MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Ucapan & Doa Sempena Kelahiran Anak

 


Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Saya ingin bertanya adakah di dalam Syariah terdapat ucapan atau doa khusus kepada sesiapa yang baru menimang cahaya mata? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

MaksudnyaDan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".

(Surah al-Ahqaf: 15)

Galakan mendoakan bayi yang baru dilahirkan

Perbuatan mendoakan bayi dan ibu bapa yang baru menimang cahaya mata ialah amalan yang baik dan memberikan contoh daripada Rasulullah ﷺ. Daripada Abu Hassan al-Asy’ari:

وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَمَّاهُ إِبْرَاهِيمَ، فَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ، وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ، وَدَفَعَهُ إِلَيَّ

Maksudnya: “Aku menimang anak lelaki lalu aku membawanya berjumpa Nabi  lalu baginda menamakannya Ibrahim, mentahnikkannya dengan buah tamar, dan mendoakan baginya keberkatan, lalu baginda menyerahkannya kembali kepadaku.”

Riwayat al-Bukhari (no.5467 )

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Adzkar (hlm. 289) dalam Bab Sunatnya Mengucapkan Tahniah dan Menjawabnya:

“Disunatkan untuk mengucapkan tahniah kepada orang yang menerima kelahiran. Berkata para Ashab kami (Syafieyyah): Disunatkan bagi seseorang untuk mengucapkan tahniah, berdasarkan riwayat yang datang daripada al-Husain RA (sebahagian ulama mengatakan al-Hassan bin Ali manakala sebahagian lain mengatakan dia al-Hassan al-Basri - Wallahua`lam – Pent.) bahawa beliau mengajar seseorang untuk mengucapkan tahniah dengan katanya: “Ucapkanlah!:

بَارَكَ اللهُ لَكَ فِي المَــوْهُوْبِ لَكَ، وشَكَرْتَ الوَاهِبَ، وبَلَغَ أَشُدَّهُ، وَرُزِقْتَ بِرَّهُ[1]

Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu dengan anugerah yang dikurniakan kepadamu, agar engkau mensyukuri Sang Maha Pemberi, semoga anak ini membesar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya, dan agar engkau direzekikan dengan anak itu berbuat baik kepada ibu bapanya.”

Kemudian, disunatkan orang yang diucapkan tahniah itu untuk membalas ucapan itu dengan:

بَارَكَ الله لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَزَاكَ الله خَيْرًا، وَرَزَقَكَ اللهُ مِثْلَهُ، أَوْ أَجْزَلَ اللهُ ثَوَابَك[2]

Maksudnya: “Semoga Allah memberkati keluargamu, memberkatimu kerana menjaga mereka, membalasmu dengan ganjaran kebaikan, dan memberikanmu rezeki seumpamanya.”

Atau diucapkan:

أَجْزَلَ اللهُ ثَوَابَكَ

Maksudnya: “Semoga Allah melipat gandakan pahalamu.”

Atau ucapan-ucapan seumpama itu.”

Rujuk juga al-Bayan fi Madzhab al-Imam al-Syafie (4/469) oleh Imam Yahya al-Imrani; Asna’ al-Matolib (1/550) oleh Syeikh Zakariyya al-Ansari ; Mughni al-Muhtaj (6/143) oleh imam al-Khatib asy al-Syarbini

Di dalam kitab al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (8/443), Imam al-Nawawi  menambah:

"Disunatkan juga membalas dengan:

رَزَقَك اللَّهُ مِثْلَهُ

Maksudnya: "Semoga Allah mengurniakan kamu rezeki seumpamanya."

atau:

أَحْسَنَ اللَّهُ ثَوَابَك وَجَزَاءَك

Maksudnya: “Semoga Allah memperelokkan pahalamu dan membalasmu dengan kebaikan.”

Berkata Imam Zainuddin al-Munawi:

"[wa baaraka alaika] yakni semoga engkau dimasukkan keberkatan kerana menanggung dirinya dan memudahkannya untuk engkau. Diulang amil bagi menunjukkan pertambahan dalam permintaan atau doa.”

Rujuk Faidh al-Qodir (1/316)

Berkata Imam Syihabuddin Ibn Ruslan dalam Syarh Sunan Abi Daud (9/445) ketika membahaskan ucapan yang sama bagi konteks pasangan yang baru bernikah:

“[Semoga Allah memberkati bagi] yakni isterimu  [dan memberkati] kerana isteri [ke atasmu] kerana sesungguhnya `ala yang menunjukkan tujuan isti`la (menunjukkan ketinggian) ialah isyarat kepada bahawa Allah menurunkan ke atasnya yakni suami keberkatan yang mempunyai makna yang lebih berbanding sebelumnya.”

Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani:

“Sabda Rasulullah ﷺ kepada Abdurrahman:  “بَارَكَ اللَّهُ لَكَ” dan kepada Jabir “بَارَكَ اللَّهُ عَلَيْكَ”. Sesungguhnya makna yang dimaksudkan dengan sabda pertama ialah pengkhususan keberkatan pada isterinya, manakala sabda kedua merangkumi keberkatan bagi dirinya jaudah yang bijak membuat keputusan apabila dia mendahulukan kebajikan adik beradik perempuannya berbanding kepentingan dirinya lalu memilih berdasarkan kepentingan mereka berbanding berkahwin dengan anak dara sedangkan anak dara itu lebih tinggi martabat di sisi orang muda yang ingin berkahwin berbanding janda, pada kebiasaannya.”

Rujuk Fath al-Bari (11/191)

Berkata Syeikh Abu al-Hassan al-Sindi:

“بارك الله لك" bermaksud semoga Allah memberkati isterimu kerana engkau manakala  "بارك عليك" dibolehkan mentakdirkan kalamnya menggunakan jalan ihtiyak yakni semoga Allah memberkatinya keranamu, dan semoga Allah memberkatimu kerananya.”

