MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Hukum Orang Yang Meninggal Dunia Sebelum Sempat Membayar Zakat

SOALAN
Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Apakah hukum orang yang meninggal dunia sebelum dia sempat menunaikan zakatnya? Adakah warisnya perlu untuk membayar zakat tersebut dari hartanya ataupun tidak?
Mohon penjelasan dari Tuan Mufti. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Taubah: 103)
Begitu juga dalam satu hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, Rasulullah SAW bersabda:
فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ
Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.
Hadith riwayat al-Bukhari: (1496)
Berbalik kepada persoalan di atas, para ulama’ berbeza pandangan berkenaan adakah seseorang itu masih perlu membayar zakat selepas mana dia meninggal dunia dan tidak sempat untuk menunaikannya.
Menurut pandangan Imam Abu Hanifah, jika sekiranya seseorang meninggal dunia sebelum sempat mengeluarkan zakat, maka gugurlah kewajipan mengeluarkan zakat itu ke atasnya, kecuali jika dia berwasiat supaya dikeluarkan zakat daripada harta yang ditinggalkannya tersebut. Oleh itu, dalam keadaan demikian, maka hendaklah dikeluarkan jumlah zakat yang perlu dibayar tersebut daripada satu pertiga harta yang diwasiatkan.
Hal ini kerana mereka berpandangan bahawa hukum membayar zakat adalah wajib secara boleh ditangguh (tarakhi) dan tergugur kewajipan membayarnya dengan kematian. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6:226)
Walaubagaimanapun, jumhur ulama’ termasuk para ulama’ Syafi’iyyah berpandangan bahawa seseorang yang meninggal dunia tanpa sempat untuk menunaikan zakat sedangkan dia mampu, maka dia berdosa dan wajib dikeluarkan zakat daripada harta tinggalannya tersebut sebelum dibahagikan mengikut faraid bagi waris yang berhak walaupun tidak diwasiatkan. Hal ini kerana hukum membayar zakat di sisi jumhur ulama’ adalah wajib secara segera (fauwri) apabila cukup syaratnya, maka jika sekiranya dia melengah-lengahkan sehingga dia tidak mampu untuk menunaikannya, maka dia berdosa atas perbuatannya tersebut dan tidak tergugur kewajipan membayar zakat dengan sebab kematiannya.
Ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, bahawa:
من وجبت عليه الزكاة وتمكن من أدائها فلم يفعل حتى مات وجب قضاء ذلك من تركته؛ لأنه حق مال لزمه في حال الحياة، فلم يسقط بالموت كدين الآدمي
Maksudnya: Barangsiapa yang diwajibkan ke atasnya zakat dan berkemampuan untuk menunaikannya akan tetapi dia tidak menunaikannya sehingga dia meninggal dunia, maka wajib ia ditunaikan dengan harta tinggalannya. Ini kerana ia merupakan hak yang wajib ke atasnya pada ketika hidupnya dan ia tidak tergugur disebabkan oleh kematian sepertimana hutang dengan manusia. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6:225)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami cenderung kepada pandangan jumhur ulama’ dan menyimpulkan bahawa, wajib dikeluarkan zakat daripada harta seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan tidak sempat menunaikannya, sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya. Ini kerana hukum membayar zakat di sisi jumhur ulama’ adalah wajib secara segera (al-fauwr) apabila telah cukup semua syaratnya dan tidak tergugur disebabkan oleh kematian.
Oleh itu, di kesempatan ini kami ingin menasihati supaya janganlah kita cuai dan mengambil ringan terhadap kewajipan zakat dengan melengah-lengahkan membayar zakat sehingga datangnya hari yang tidak lagi bermanfaat harta dan anak-pinak kecuali sesiapa yang datang kepada-Nya dengan hati yang sejahtera. Firman Allah SWT:
يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ ﴿٨٨﴾ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّـهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ﴿٨٩
Maksudnya: Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)
(Surah al-Syua’raa: 88)
WaAllahu a’lam.
Sumber : www.muftiwp.gov.my

Post a Comment

0 Comments