Work From Home (WFH) atau disebut juga sebagai Bekerja Dari Rumah (BDR) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)/ Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)/ Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri & Syarikat GLC/Swasta bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 antara usaha yang berkesan, namun memberi kesan kepada penyampaian dan cara bekerja, mencetuskan pro dan kontra sistem Bekerja Dari Rumah (BDR).
Berikut disenaraikan beberapa kebaikan dan kelemahan sistem BDR.
Kebaikan Bekerja Dari Rumah (BDR):-
1. Masa bekerja dapat dioptimumkan
BDR dapat mengoptimumkan masa berkerja dan dilakukan dalam ruang yang kecil seperti melalui bilik secara berseorangan tanpa perlu memikirkan untuk keluar rehat makan bersama rakan sekerja. Ruang tempat kerja di rumah yang kecil/sederhana sudah memadai. Berkerja dan sambil makan tengahari boleh dilakukan serentak serta tidak memerlukan banyak pergerakan hal ini menyebabkan masa digunakan secara optimum untuk berkerja memudahkan pekerjaan dilakukan pada bila-bila masa. Sama ada pada siang hari atau malam hari.
2. Dapat mengelakkan kesesakan lalulintas
Lazimnya penggunaan kenderaan sebagai kemudahan para pekerja untuk ke pejabat/premis perniagaan. Umumnya waktu pagi dan petang adalah waktu puncak para pekerja/majikan pergi ke pejabat/premis perniagaan dan kesesakan lalulintas tidak dapat dielakkan serta banyak masa dihabiskan dalam perjalanan ke pejabat/premis perniagaan. BDR dapat menjimatkan masa dan kos pembayaran tol di sesetengah negeri dan tidak perlu menghadapi kesesakan lalulintas.
3. Masa bekerja fleksibel
Pengurusan masa bekerja dapat disusun atur (jadual) dengan fleksibel disamping menguruskan rumah tangga & anak-anak bersama pasangan bagi mereka yang telah berkahwin. Bagi yang belum berkahwin melakukan kerja mengikut kelapangan waktu tanpa mengabaikan keperluan kerja harian.
4. Dapat mengekang penularan Covid-19
BDR adalah cara yang sangat membantu dalam penularan wabak Covid-19 kerana pergerakan dapat dikawal dan masa lebih banyak dihabiskan bersama keluarga, dengan ini dapat mengelakkan perjumpaan/berkumpul/bersentuh dengan orang lain. Sekiranya pekerjaan di lakukan di pejabat sangat sukar mengawal penularan wabak ini kerana interaksi/komunikasi di antara rakan kerja tidak dapat di elak bagi keperluan kerja yang dilaksanakan.
5. Dapat meluangkan masa bersama keluarga
Pada masa ini lah masa banyak dihabiskan di rumah dan bersama keluarga, perhatian kepada anak-anak dapat diberikan dengan kerap, keperluan pendidikan anak-anak dapat dipenuhi sewajarnya, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan, melaksanakan pelbagai aktiviti bersama keluarga, penjagaan dan keselamatan anak-anak lebih terjamin jadi manfaatkanlah ia tanpa mengabaikan keperluan kerja harian yang diberikan oleh jabatan/agensi/syarikat.
6. Mencuba aktiviti yang baharu/ minat baharu
Pelbagai aktiviti atau minat baharu boleh dicuba semasa berada di rumah seperti memasak, bercucuk tanam, membuat kek, belajar kemahiran bertukang, belajar kemahiran mengendalikan aplikasi media melalui penggunaan computer dan telefon bimbit dalam memudahkan dan menyiapkan kerja yang diberikan. Semua aktiviti di atas boleh dilakukan di rumah tanpa mengabaikan keperluan kerja harian jabatan/agensi/syarikat.
7. Menjimatkan kos minyak kenderaan dan penyelenggaraan
BDR dapat mengurangkan penggunaan kenderaan untuk ke pejabat/premis perniagaan secara langsung dapat menjimatkan kos minyak harian & penyelenggaraan kenderaan untuk ke pejabat/premis perniagaan. Ada sesetengah jabatan/agensi/syarikat secara berjadual/bergilir pekerjanya/majikan ke pejabat/premis perniagaan namun ada juga sesetengah jabatan/agensi/syarikat melaksanakan kerja secara penuh semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)/ Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)/ Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) melalui rumah dengan bantuan alat bantu kerja yang mencukupi seperti computer/printer/internet.
Kelemahan Bekerja Dari Rumah (BDR):-
1. Ruang kerja yang terhad
BDR adalah di antara norma baharu yang diimplementasikan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Tidak semua pekerja mempunyai ruang rumah yang luas dan dapat menyediakan ruang tempat berkerja, namun kerana keperluan kerja harian bagi memastikan operasi jabatan/agensi/syarikat dapat disampaikan kepada orang awam/pelanggan memadai ruang yang kecil dan terhad disediakan di rumah mungkin di ruang tamu atau di bilik menyebabkan ketidakselesaan persekitaraan untuk berkerja kerana ruang yang terhad.
