Ribuan obor-obor merah yang jarang dilihat,
ditemui terdampar sepanjang Pantai Mawilla, lokasi perkelahan yang
terkenal di sini, sejak minggu lepas sehingga hari ini.
Ramai pihak tertanya-tanya bagaimana spesies
dengan rupa yang pelik dan unik itu boleh muncul di sepanjang kira-kira 400
meter pinggir Pantai Mawilla, dengan Jabatan Perikanan Labuan telah
mengkategorikan kehadiran haiwan laut itu sebagai fenomena yang jarang berlaku.
Kemunculan haiwan laut itu juga menimbulkan
persoalan seterusnya - perlukah masyarakat takut dengannya.
Dua pakar hidupan laut iaitu Jabatan
Perikanan dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjelaskan haiwan laut
itu boleh menyebabkan kerengsaan kulit, alahan dan ketidakselesaan.
Justeru, masyarakat dinasihati tidak menyentuh
obor-obor walaupun telah mati.
Fenomena itu dikaitkan dengan keadaan angin
dan gelombang yang kuat, ketika arus air Laut China Selatan di Labuan
menghala ke arah selatan, menyebabkan obor-obor itu itu
dihanyutkan ke perairan cetek berhampiran pantai.
Obor-obor itu telah dikenal pasti oleh pakar di
Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS),
Profesor Madya Dr B.A. Venmathi Maran sebagai Crambione mastigophora
(Cnidaria, Scyphozoa) atau lebih dikenali dengan nama 'Sea Tomato'.
"Spesies ini tidak diketahui mempunyai
sengatan yang berbahaya kepada manusia, tetapi tentakel mereka masih boleh
menyengat selepas haiwan itu mati.
"Oleh kerana obor-obor adalah perenang
yang lemah, ini akan menyebabkan ia tidak dapat menahan alunan gelombang dan
dengan itu dihanyutkan ke pantai," katanya kepada Bernama.
Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Faizal Ibrahim
Suhaili ketika ditemui semasa pengambilan sampel di pantai, mengingatkan
orang ramai untuk tidak masuk ke dalam air berrhampiran lokasi obor-obor
itu terdampar, kerana kemungkinan masih terdapat kumpulan obor-obor di
kawasan itu.
-- BERNAMA
0 Comments