MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Biodata Datuk Seri Hajiji Noor

 



Dilahirkan pada 10 Mei 1955 di Kg. Serusup, berasal dari keluarga petani dan nelayan bermusim, ayahnya Hj. Noor bin Harun dan ibunya Hajah Teruyah binti Omar adalah anak kedua dari tiga orang adik beradik. Datuk Hj. Hjiji Hj Noor telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Hajah Julia Salag. Hasil daripada perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Mohd Reza, Khairil Anuar, Nur Diyana dan Mohd Ghazali. Perjuangan memerlukan pengorbanan, itulah yang dilakukan oleh isteri YB Datuk Hj. Hajiji telah melepaskan jawatannya sebagai seorang guru untuk memberi tumpuan dan sokongan padu terhadap perjuangan suaminya yang bergelar seorang pemimpin.

 

YB Datuk Hj. Hajiji memulakan zaman persekolahan di SRK Serusup pada tahun 1961 – 1966. Kemudian meneruskan persekolahannya di Sekolah Menengah Tuaran bermula dari tahun kelas peralihan pada 1967 sehingga ‘Form Three’ tahun 1971 dan berjaya mendapat keputusan L.C.E 15 agregat, iaitu keputusan yang terbaik bagi sekolah pada ketika itu. Beliau seterusnya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah St. John Tuaran pada tahun 1072 – 1973. Semasa menuntut di sekolah tersebut beliau terus mengharumkan sekolah dengan mencipta nama sebagai pemidato terbaik dalam pertandingan pidato peringkat sekolah-sekolah menengah Negeri Sabah pada tahun 1973 sempena 10 tahun Sabah merdeka melalui Malaysia. Beliau juga berjaya mendapat kelulusan M.C.E. iaitu di antara pencapaian terbaik anak tempatan Tuaran pada ketika itu.

 

Berbekalkan kelayakan yang ada dan bakat dalam berhujah, beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang Juruhebah di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 1 tahun iaitu pada tahun 1976. Namun kerjaya yang glemor bukanlah jiwa sebenar bagi seorang yang dilahirkan sebagai pemimpin. Semangat ingin berkhidmat kepada masyarakat secara langsung membuat beliau menukar kerjayanya untuk berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pembangunan di Pejabat Daerah Tuaran dari tahun 1977 – 1982. Namun demikian semangat yang tinggi dan azam yang kuat untuk meningkatkan pelajaran terus juga membara, walaupun jawatan yang disandangnya sudah mampu untuk menampung kehidupan dan masa depan keluarganya sendiri. Beliau terus juga berusaha mengintai peluang dan ruang untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Berkat usaha, doa dan harapan, akhirnya impian terlaksana apabila beliau ditawarkan biasiswa kerajaan Negeri Sabah untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Berpegang kepada prinsip 'perjuangan memerlukan pengorbanan' beliau meninggalkan keluarga tercinta  untuk mencapai cita-cita. Namun pengorbanannya tidak sia-sia apabila beliau menperolehi ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Ekonomi Masyarakat. Sekembalinya ke tanah air beliau mendapat tawaran sebagai Penguasa Kastam di Jabatan Kastam Sabah dan bertugas di Tawau dari Bulan Disember 1986 sehingga Bulan Mei 1990.

 

Situasi politik Negeri Sabah pada sekitar tahun 1990 tidak berapa stabil dan tidak menentu. Kerajaan di bawah pemerintahan PBS telah keluar daripada Barisan Nasional beberapa hari sebelum pilihan raya Umum pada Julai 1990. Melihat kepada senario yang berlaku berserta jiwa dan semangat perjuangan yang tinggi kepada bangsa, agama dan negara, sekali lagi Datuk Hj. Hajiji mempertaruhkan masa depannya dengan mengorbankan jawatan sebagai pegawai kanan kerajaan.

