Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus. Dengan itu, kadar koridor tertinggi dan terendah bagi OPR masing-masing diturunkan kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.
Keadaan ekonomi global telah merosot dalam tempoh kebelakangan ini. Wabak COVID-19 yang sedang menular telah mengganggu aktiviti pengeluaran dan aktiviti yang berkaitan dengan perjalanan, terutamanya di rantau ini. Hal ini juga telah mendorong kepada kegiatan penghindaran risiko yang lebih ketara, lantas mengakibatkan keadaan kewangan menjadi lebih ketat dan mendadak semula volatiliti pasaran kewangan. Risiko kepada prospek pertumbuhan global telah meningkat, terutamanya dalam tempoh terdekat. Walau bagaimanapun, beberapa negara telah melaksanakan tindak balas dasar. Dengan jangkaan pelaksanaan beberapa langkah dasar, tindakan ini dijangka boleh mengurangkan impak ke atas ekonomi akibat wabak COVID-19.
Ekonomi Malaysia meningkat pada kadar yang sederhana sebanyak 4.3% pada tahun 2019. Pertumbuhan pada masa akan datang, khususnya pada suku pertama, akan terjejas oleh wabak COVID-19 terutamanya dalam sektor yang berkaitan pelancongan dan sektor perkilangan. Kelemahan dalam sektor pertanian juga dijangka berterusan pada suku pertama. Pada tahun 2020, aktiviti sektor swasta dan sektor awam dijangka terus menyokong pertumbuhan. Perbelanjaan isi rumah diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih perlahan dalam keadaan pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan yang sederhana. Aktiviti pelaburan dijangka mencatatkan pemulihan yang sederhana, disokong oleh projek-projek sektor awam dan swasta yang baharu dan sedang dilaksanakan. Pakej rangsangan ekonomi 2020 juga akan menyediakan sokongan kepada kegiatan ekonomi. Walaupun pertumbuhan dalam negeri dijangka bertambah baik secara beransur-ansur pada separuh tahun kedua, terdapat risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca terutamanya daripada sifat evolusi dan kesan berpanjangan daripada wabak COVID-19 serta kelemahan yang berterusan dalam sektor yang berkaitan komoditi.
Pada tahun 2020, inflasi keseluruhan dijangka mencatatkan purata lebih tinggi tetapi kekal pada kadar yang sederhana. Trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung pada perkembangan harga minyak dan komoditi sedunia serta masa pemansuhan harga siling bagi harga runcit bahan api domestik. Inflasi asas dijangka lebih sederhana, dalam keadaan tekanan permintaan yang terhad meskipun kegiatan ekonomi terus berkembang.
Pengurangan dalam OPR bertujuan untuk menyediakan persekitaran monetari yang lebih akomodatif bagi menyokong jangkaan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dalam keadaan harga yang stabil. MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.
Sumber : Bank Negara Malaysia (BNM)
0 Comments