Pemilik/ pengasas gerai Hot Burger yang mendedahkan kewujudan kegiatan perjudian di Sungai Buloh, meminta orang ramai untuk berhenti mengecam polis.
Mohd Asri Hamid atau turut dikenali sebagai Asri Janggut berkata pihak polis mendapat banyak kritikan susulan penularan klip video yang menunjukkan tempat perjudian dan gerai haram yang dikongsi di Facebook.
"Saya tengok banyak kecam polis. Tolong berhenti. Mereka (polis) ini harapan kita. Judi dan rasuah ni ketagih. Jangan kecam-kecam, kita sama-sama bantu polis," katanya dalam siaran di Facebook Live hari ini.
Pada masa sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata beliau juga memberi jaminan keselamatan Mohd Asri akan diberi perhatian.
"Jaminan dia bersama saya," katanya.
Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut memberikan nasihat kepada orang ramai supaya tidak sesekali membuat pendedahan secara terbuka mengenai aktiviti haram sebagaimana yang dilakukan oleh Asri.
Ini kerana katanya, beliau bimbang pihak yang mendedahkan maklumat itu akan mendapat ancaman dan adalah lebih baik sekiranya ia diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
"Lain kali buat video elok-elok dan hantar kepada saya. Video itu boleh dihantar ke pejabat saya di KDN di Putrajaya.
"Jangan buat macam Asri ditularkan, nanti jadi macam-macam masalah. Belum sampai kepada saya dah jadi isu. Nanti jadi masalah kepada diri dan keluarga dia.
"Kalau ada orang nak buat hantar kepada saya dulu. Biar saya tengok dan saya buat penyelidikan yang lebih sesuai mengikut perundangan yang ada," katanya.
Menurutnya, mungkin pasukan Bukit Aman yang akan dikerahkan ke kawasan tertentu untuk sebarang bentuk video aduan berkaitan rumah perjudian seumpamanya berbanding polis di daerah yang berkenaan.
"Kalau dah benda (video kegiatan rumah judi) itu datang terus kepada saya, tak semestinya saya menggunakan OCPD (Ketua Polis Daerah).
"Mungkin saya boleh menggunakan pasukan yang datangnya dari Bukit Aman contohnya, itu semua kita akan pastikan," katanya.
Sesuai dengan kata " Masyarakat Dan Polis Berpisah Tiada"
Sumber: Media Tempatan & Gambar Jentik Hati
0 Comments