Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut mengambil
langkah proaktif menutup pejabat di cawangan itu mulai hari ini sehingga
13 Mac bagi proses disinfeksi ruang pejabat dan kawasan persekitaran.
Menurut kenyataan
KWSP hari ini, pejabat itu akan beroperasi semula pada Isnin depan
(16 Mac).
Penutupan pejabat
itu adalah susulan seorang ahli KWSP disahkan positif COVID-19 dan dimasukkan
ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Ahli itu
berurusan di pejabat KWSP Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut pada 27 Feb 2020
(2 hingga 2.30 petang) dan disahkan positif pada 3 Mac 2020. Namun, tiada
sebarang pengesahan sama ada ahli itu telah dijangkiti COVID-19 sebelum beliau
berurusan di pejabat KWSP.
“Kami telah
mengenal pasti pegawai KWSP yang berkemungkinan terdedah kepada ahli itu dan telah
menghantar mereka untuk menjalani pemeriksaan. Pegawai-pegawai lain dari
pejabat itu juga dikuarantin. KWSP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak
berkuasa untuk sebarang tindakan lanjutan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu,
kaunter KWSP di lokasi lain akan beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, ahli
digalakkan membuat transaksi secara dalam talian melalui aplikasi i-Akaun
kecuali bagi urusan yang memerlukan kehadiran ke kaunter KWSP.
KWSP
juga telah menjalankan langkah-langkah awal pencegahan sejak
Februari 2020 untuk meminimumkan risiko pendedahan kepada jangkitan
COVID-19.
“Semua kaunter dan
permukaan yang terdedah di premis KWSP dibersihkan secara berterusan sepanjang
hari. Pegawai kaunter juga dikehendaki membersihkan tangan mereka setiap 30
minit.
“Pelawat-pelawat
juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis
KWSP,” menurut kenyataan itu.
Sumber : KWSP &-- BERNAMA
0 Comments