Balas Keburukan Dengan Kebaikan
عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي ذَوِي أَرْحَامٍ أَصِلُ وَيَقْطَعُونَ وَأَعْفُو وَيَظْلِمُونَ وَأُحْسِنُ وَيُسِيئُونَ أَفَأُكَافِئُهُمْ قَالَ لَا إِذًا تُتْرَكُونَ جَمِيعًا وَلَكِنْ خُذْ بِالْفَضْلِ وَصِلْهُمْ فَإِنَّهُ لَنْ يَزَالَ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ ظَهِيرٌ مَا كُنْتَ عَلَى ذَلِكَ
Daripada 'Amru bin Syu'aib dari bapanya dari datuknya, dia berkata; Seorang laki-laki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata; "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai sanak saudara, aku menyambung silaturahim tetapi mereka memutuskannya, aku memaafkan tetapi mereka berbuat zalim, aku berbuat baik tetapi mereka berbuat jahat, apakah aku harus membalas perbuatan mereka?" maka Baginda SAW menjawab: "Jangan engkau lakukan, dengan begitu bererti engkau tinggalkan mereka semua, tetapi ambillah kebaikannya dan sambunglah hubungan silaturahim dengan mereka, kerana sesungguhnya Allah akan sentiasa memberimu pertolongan selama engkau mampu konsisten begitu." (HR Ahmad No: 6648) Status: Isnad Hasan
Pengajaran:
1. Balaslah keburukan orang lain dengan kebaikan
2. Orang yang berusaha menghubungkan silaturahim dengan kerabat, memaafkan perbuatan orang yang menzaliminya, sentiasa berbuat baik kepada orang lain yang berbuat buruk padanya akan sentiasa mendapat pertolongan dari Allah
3. Segala amalan ikhlas daripada kita tetap akan mendapat ganjaran dan balasan kebaikan daripada Allah
4. Islam melarang pelaku buruk dibalas dengan keburukan. Walaupun orang lain memutuskan silaturahim, kita diperintah menghubungkannya. Orang berbuat aniaya serta kezaliman pada kita, kita sewajarnya memaafkan mereka.
5. Ibnu Abbas RA mengatakan: Allah memerintahkan pada orang beriman untuk bersabar ketika ada yang membuatnya marah, membalas dengan kebaikan jika ada yang buat jahil, dan memaafkan ketika ada yang buat keburukan. Orang yang melakukan seperti ini, Allah akan melindunginya dari gangguan syaitan dan akan menundukkan musuh-musuhnya. Malah yang bermusuh dengannya akan menjadi teman dekatnya kerana tingkah laku baik tersebut.
Dalam hubungan kita berkeluarga dan bermasyarakat, balaslah keburukan dengan kebaikan. Jadilah kita orang yang pemaaf dan penyambung kasih sayang khususnya yang ada kaitan dengan kekeluargaan dan kerabat.
@islamitu_indah
0 Comments