MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Hukum Mengubah Foto Wajah Menggunakan FaceApp



SOALAN :

Assalammualaikum, Saya ingin bertanya pandangan S.S Mufti berkaitan aplikasi mengubah wajah (FaceApp).  Aplikasi tersebut boleh  mengubah wajah kepada tua mahupun muda dan menukar kepada berlainan jantina. Hal tersebut semakin tular di mesia sosial sejak akhir-akhir ini. Persoalannya,  apakah hukum  mengubah wajah melalui aplikasi (FaceApp). Mohon pencerahan S.S Mufti, Terima Kasih.

RINGKASAN JAWAPAN :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

  • Mengubah foto wajah menggunakan aplikasi wajah (FaceApp) dan menyebarkannya   adalah dilarang.
  • Penggunaan aplikasi FaceApp seolah menggalakkan mengubah ciptaan Allah walaupun bukan secara hakikat fizikal. Justeru, larangan tersebut bagi membendung kecenderungan perbuatan mengubah ciptaan Allah secara hakikat berdasarkan kaedah sadd al-zariah (menutup pintu kerosakan).
  • Fungsi aplikasi tersebut yang mampu menukar foto wajah kepada berlainan jantina boleh mengelirukan identiti sebenar. Bahkan foto gambar tersebut  mengaibkan diri sendiri sekaligus boleh  menjatuhkan maruah.
  • Adapun, mengubah kepada wajah tua mahupun muda turut dilarang kerana mempunyai  unsur penipuan terhadap fitrah kejadian asal serta memperdayakan manusia terhadap wajah yang tidak menunjukkan keaslian.  Bahkan, meramal wajah tua adalah perkara yang tidak dapat  dipastikan kebenarannya kerana  manusia tidak dapat mengetahui  kejadian  pada masa akan datang.

 

HURAIAN JAWAPAN

FaceApp ialah penyuntingan foto dan video untuk iOs dan Android yang dibangunkan oleh Wireless Lab. Aplikasi ini menghasilkan transformasi  wajah manusia yang sangat realistik dalam gambar dengan menggunakan rangkaian saraf berdasarkan kecerdasan buatan. Aplikasi tersebut dapat mengubah wajah untuk menjadikan tersenyum, kelihatan lebih muda, kelihatan lebih tua atau menukar jantina wajah. [1] Berdasarkan penelitian kami, aplikasi tersebut menukar foto wajah wanita kepada wajah lelaki yang bermisai mahupun berjanggut serta berambut pendek. Sementara, foto wajah  lelaki   berubah menjadi wanita yang seakan wanita asli yang berambut panjang. Situasi tersebut   boleh mengelirukan identiti   kerana wajah bertukar secara total kepada berlainan jantina dan kelihatan sangat realistik. Selain itu,  pemilik aplikasi juga boleh menggunakan foto sesiapa sahaja yang disimpannya untuk diubahsuai dan disebarkan bagi tatapan umum. Hal tersebut turut mengundang bahaya kerana  boleh menyalahguna foto wajah  orang lain serta mendedahkannya  tanpa kebenaran.

Secara umumnya, merujuk kepada fungsi aplikasi wajah (FaceApp) yang bertujuan untuk mengubah foto wajah.  Ianya dilihat seperti mempersendakan firman Allah ﷻ   yang melarang hamba-Nya mengubah fitrah ciptaan  asal.  Mengubah ciptaan Allah SWT bermaksud mengubah fitrah yang telah Allah SWT  tetapkan  pada makhluknya; sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya.   Ini berdasarkan  dalil-dalil berikut :

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya :  Tetaplah atas fitrah Allah  yang telah menciptakan  manusia  atas fitrah itu,Tidaklah patut ada  sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.

Surah al-Rum ( 30)

Mengubah ciptaan Allah turut  termasuk dalam tipu daya syaitan. Ini berdasarkan dalil berikut :

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah".

Surah an-Nisa’ (119)

Menurut Abu Jaafar al-Thabari  Rahimallullah makna yang paling tepat mengubah ciptaan  Allah فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّه   ialah  mengubah pada agama (Islam)  kerana ayat lain memberi makna agama daripada surah al-Rum ayat 30.  لا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ .  Jika makna ayat demikian, maka  perbuatan yang dilarang oleh Allah termasuk dalam mengubah ciptaan Allah(Lihat al-Jaami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Quran, al-Thabari (9/222).  

Seterusnya,  bagi memperincikan   hukum  penggunaan FaceApp tersebut, kami membahagikan kepada dua  perbahasan iaitu hukum mengubah foto wajah kepada berlainan jantina  (tasyabbuh)  dan hukum  mengubah foto kepada wajah tua mahupun muda.  

Hukum  menukar foto wajah  kepada berlainan jantina melalui aplikasi FaceApp

Hukum lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya adalah haram.   Penyerupaan berlainan jantina telah kami bahaskan secara panjang lebar   pada ruangan artikel   Bayan Linnas siri 5 Isu Transgender, Tasyabbuh Atau Penyerupaan: Hukumnya di pautan http://bit.ly/2EzjRAJ

Berbalik kepada soalan yang diajukan berkisar  isu menukar foto wajah kepada  berlainan jantina hanya melalui aplikasi FaceApp. Maka, kami berpandangan menukar foto wajah berlainan jantina walaupun hanya sekadar gambar  tanpa melibatkan perubahan fizikal  secara langsung adalah dilarang. Hal ini kerana penggunaan aplikasi tersebut hanya   sia- sia selain  mengaibkan diri sendiri kerana menzahirkan foto wajah yang berlainan jantina.

