MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Othman bin Tolhah Pengendali Kunci Kaabah

 


Ketika Rasulullah SAW sedang duduk di Masjid al-Haram setelah membuka Kota Makkah, tiba-tiba Saidina Ali membawa kunci Kaabah ke hadapan Rasulullah. 


Beliau berkata kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, kurniakan kepada kami urusan mengendalikan kunci Kaabah bersama urusan melayan tetamunya."


Keluarga Nabi Muhammad SAW sebelum ini hanya menguruskan hal berkaitan tetamu yang bertandang ke Kota Makkah. Adapun hal berkaitan kunci Kaabah diuruskan oleh keluarga Bani Abdil Dar iaitu Othman bin Tolhah.


Maka Allah SWT menurunkan wahyu kepada Rasulullah SAW.


إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا


"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu melaksanakan hukum dalam kalangan manusia hendaklah menjalankannya dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan suruhan-Nya itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah al-Nisa': ayat 58)


Dengan turunnya wahyu itu, Rasulullah SAW menyerahkan kunci Kaabah kembali kepada Othman bin Tolhah RA.


Baginda SAW bersabda:


"Ambillah selama-lamanya, tidak boleh merampasnya daripada kamu melainkan oleh orang yang zalim."


"Wahai Othman, sesungguhnya Allah meminta supaya kamu memegang amanah memelihara rumah-Nya, maka makanlah daripada apa yang sampai kepada kamu daripada rumah ini dengan baik."


Peristiwa ini memberi kesan kepada iman yang sangat mendalam ke dalam lubuk hati Othman bin Tolhah RA. Hal ini kerana dia pernah berkasar terhadap Rasulullah SAW dengan tidak mengizinkan Baginda masuk ke dalam Kaabah ketika dia masih dalam jahiliah.


Dia menyangka hak memegang kunci Kaabah akan dirampas daripada keluarganya setelah Makkah ditawan tetapi keputusan daripada Allah adalah sebaliknya. 


Peristiwa ini meyakinkan Othman bin Tolhah bahawa Islam itu bukanlah ciptaan Muhammad SAW sebaliknya daripada Allah SWT.


Kuliah Jumaat, 9 Oktober 2020


Kridet : Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang, abdulhadi_awang Instagram



Post a Comment

0 Comments