HUKUM BERI SALAM KEPADA KANAK-KANAK
SOALAN :
Saya hendak tanya pasal beri salam.
Adakah disunatkan juga beri salam kepada budak-budak kecil?
Jika kita bertemu seseorang dan beri salam kemudian selepas itu kita bertemu sekali lagi dalam jarak masa yang dekat adakah disunatkan lagi beri salam?
JAWAPAN :
Perintah memberi salam adalah umum tidak dikaitkan dengan usia yaitu disunatkan yang dewasa memberi salam ke atas kanak-kanak dan disunatkan ke atas kanak-kanak memberi salam ke atas yang dewasa atau sama kanak-kanak.
Telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى غِلْمَانٍ فَسَلَّمَ عَلَيْهِمْ
Artinya : “Sungguhnya Rasulullah saw telah lalu dekat beberapa orang kanak-kanak maka Rasulullah telah mengucapkan salam ke atas mereka.” (Hadith riwayat Muslim)
Berkenaan soalan kedua apabila seorang telah memberi salam atas seorang kemudian selepas berpisah darinya mereka berdua bertemu sekali lagi maka disunatkan pula memberi salam ke atasnya sekali pun dalam jarak waktu yang hampir.
Ada pun jika belum berpisah maka tidak disunatkan memberi salam berulang-ulang kali.
Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah saw bersabda :
إِذَا لَقِيَ أحَدُكُمْ أخاهُ فَلْيُسَلِّمْ عَلَيْهِ، فإنْ حالَتْ بَيْنَهُما شَجَرَة أوْ جِدَارٌ أوْ حَجَرٌ ثُمَّ لَقِيَهُ فَلْيُسَلِّمْ عَلَيْهِ
Artinya : “Apabila seorang kamu bertemu akan saudaranya maka hendaklah ia mengucapkan salam ke atasnya. Maka jika terlindung selepas itu antara keduanya oleh pokok atau dinding atau batu kemudian bertemu pula nescaya hendaklah memberi salam pula atasnya.” (Hadith riwyat Abu Daud)
KESIMPULAN
Disunatkan memberi salam ke atas kanak-kanak sebagaimana disunatkan ke atas orang dewasa sekali pun kanak-kanak itu tidak menjawabnya kerana mengikut perbuatan Rasulullah saw dan mendidiknya dengan membiasakan mendengar ucapan salam.
Jika telah memberi salam ke atas seseorang dan kemudian daripada ghaibnya lalu berjumpa sekali lagi nescaya disunatkan pula memberi salam dan begitulah seterusnya jika berjumpa lagi.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus
0 Comments