Kuala Lumpur, 13 MAC 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH)
mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat pada kadar 3.05% bagi tahun
kewangan berakhir 31 Disember 2019. Ia melibatkan agihan berjumlah RM2.1
bilion, iaitu RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM0.9 bilion bagi tahun
kewangan 2018.
Agihan keuntungan yang lebih baik ini didokong
oleh prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik berasaskan strategi
pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat.
Bagi tahun kewangan 2019, TH
berjaya menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM3.3bilion, dimana sejumlah
RM1.2 bilion telah diperolehi dalam suku keempat. Secara keseluruhan,
pendapatan pelaburan yang dijana TH adalah lebih stabil dimana
pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58% pendapatan atau sebanyak RM1.9
bilion manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam
masing-masing menyumbang RM0.5 billion (15%), RM0.5 bilion(15%) dan RM0.4
bilion (12%).
Perubahan strategi pelaburan TH
kepada aset pelaburan yang lebih stabil turut berjaya mengurangkan tekanan akibat
keadaan pasaran saham yang tidak
menentu, antara lainnya, berpunca daripada
ketegangan perang dagangan di peringkat global. Pada 31 Disember 2019,
kedudukan kewangan TH kekal stabil dengan jumlah aset melebihi
jumlah liabiliti sebanyak RM2.9 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada
pendeposit) berdasarkan jumlah aset RM74.3 bilion dan jumlah liabiliti RM71.4
bilion.
Dengan pengurusan kos yang berhemat, TH
telah berjaya mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019
berjumlah RM1.9 bilion, iaitu peningkatan 19% atau RM0.3 bilion berbanding
RM1.6 bilion bagi tahun kewangan lalu.
Peningkatan keuntungan selepas zakat ini dicapai
setelah TH mengambil kira (i) RM86 juta bagi pembayaran zakat
kepada majlis agama Islam negeri-negeri di Malaysia dan (ii) RM370 juta bagi
mengurus dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada semua jemaah haji Malaysia
serta mengekalkan kadar bayaran haji pada RM9,980 (berbanding kos sebenar
RM22,900) bagi setiap jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat kali pertama
pada musim haji 1440 hijrah yang lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai
Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, agihan
keuntungan yang diisytihar TH adalah lebihan keuntungan
pelaburan setelah mengambil kira perbelanjaan dan bantuan kos haji, bayaran
zakat dan kos pengurusan. Oleh yang demikian, pendeposit TH
bukan sahaja mendapat manfaat pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka,
malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia
menunaikan rukun islam ke-5 dan golongan asnaf dalam menjaga kebajikan mereka. TH
membayar zakat bagi pihak pendeposit dan oleh yang demikian pendeposit tidak
perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang
diterimanya.
Melangkah ke depan, TH akan terus
berusaha untuk menambah manfaat ke atas simpanan pendeposit di TH
setelah peralihan kepada kontrak simpanan Wakalah dengan memperkenalkan
pelbagai tambah nilai yang lain, disamping terus memastikan prestasi pelaburan
yang mampan.
Agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2019 dikira
berdasarkan purata baki simpanan terendah bulanan pendeposit. Para pendeposit
boleh menyemak pengkreditan agihan keuntungan bermula 16 Mac 2020 menerusi (i)
kaunter- kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat, (ii) di ATM
Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB, atau (iii) secara atas talian di
laman sesawang www.thijari.com.my dan portal internet Bank Islam, Bank Rakyat
dan Maybank.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi
Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919.
Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi
Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji
Sumber : www.tabunghaji.gov.my
1 Comments
Mantap 👍
ReplyDelete