهُ، ولَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ


“Dan tidaklah seorang hamba bertaqarrub (mendekatkan diri dengan beribadah) kepada-Ku dengan sesuatu, yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Ku-wajibkan kepadanya, dan senantiasalah hamba-Ku (konsisten) bertaqarrub kepada-Ku dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya; bila Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengarannya yang digunakannya untuk mendengar, dan penglihatannya yang digunakannya untuk melihat dan tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakannya untuk berjalan; jika dia meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberikannya, dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku pasti Aku akan melindunginya.”

(Riwayat al Bukhari)

 

 Diganjari syurga

Sepertimana yang kita ketahui puasa itu meningkatkan daya takwa seseorang. Ketakwaan inilah menjadi laluan ke syurga sepertimana Firman-Nya;

 

وَسِيقَ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ إِلَى الْجَنَّةِ زُمَرًا حَتَّى إِذَا جَاءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلَامٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَادْخُلُوهَا خَالِدِينَ

“Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk).”

(az Zumar: 73) 

 

Masuk syurga melalui pintu ar-Rayyan

Syurga mempunyai beberapa pintu, pintu bagi mereka yang rajin berpuasa ialah pintu ar-Rayyan sepertimana Hadis Nabi S.A.W;

 

مَن أَنفَقَ زوجَينِ في سبيلِ اللهِ، نودِيَ من أبوابِ الجنةِ: يا عبدَ اللهِ هذا خيرٌ، فمَن كان من أهلِ الصلاةِ دُعِيَ من بابِ الصلاةِ، ومَن كان من أهلِ الجهادِ دُعِيَ من بابِ الجهادِ، ومَن كان من أهلِ الصيامِ دُعِيَ من بابِ الرَّيَّانِ، ومَن كان من أهلِ الصدقةِ دُعِيَ من بابِ الصدقةِ . قال أبو بكر رضي الله عنه : بأبي انت وأمي يا رسول الله ما على من دعي من تلك الأبواب من ضرورة ، فهل يدعى أحد من تلك الأبواب كلها؟ قال : نعم وأرجو تكون منهم.

“Sesiapa yang membelanjakan harta di jalan Allah, dia akan dipanggil daripada pintu syurga: Wahai hamba Allah ini adalah kebaikan untukmu. Sesiapa yang sentiasa mendirikan solat, dipanggil daripada pintu solat. Sesiapa yang berjihad, dipanggil daripada pintu jihad. Sesiapa yang berpuasa, dipanggil daripada pintu ar-Rayyan. Sesiapa yang bersedekah, dipanggil daripada pintu sedekah. Saidina Abu Bakar R.A berkata: Demi ibu dan ayahku wahai Rasulullah S.A.W. Mereka yang dipanggil daripada pintu-pintu tersebut tidak lagi memerlukan kepada apa-apa. Apakah akan ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu. Jawab Baginda S.A.W: Ada, aku mengharapkan engkau termasuk di kalangan mereka.”

(Muttafaqun Alaih)

 

 Kredit: Harakahdaily

 

Post a Comment

0 Comments