TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN MOHD YASSIN PERDANA MENTERI
PENGUMUMAN LANJUTAN MORATORIUM &
BANTUAN BANK BERSASAR
29 JULAI 2020
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan
salam sejahtera.
Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sihat wal afiat.
1. Hari ini saya ingin membuat satu pengumuman penting berhubung bantuan
penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium bayaran pinjaman. Ini adalah
antara langkah yang diambil oleh kerajaan di bawah Pelan Rangsangan Ekonomi
Prihatin Rakyat atau PRIHATIN yang bertujuan untuk melindungi rakyat, menyokong
perniagaan dan memperkukuh ekonomi.
2. Secara khususnya, moratorium bayaran pinjaman adalah untuk mengurangkan beban kewangan rakyat serta cabaran aliran tunai yang dihadapi perniagaan khususnya pada fasa-fasa awal dan pertengahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP.
3. Alhamdulillah, sejak berkuatkuasa pada 1 April
yang lalu, moratorium bayaran pinjaman telah sedikit sebanyak membantu rakyat
dan perniagaan ekoran terhentinya hampir kesemua aktiviti ekonomi dalam usaha
memerangi penularan wabak COVID-19. Menurut data daripada Bank Negara Malaysia,
sehingga 20 Julai 2020, lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus
daripada kesemua peminjam telah mendapat manfaat daripada moratorium bayaran
pinjaman yang bernilai
RM38.3 bilion. Dalam tempoh yang sama, sejumlah 243,000 perusahaan kecil dan
sederhana atau 95 peratus daripada keseluruhan peminjam PKS telah menerima
manfaat daripada moratorium ini dengan nilai RM20.7 bilion.
4. Sejak pembukaan ekonomi secara berperingkat pada bulan Mei yang lalu dan kemudiannya dalam tempoh PKP Pemulihan, aktiviti ekonomi di seluruh negara dilihat semakin rancak. Kini, ada individu dan perniagaan yang mampu membayar semula pinjaman mereka. Jumlah peminjam individu yang meneruskan bayaran ansuran pinjaman dan tidak mengambil kemudahan moratorium meningkat daripada 331,000 peminjam pada bulan April, kepada 601,000 peminjam pada bulan Julai 2020. Manakala, untuk tempoh yang sama, jumlah peminjam PKS yang memilih untuk tidak mengambil kemudahan ini telah meningkat daripada 5,000 kepada 13,000 peminjam.
5. Walau bagaimanapun, saya sedar masih ada sektor-sektor ekonomi yang menghadapi keadaan yang sukar dan tidak menentu. Saya faham, ada perniagaan yang belum dapat beroperasi sepenuhnya dan ada dalam kalangan saudara dan saudari yang kehilangan pekerjaan serta punca pendapatan.
6. Saya mendengar rintihan saudara dan saudari berkenaan moratorium bayaran pinjaman yang bakal berakhir pada 30 September ini. Saya juga tahu ramai yang berharap agar moratorium ini dilanjutkan.
7. Oleh itu, saya telah berbincang dengan Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh sebahagian daripada saudara-saudari yang masih memerlukan bantuan selepas tempoh moratorium berakhir. Jadi, pada hari ini saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional telah bersetuju untuk melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang lebih berfokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan iaitu:
Pertama, bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, anda akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh 3 bulan. Selepas 3 bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing; dan
Kedua, bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat COVID-19, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman. Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji. Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan.
8. Di samping itu, bank-bank telah memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau PKS, baik peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat COVID-19. Bergantung kepada situasi peminjam- peminjam, bantuan-bantuan yang ditawarkan termasuk:
- Membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan; atau
- Memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan; atau
- Memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.
9. Bagi pinjaman sewa beli pula, pihak bank akan turut menawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli. Contohnya, memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan yang lebih rendah.
10. Langkah-langkah ini dijangka akan memanfaatkan 3 juta individu dan PKS. Sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya. Justeru, peminjam yang layak bolehlah menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos 2020.
11. Saya berharap Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar ini akan dapat meringankan beban saudara dan saudari yang terjejas dengan masalah ekonomi akibat pandemik COVID-19. Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini dengan kerjasama institusi perbankan di negara kita diharapkan dapat menyokong kemampanan perniagaan, membantu usaha memulih serta melonjakkan semula ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan hidup anda semua.
12. Dengan pengumuman ini, saya harap Makcik Kiah, Pak Salleh, Encik Lee, Puan Rani, Encik Douglas dan semua rakyat Malaysia dapat menarik sedikit nafas lega sementara kerajaan dan pihak industri berusaha untuk memulihkan semula ekonomi negara kita. Saya cuma nak berpesan jaga kesihatan, jaga diri baik-baik. Virus COVID-19 masih ada di luar sana. Jadi, demi kebaikan anda dan kita semua, sentiasalah amalkan penjarakan sosial, pakai pelitup muka di tempat awam, elak tempat yang sempit dan sesak, dan jangan rasa kekok untuk amalkan normal baharu dalam kehidupan kita. Sama-samalah kita berdoa semoga kita semua dihindari daripada jangkitan virus COVID-19.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Sumber: TEKS-UCAPAN-PM-LANJUTAN-MORATORIUM-BERSASAR-29072020
0 Comments