Soalan:
Assamualaikum. Bilakah waktu bertakbir bagi Hari Raya Aidiladha? Adakah sama seperti Hari Raya Puasa atau terdapat perbezaan antara keduanya? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Mukadimah
Firman Allah Taala:
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”
Surah al-Baqarah: 185
Bertakbir semasa hari-hari raya adalah syiar yang disunatkan kita melaksanakannya. Namun begitu, terdapat perincian dan perbezaan antara takbir pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri. Berikut kami nyatakan kaifiat dan perbezaan antara keduanya.
Jenis-Jenis Takbir Raya
Ulama membahagikan takbir raya kepada dua jenis; Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad.
- Takbir Mursal: Ia juga disebut Takbir Mutlak, kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat. Justeru, apabila tenggelam matahari pada malam Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfiri sehingga takbiratulihram Solat Hari Raya, kita disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa. Para ulama menetapkan bahawa perlaksanaan Takbir Mursal bagi Hari Raya Aidilfitri lebih ditekankan berbanding Hari Raya Aidiladha.
- Takbir Muqayyad: Perlaksaanan takbir ini terikat dengan perlaksanaan solat-solat maktubah (solat fardhu lima waktu). Oleh itu, apabila masuk waktu bertakbir Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk bertakbir selepas setiap kali solat fardhu. Takbir Muqayyad ini hanya berlaku bagi Hari Raya Aidiladha dan tidak disunatkan pada malam Hari Raya Aidilftri melainkan Takbir Mursal sahaja yang juga lebih ditekankan bagi Aidilfitri.[1] Daripada Ali dan Ammar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW:
كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ
Maksudnya: “Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.”
Riwayat al-Hakim (no. 1111) dengan sanad yang sahih.
Takbir ini hendaklah dilakukan secara jahar (bacaan nyaring) sebagai syiar kaum Muslimin. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/559) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili & al-Taqrirat al-Sadidah (hal. 347).
Waktu Bertakbir
Seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, terdapat perbezaan waktu bertakbir bagi Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri. Kaifiat berikut kita peroleh daripada perbuatan Nabi SAW dan para sahabat, seterusnya diwarisi kepada generasi ulama seterusnya.
- Hari Raya Aidiladha: waktunya Takbir Muqayyad bagi Hari Raya Aidiladha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga.[2] Ertinya, apabila masuk waktu Subuh 9 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan haji untuk bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijjah, menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam. Adapun bagi mereka yang menunaikan haji, mereka hanya disunatkan untuk bertakbir bermula gelincirnya matahari, yakni masuk waktu Zuhur Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga terbitnya fajar sadiq, yakni masuk waktu Subuh pada 13 Zulhijjah. Namun sekiranya mereka sudah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain.
- Hari Raya Aidilfitri: waktunya Takbir Mursalnya bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya, yakni masuk waktu Maghrib 1 Syawal sehinggalah takbiratulihram bagi solat Hari Raya Aidilfitri.
Kami nukilkan juga ibarat daripada kitab Sabila al-Muhtadin (hal. 57) oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari:
“Takbir [bagi orang] yang tiada mengerjakan pekerjaan haji mula-mula daripada Subuh Hari Arafah yaitu yang kesembilan [Zulhijjah] hingga Asar kesudahan Hari Tasyriq.”
Kedua, daripada ibarat kitab Kifayah al-Muhtadi (hal. 103) oleh Syeikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Isma'il al-Fathani:
“Kemudian daripada sembahyang Subuh Hari Arafah hingga kemudian daripada sembahyang Asar yang ada ia akhir Asar daripada segala Asar Hari Tasyriq yang tiga.”
Ketiga, kitab Bughyah al-Tullab (hal. 233) oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, seorang alim Nusantara, seperti berikut:
“Dan Takbir Muqayyad itu pada hari raya Adha jua maka dimulai daripada Subuh Hari Arafah bagi orang yang lain daripada orang Haji hingga akhir Asar Hari Tasyriq.”
Sighah Takbir
Kita disunatkan untuk bertakbir pada Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri mengikut sighah atau lafaz yang warid daripada Rasulullah SAW, para sahabat ridhwanullah alaihim, dan yang diterima dan diamalkan oleh para ulama zaman berzaman. Antara lafaz yang masyhur adalah:
- Daripada Saiyiduna Ibn Abbas R.Anhuma bahawa dia bertakbir bermula Subuh Hari Arafah sehingga akhir Hari Nafar, dan tidak pada waktu Maghrib, tiga kali dengan lafaz berikut:
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ اللهُ أَكْبَرُ وَأَجَلُّ اللهُ أَكْبَرُ عَلَى مَا هَدَانَا
Rujuk Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi (no.6280)
- Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (2/81) bahawa Syeikh Ibn Sibagh, pengarang kitab al-Syamil bahawa tiada masalah untuk bertakbir dengan cara kebiasaan manusia, sebanyak tiga kali, seperti lafaz berikut[3]:
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Maksudnya: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tidak ada sembahan yang benar melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan untuk Allah segala pujian.”
- Disunatkan untuk ditambah selepas itu lafaz berikut:[4]
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ [ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ ] [5] وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ [ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ]
Maksudnya: “Allah Maha Besar dengan sebenar-benar Kebesaran-Nya, dan pujian bagi Allah sebanyaknya. Maha suci Allah di waktu pagi dan petang. Tiada Tuhan melainkan Allah dan tidaklah kami menyembah melainkan-Nya dengan tulus ikhlas menuruti Agama-Nya, sekalipun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah sahaja. Dia membenarkan janjinya, membantu hambanya dan memuliakan tenteranya serta mengalahkan pakatan tentera Ahzab secara bersendirian. Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian”
Kesimpulan
Waktu takbir Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri adalah berbeza antara satu sama lain. Namun tujuannya adalah sama daripada satu sudut yakni mengagungkan Allah SWT pada hari-hari yang kita digalakkan oleh Syarak untuk merayakannya. Inilah syiar dan simbol agama kita yang hendaklah kita sungguh-sungguh meraikannya sebagai tanda komitmen dan kepatuhan kita kepada Tuhan yang Esa.
Nota Hujung:
[1] Mengikut pendapat yang asah kerana tidak dinukilkan daripada Rasulullah SAW bertakbir muqayyad di malam Aidulfitri.
[2] Adapun di sisi Imam Ibn Hajar al-Haitami waktunya tamat selepas perlaksanaan solat fardu Asar.
[3] Bahkan mengikut Imam al-Nawawi, apa yang disebut oleh pengarang kitab al-Syamil itu, dinaqalkan juga oleh pengarang kitab al-Bahru al-Mazhab yakni Imam al-Ruyani sebagai nas Imam al-Syafie dalam Muktasar al-Buwaiti dan kata beliau: “Lafaz ini diamalkan.” Ini juga yang dicatatkan oleh al-Nawawi dalam Minhaj al-Talibin. Dibaca tiga kali, seperti mana kaifiyat Ibn Abbas.
[4] Ini seperti yang dinaskan oleh Imam al-Syafie dalam al-Umm. Beliau juga berpendapat sebarang tambahan pada zikirullah itu adalah baik. Rujuk al-Majmu` (5/39.)
[5] Tambahan ini diamalkan oleh ulama, sekalipun menurut al-Nawawi al-Adzkar, ianya tidak warid. Rujuk Fath al-Wahhab Syarh Manhaj al-Tullab (1/98) oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari dan Hasyiah al-Qalyubi wa Umairah (1/359).
Sumber: muftiwp.gov.my
0 Comments