Rujuk Fath al-Wadud (2/449)

Dalam konteks pasangan yang menerima cahaya mata, apabila kita himpunkan huraian para ulama di atas, maksud doa di atas ialah permohonan keberkatan kepada Allah ﷻ ke atas anak yang baru dilahirkan, ke atas keluarga yang akan menjaganya, dan kepada orang yang mengucapkan doa tahniah serta keluarganya.

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, ucapan tahniah itu tidak terhad kepada ibu bapa sahaja bahkan kepada pihak yang berkait seperti adik beradik, sama seperti hukum takziah kepada keluarga. Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (9/376). Manakala dalam Hasyiah-nya, Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani mengatakan hukum sunat ini tetap terhasil dengan apa-apa doa kebaikan untuk ibu bapa dan anak.

Doa untuk kanak-kanak

Selain daripada doa untuk keberkatan bagi bayi yang baru dilahirkan, dan keluarganya seperti mana di atas, terdapat doa-doa lain yang turut digalakkan. Antaranya:

  • Dikatakan bahawa Aisyah R.Anha meriwayatkan daripada Rasulullah ﷺ mendoakan seorang kanak-kanak:

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ بَاسا [بَارًا] رَشِيدًا وَأَنْبِتْهُ فِي الإِسْلَامِ نَبَاتًا حَسَنًا

Maksudnya: "Ya Allah! Aku bermohon engkau jadikan anak ini anak yang baik, berani dan cergas, serta besarkanlah ia dalam Islam dengan baik."

Riwayat Abu Nu`aim (2/84) dalam Tarikh Asbahanial-Jami` al-Kabir (no.269) oleh Jalaluddin al-Suyuti; Musnad al-Firdaus (no.2064) oleh al-Dailami

  • Doa Hannah, ibu Saiyidatina Maryam alaihassalam, sewaktu beliau dilahirkan sebagai perlindungan dari syaitan seperti dalam Surah Ali Imran ayat 26.

 Untuk bayi lelaki, boleh dibaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أُعِيذُهُ بِكَ وَذُرِّيَّتَهُ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

 Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan untuknya dan zuriatnya daripada syaitan yang direjam”.

 Untuk bayi perempuan, boleh dibaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan untuknya dan zuriatnya daripada syaitan yang direjam”.

Ini berdasarkan hadis Abu Hurairah bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: «مَا مِنْ بَنِي آدَمَ مَوْلُودٌ إِلَّا يَمَسُّهُ الشَّيْطَانُ حِينَ يُولَدُ، فَيَسْتَهِلُّ صَارِخًا مِنْ مَسِّ الشَّيْطَانِ، غَيْرَ مَرْيَمَ وَابْنِهَا» ثُمَّ يَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ: {وَإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ} [آل عمران: 36] "

Maksudnya: “Tiada seorang pun daripada anak Adam yang dilahirkan melainkan dia disentuh oleh Syaitan saat dilahirkan, lalu dia berteriak kerana sentuhan Syaitan itu, selain Maryam dan anaknya.” Kemudian Abu Hurairah membacakan ayat 36 Surah Ali Imran:  Sesungguhnya aku memohon perlindungan untuknya dan zuriatnya daripada syaitan yang direjam”.

Riwayat al-Bukhari (no.3431) dam Muslim (no.2366 );

  • Doa Rasulullah ﷺ untuk cucu-cucunya, Saiyidina al-Hassan dan al-Hussein – alaihimassalam. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ pernah meminta perlindungan untuk al-Hasan dan al-Hussein dengan sabdanya:

إِنَّ أَبَاكُمَا كَانَ يُعَوِّذُ بِهَا إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya moyang kalian (yakni Nabi Ibrahim) pernah memohon perlindungan untuk (anaknya) Ismail dan Ishak (alaihimussalam): “Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah dari segala Syaitan, kesusahan, dan pandangan yang jahat."

Riwayat al-Bukhari (no.3371); dan Ibn Hibban (no.1012) dalam Sahih-nya

Untuk bayi lelaki, boleh dibaca:

أُعِيْذُهُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّآمَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَآمَّةٍ  وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَآمَّةٍ

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah dari segala Syaitan, kesusahan, dan pandangan yang jahat.”

Untuk bayi perempuan, boleh dibaca:

أُعِيْذُهَا بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّآمَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَآمَّةٍ  وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَآمَّةٍ

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah dari segala Syaitan, kesusahan, dan pandangan yang jahat.”

Semoga penjelasan ini memberikan jawapan kepada pihak yang bertanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ memakbulkan doa-doa kita dan menjadikan keluarga kita daripada kalangan orang-orang yang bertakwa.

 Nota hujung:

[1] Jika bayi itu perempuan ucapkanlah:

وبَلَغَ أَشُدَّهَا، وَرُزِقْتَ بِرَّهَا

[2] Jika orang yang diucapkan tahniah itu perempuan ucapkanlah:

بَارَكَ اللهُ لَكِ فِي المَــوْهُوْبِ لَكِ، وشَكَرْتِ الوَاهِبَ، وبَلَغَ أَشُدَّهُ، وَرُزِقْتِ بِرَّهُ

Atau diucapkan:

أَجْزَلَ اللهُ ثَوَابَكِ

Maksudnya: “Semoga Allah melipat gandakan pahalamu.”


Sumber: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4465-irsyad-al-fatwa-siri-ke-502-ucapan-doa-dan-tahniah-sempena-kelahiran-anak


Post a Comment

0 Comments