ZIARAH ORANG SAKIT BUKAN ISLAM
SOALAN :
Saya mempunyai seorang kawan bukan Islam yang sekarang sedang sakit.
Adakah harus orang Islam ziarah orang bukan Islam yang sakit?
JAWAPAN :
Bermula ziarah orang Islam yang sakit itu hukumnya adalah sunat manakala ziarah orang bukan Islam yang sakit pula hukumnya adalah harus.
Telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya :
أَنَّ غُلَامًا مِنَ اليَهُودِ كَانَ يَخدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ فَمَرِضَ ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ ، فَقَعَدَ عِندَ رَأسِهِ ، فَقَالَ : أَسلِم . فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِندَ رَأسِهِ ، فَقَالَ لَه : أَطِع أَبَا القَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ . فَأَسلَمَ ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ : الحَمدُ لِلَّهِ الذِي أَنقَذَهُ مِنَ النَّارِ
Artinya : “Bahawasanya seorang budak lelaki daripada yahudi adalah dia pernah bekerja dengan Nabi saw telah jatuh sakit. Lalu Nabi saw datang menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya. Maka Nabi saw berkata : Masuklah oleh mu ke dalam agama Islam. Kemudian budak yahudi itu menoleh kepada bapanya yang berada dekat kepalanya. Lalu bapanya berkata baginya : Patuhilah akan suruhan Nabi saw itu. Maka budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi saw keluar sambil berkata : Segala pujian itu bagi Allah yang telah melepaskannya dari api neraka.” (Hadith riwayat Bukhari)
Maka terjawab sudah bahawa harus hukumnya seorang Islam menziarahi orang bukan Islam yang sakit sebagaimana diharuskan menziarahinya ketika sihat.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus
0 Comments