2. Kemudahan internet/VPN kurang memuaskan
Untuk mengakses sistem yang digunakan di pejabat seperti SAP MM, HRMIS, Sistem Jabatan, Sistem Syarikat, mencari maklumat dan email memerlukan internet. Tidak semua kawasan rumah atau perumahan di kampung-kampung mempunyai akses internet yang baik/laju terutamanya di pedalaman. Selain kos yang perlu ditanggung sendiri untuk reload data atau melanggan internet bagi pekerja yang menggunakan prepaid. Penggunaan VPN juga diperlukan sesetengah jabatan/agensi/syarikat untuk kebenaran mengakses sistem yang digunakan dan VPN ini lazimnya memerlukan data yang banyak/tinggi sekiranya data tidak mencukupi atau kelajuan internet tidak memuaskan menyebabkan kerja tidak dapat dilakukan dengan sebaiknya.
3. Tidak dapat fokus sepenuhnya
Di rumah semua keluarga berkumpul bersama, bagi keluarga yang mempunyai ramai anak-anak terutamanya yang masih kecil dan masih lagi dalam alam persekolahan pastinya tidak dapat focus sepenuhnya BDR kerana perlu melayani karenah/tingkah laku anak-anak, perlu memasak bagi menyediakan sarapan pagi & makanan tenghari, cuci pakaian, kemas rumah dan sebagainya aktiviti ini menyebabkan tidak dapat melakukan kerja dengan penumpuan sepenuhnya.
4. Pekerja tidak proaktif
Tidak dapat focus sepenuhnya menjadikan pekerja tidak proaktif kerana terdapat kekangan-kekangan dalam persekitaraan kerja melalui BDR. Pekerja hanya membuat tugasan berdasarkan rutin harian dan kemungkinan rutin harian tersebut bilangan kerja yang dilakukan berkurangan kerana bukan semua kerja boleh dilakukan di rumah.
5. Penyampaian kerja tidak optimum
Terdapat kekangan-kekangan seperti yang dinyatakan di atas membuatkan kerja tidak dapat di sampaikan dengan optimum.Saling hubungkait di antara satu jabatan/agensi/syarikat dengan jabatan/agensi/syarikat yang lain penyampaian kurang berkesan kerana tidak semua kerja boleh dilakukan melalui atas talian, ada kerja yang melibatkan komunikasi dua hala secara bersemuka seperti dokumentasi, menghantar borang permohonan dan seumpamanya.
6. Dokumen tidak dapat difailkan dan direkodkan dengan teratur
BDR membuatkan sukar untuk merekodkan dan memfailkan dokumen kerana fail – fail semua berada di pejabat & tidak semua jabatan/agensi/syarikat menggunakan sistem penyimpanan dokumen secara digital menyebabkan kemungkinan ada dokumen tercicir yang tidak dapat di failkan di sebabkan tempoh BDR dilaksanakan berbulan-bulan.
7. Kekurangan alat bantu kerja seperti computer/printer/mesin fotostat/fax
Komputer mungkin kebanyakan pekerja dibekalkan, namun tidak semua pekerja di rumah mempunyai printer/mesin fotostat/fax alat bantu kerja ini setiap hari digunakan di pejabat seperti mesin fotostat ketiadaan alat bantu kerja ini menyababkan kerja tidak dapat dilaksanakan dengan lancar.
8. Peningkatan kos bil elektrik
Pastinya BDR menyebabkan bil elektrik meningkat kerana penggunaan tenaga elektrik yang digunakan adalah lebih banyak seperti menggunakan computer dan mengecas telefon bimbit kerap bagi tujuan kerja-kerja pejabat semakin banyak tenaga yang digunakan semakin meningkat bil elektrik bulanan. Adalah lebih baiknya jabatan/agensi/syarikat memberikan pertambahan elaun bil elektrik/ elaun elektrik khas semasa PKP ini.
9. Peningkatan Kos Top Up reload telefon bimbit
Penggunaan internet semasa BDR adalah satu kemestian bagi menyelesaikan kerja dan berkomunikasi secara dalam talian seperti email, WhatsApp dan medium social bagi tujuan kerja yang diarahkan oleh jabatan/agensi/syarikat. Bagi mereka yang menggunakan prepaid perlu top up reload untuk melanggan internet dan ada baiknya jabatan/agensi/syarikat menyemak semula pemberian elaun bil telefon bimbit/ elaun telefon bimbit khas semasa PKP ini.
10. Rasa sunyi
BDR melakukan kerja tanpa rakan sekerja kemungkinan boleh mendatangkan kesunyian, kebiasaanya di tempat kerja kadang-kadang ada guruan dan pemberi semangat semasa berkerja mencorakkan suasana kerja yang tidak sunyi.
11. Suhu persekitaran bilik yang panas
Tidak semua pekerja mempunyai ruang bilik kerja di rumah yang selesa dan dilengkapi penghawa dingin/ kipas syiling menyebabkan tidak dapat menumpukan sepenuhnya kerja yang dilakukan seterusnya mengundang kepada tekanan/stress dalam keadaan ini.
Kesan daripada wabak Covid-19 ini mencetus kepada perubahan norma baharu dalam melaksanakan kerja dan rutin harian. Walaubagaimana pun kesannya dapat dilihat pada sudut baik dan kurang baik. Penjelasan di atas lebih kepada BDR waktu yang mencabar ini semua manusia mengharapkan pandemic Covid-19 ini mempunyai vaksin yang sesuai dan berakhir, agar semua aktiviti-aktiviti harian seperti pekerjaan, ibadah, sosial, sukan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya seperti sediakala, kerana sediakala itu adalah terbaik dan bersesuaian dengan lumrah manusia.
mywilayah.com
0 Comments