 Allah ﷻ melarang  mencela diri (mengaibkan) sebagaimana FirmanNya :

وَلا تَلمِزوا أَنفُسَكُم 

Maksudnyadan janganlah setengah kamu menyatakan celaan (keaiban) setengahnya yang lain.

Surah al-Hujurat ( 11)

Celaan pada ayat tersebut  turut membawa maksud  keaiban. Imam al-Thabari  Rahimahullah menyatakan celaan (keaiban) boleh berlaku melalui tangan, mata, lisan dan isyarat. Sementara maksud “أَنفُسَكُم”  merupakan peringatan  bagi orang berakal supaya tidak akan mengaibkan dirinya sendiri, Begitu juga  mengaibkan orang lain seperti mengaibkan diri sendiri. (Rujuk al-Jaami’ li-Ahkam al-Quran, al-Qurtubi ( 16/327) .

Seterusnya, menyebarluas   foto wajah  yang telah ditukar jantina  untuk tatapan umum telah mengelirukan hakikat identiti sebenar mereka. Bahkan,ia turut memberi kesan kepada mereka yang melihat  kerana dikhuatiri   mengundang tohmahan daripada masyarakat. Umat Islam  perlu sedaya upaya mengelakkan diri daripada menimbulkan sebarang fitnah terhadap dirinya.  Ini juga berdasarkan satu kaedah:

اتَّقُوا مَواضِع التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan”.

Seterusnya, implikasi menyebarluas  foto yang diubahsuai  untuk tatapan umum dibimbangi akan mempengaruhi masyarakat  sekaligus  menjadi trend ikutan terhadap perkara yang sia-sia.  

Selain itu, penggunaan aplikasi menukar foto wajah berlainan jantina secara tidak langsung menunjukkan seolah tindakan tersebut menyokong dan menggalakkan perbuatan tasyabbuh  (menyerupai berlainan jantina) seperti golongan “ mak nyah” mahupun “ tomboy”  tanpa kita menyedarinya. Sewajarnya, masyarakat Islam perlu memainkan peranan  untuk memberi kesedaran  membentuk semula keperibadian identiti golongan tersebut agar kembali kearah fitrah kejadian asal, bukannya  berjinak-jinak terhadap mukadimah  untuk menggalakkan perbuatan tasyabbuh  walaupun bukan secara hakikat fizikal.

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

MaksudnyaDan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Surah al-Ma’idah (2)

Seterusnya,  larangan penggunaan aplikasi tersebut  kerana dibimbangi ianya  sebagai mukadimah   untuk terjerumus kekancah  tasyabbuh secara fizikal  walaupun pada awalnya hanya sekadar permainan suka-suka.  Maka penggunaan aplikasi tersebut dilarang bagi  menyekat kecenderungan naluri individu   kearah penyerupaan (tasyabbuh)  mengubah jantina yang sebenar.   Hal tersebut  berdasarkan kaedah sadd al-zarai’ untuk   mencegah perkara-perkara yang boleh membawa kepada yang haram. Hal ini turut bertepatan kaedah fiqh  berikut :

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

MaksudnyaApa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.

Hukum  mengubah  foto kepada  wajah tua mahupun muda.

Aplikasi wajah  (FaceApp) juga boleh berfungsi untuk mengubah foto wajah menjadikan tersenyum, kelihatan lebih muda atau lebih tua.  Sekiranya, foto wajah tersebut tersebar luas, maka perbuatan tersebut  menyebabkan manusia terperdaya terhadap wajah yang bukan menunjukkan keaslian selain terdapat unsur penipuan. Amaran yang keras terhadap penipuan  melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi bersabda:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101)

 

Selain itu, aplikasi  yang mengubah wajah tua  seperti meramal kejadian  penciptaan wajah manusia pada masa akan datang yang pastinya tidak mungkin dapat diketahui oleh semua manusia. Firman Allah SWT :

. قُلْ لاَّ يَعْلَمُ مَنْ فِى السَّمَٰوَٰتِ وَالأَرْضِ الْغَيْبَ إِلاَّ اللهُ

Maksudnya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah!

Surah al-Naml (65)

Sehubungan itu,  mengubah wajah kepada  kepada berlainan jantina mahupun  kepada wajah tua dan muda  dengan penyuntingan daripada aplikasi tersebut  telah menafikan fitrah  penciptaan  asal berdasarkan kehendak-Nya. Setiap penciptaan-Nya pasti mempunyai hikmah yang tersendiri. Firman Allah SWT

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِیۤ أَحۡسَنِ تَقۡوِیم

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya."

Surah At-Tin:  (4)

Penutup

Konklusinya,   setelah meneliti  dalil dan hujah  yang dibentangkan, penggunaan aplikasi  menukar foto wajah (FaceApp)  adalah dilarang. Larangan tersebut kerana    terdapat unsur penipuan terhadap wajah yang bukan asli, mengelirukan identiti sebenar dan  mengaibkan individu tersebut sekaligus boleh  menjatuhkan maruah dan ancaman fitnah. Kami akhiri dengan menyatakan pesanan terhadap   masyarakat agar bijak memilih sebarang  aplikasi teknologi untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Namun, penggunaan aplikasi FaceApp ternyata hanya sia-sia dan  lebih mengundang mudarat kepada agama. Justeru, kami   menegaskan agar  umat Islam tidak  menggunakan aplikasi tersebut apatah   lagi menyebarluas foto wajah yang telah diubahsuai mahupun menukar gambar wajah kepada berlainan jantina.  

Semoga kita dapat menjalani kehidupan mengikut neraca syariah yang sebenar. Ameen 

 

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/FaceApp


Sumber: www.muftiwp.gov.my

Post a Comment

0 Comments