 

Beliau mula melibatkan diri dalam politik secara sepenuh masa dengan memilih parti USNO sebagai landasan iaitu parti yang dipimpin oleh Allahyarham Tun Dato Mustafah bin Dato Harun parti pembangkang kepada kerajaan Negeri Sabah yang diperintah oleh PBS. Pilihan Raya Umum Negeri Sabah pada Tahun 1990 beliau telah terpilih sebagai calon. Beliau telah memperlihatkan krismanya sebagai seorang pemimpin dan tokoh apabila telah memenangi kursi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.10 Sulaman yang di tandinginya atas tiket USNO. Sebagai seorang Wakil Rakyat parti pembengkang, kemenangan yang diperolehinya adalah satu cabaran yang amat getir untuk diharungi, lebih-lebih lagi menjadi Wakil Rakyat di kawasan yang agak mundur. Namun ketabahan dan ketokohannya mendepani segala rintangan dan cabaran berserta kesabaran dan keikhlasannya sebagai seorang pemimpin sejati telah menambat hati kepimpinan di peringkat kerajaan pusat. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu YAB Tun Ghafar Baba tahun 1992-1993. Selain itu beliau juga dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat dari tahun 1991 – 1994. Bermula dari era tersebut politiknya terus bersinar dan menyerlah.

 

Kemasukan UMNO ke Sabah dan pembubaran parti USNO telah merubah segalanya. Pilihan Raya Umum Tahun 1994 sekali lagi Datuk Hj. Hajiji berjaya mengekalkan kursi DUN yang diwakilinya dan telah menjadi tiket untuk mendapat tempat dalam barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang baru diterajui oleh UMNO. Beliau telah diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Pembantu Menteri di beberapa buah kementerian iaitu Kementerian Belia Dan Sukan (1994). Kementerian Pembangunan Perindustrian (1994-1996). Jabatan Ketua Menteri (1996 – 1999). Kementerian Pembangunan Perindustrian (1999 – 2001). Kementerian Kewangan (2001 – 2004). Selepas Pilihan Raya Umum tahun 2004 membuka lembaran baru kepada Datuk Hajiji, berkat ketabahan dan keikhlasannya sebagai seorang pemimpin sejati beliau diberi peranan memegang jawatan sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah iaitu menteri penuh yang pertama dipegang oleh pemimpin dari kawasan Sulaman dari suku Bajau. Sebagai seorang Wakil Rakyat N. 10 Sulaman, Datuk Hj. Hajiji telah banyak melakukan perubahan dan kemajuan di Sulaman dan Tuaran khususnya. Di bawah kepimpinannya, Daerah Tuaran yang dahulunya mundur kini telah mengorak langkah menjadi sebuah daerah yang pesat membangun seiring dengan kemajuan dan pembangunan pesat Negeri Sabah di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO. Malah Daerah Tuaran di bawah kepimpinan YB Datuk Hajiji Hj. Noor adalah merupakan daerah yang jauh lebih membangun berbanding dengan daerah-daerah yang dahulunya lebih ke depan berbanding dengan Tuaran.

 

Dalam kerjaya YB Datuk Hj. Hajiji Hj. Noor sebagai seorang pemimpin yang mengunakan parti sebagai ‘platform’ beliau telah diberi mandat oleh ahli-ahli parti untuk memimpin parti dengan menjadi Ketua UMNO Bahagian Tuaran sejak tahun 1995 sehingga sekarang. Kepimpinannya juga diiktiraf oleh pucuk pimpinan UMNO Negeri sabah dan diberi kepercayaan sebagai Bendahari Badan Perhubungan UMNO sejak Tahun 2001 dan Bendahari Barisan Nasional (BN) Sabah sejak tahun 2004. Di atas khidmat bakti yang begitu banyak kepada masyarakat dan Negeri beliau diangerahkan Bintang Kebesaran Negeri P.G.D.K oleh Tuan Yang Terutama Negeri Sabah pada tahun 1996 yang membawa gelaran Datuk. Selain itu beliau juga dikurniakan bintang kebesaran Negara K.M.N. oleh DYMM Yang DiPertuan Agong pada 1997.


Lain-Lain Anugerah/Pangkat

Februari 2024: Brigedier Jeneral (Kehormat) Askar Wataniah & Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Sabah.



Biodata Datuk Seri Panglima Masidi Manjun

Keputusan PRN Sabah 2020


Sumber: WhatsApp & Infografik Bernama

Post a Comment

0 Comments