Kelebihan Solat Berjemaah Di Masjid
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاةُ الرَّجُلِ فِي جَمَاعَةٍ تَزِيدُ عَلَى صَلَاتِهِ فِي بَيْتِهِ وَصَلَاتِهِ فِي سُوقِهِ خَمْسًا وَعِشْرِينَ دَرَجَةً وَذَلِكَ بِأَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ وَأَتَى الْمَسْجِدَ لَا يُرِيدُ إِلَّا الصَّلَاةَ وَلَا يَنْهَزُهُ إِلَّا الصَّلَاةُ لَمْ يَخْطُ خُطْوَةً إِلَّا رُفِعَ لَهُ بِهَا دَرَجَةٌ وَحُطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةٌ حَتَّى يَدْخُلَ الْمَسْجِدَ فَإِذَا دَخَلَ الْمَسْجِدَ كَانَ فِي صَلَاةٍ مَا كَانَتْ الصَّلَاةُ هِيَ تَحْبِسُهُ وَالْمَلَائِكَةُ يُصَلُّونَ عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مَجْلِسِهِ الَّذِي صَلَّى فِيهِ وَيَقُولُونَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ اللَّهُمَّ تُبْ عَلَيْهِ مَا لَمْ يُؤْذِ فِيهِ أَوْ يُحْدِثْ فِيهِ
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Pahala solat seseorang dengan berjamaah melebihi pahala solatnya di rumah dan di pasar sebanyak dua puluh lima darjat. Hal tersebut, kerana apabila seseorang di antara kalian berwuduk, lalu memperelokkan wuduknya, kemudian pergi ke masjid semata mata kerana untuk mengerjakan solat, dan kesempatan itu hanya dipergunakan untuk solat, maka orang tersebut tidak melangkah satu langkah, kecuali setiap langkahnya itu diangkat baginya satu darjat, dan dihapus darinya satu dosa, sampai dia masuk ke dalam masjid. Apabila dia telah masuk masjid, maka dia dikira dalam keadaan solat selama tertahan kerana solat (tidak keluar dari masjid kerana menunggu solat), dan para malaikat akan berselawat (memohonkan rahmat dan ampunan) kepada seseorang di antara kalian, selama dia tetap berada di tempat dia mengerjakan solatnya, mereka (para malaikat) berdoa; Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia dan terimalah taubatnya. Para malaikat itu berdoa demikian selama orang itu tidak mengganggu orang lain di tempat itu atau berhadats." (HR Abu Daud No: 472) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
Banyak kelebihan orang yang mengerjakan solat berjemaah di masjid, antaranya:
1. Pahala solat berjamaah melebihi 25 kali ganda pahala solat di rumah dan di pasar.
2. Seseorang yang berwuduk dengan sempurna kemudian pergi ke masjid semata-mata untuk mengerjakan solat berjamaah, maka setiap satu langkah, akan diangkat baginya satu darjat, dan langkah seterusnya dihapus darinya satu dosa. (Pastikan kita berwuduk di rumah terlebih dahulu sebelum ke masjid).
3. Apabila dia masuk masjid, maka dia dikira dalam keadaan solat selama tidak keluar dari masjid kerana menunggu solat berikutnya.
4. Orang tersebut akan didoakan para malaikat (memohonkan rahmat dan ampunan oleh malaikat) selama dia tetap berada di tempat dia mengerjakan solatnya iaitu dimasjid.
5. Para malaikat akan berdoa untuknya agar diampunkan dosa, di rahmati kehidupannya dan diterima taubatnya. Didoakan malaikat selama orang itu tidak mengganggu orang lain di tempat solat (seperti tidak menganggu solat orang lain dengan menguatkan suara ketika berbual, berzikir atau membaca al-Quran) dan selama dia berwuduk.
Rebut peluang ganjaran berganda untuk solat berjemaah di masjid.
Kridet: @islamitu_indah & Infografik Pinterest
0 Comments