Amanah
pelaburan hartanah (REIT) merupakan skim pelaburan kolektif yang menggabungkan
ciri-ciri terbaik hartanah dan unit amanah. i-REIT ialah
alternatif patuh Syariah kepada REIT konvensional.
Pada
November 2005, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menempa nama di
peringkat antarabangsa dengan pengenalan Garis Panduan Amanah Pelaburan
Hartanah Islam, menjadikan Malaysia negara pertama yang melancarkan garis
panduan seumpamanya dalam industri kewangan Islam. Garis panduan ini memberi
bimbingan kepada para peserta pasaran tentang pematuhan Syariah dalam menerbit
dan mengurus sesebuah i-REIT.
Garis
panduan i-REIT ini juga bertujuan melengkapi Garis Panduan
Amanah Pelaburan Hartanah sedia ada.
Apakah itu i-REIT?
Berbanding
REIT konvensional, pendapatan sesebuah i-REIT:
- Hendaklah berpunca daripada aktiviti perniagaan patuh Syariah; atau
- Bagi kes pendapatan bercampur antara aktiviti perniagaan patuh Syariah dan tidak patuh Syariah, hendaklah mematuhi tanda aras 20% yang telah ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC.
Aktiviti-aktiviti
berikut dianggap sebagai tidak patuh Syariah berdasarkan Garis Panduan Amanah
Pelaburan Hartanah Islam:
- Perkhidmatan kewangan berasaskan riba (faedah)
- Pertaruhan dan perjudian
- Pengeluaran atau penjualan barangan tidak halal atau barangan yang berkaitan
- Insurans konvensional
- Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah
- Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan
- Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh Syariah
- Hotel dan rumah peranginan
Selain
daripada itu, penasihat Syariah hendaklah dilantik bagi menasihati pengurus i-REIT
tentang perkara-perkara berkaitan pematuhan Syariah.
i-REIT turut menikmati layanan cukai yang sama
seperti REIT konvensional dari segi duti setem, cukai keuntungan hartanah serta
cukai korporat. Kerangka kawal selia bagi kedua-dua instrument konvensional dan
Islam adalah serupa kecuali dari segi pematuhan kehendak Syariah oleh i-REIT.
Struktur umum sesebuah i-REIT adalah seperti berikut:
Struktur umum sesebuah i-REIT adalah seperti berikut:
- Pelabur melabur dalam i-REIT melalui pegangan unit i-REIT
- i-REIT membeli sekumpulan aset yang terdiri daripada bebebarap buah hartanah
- Pengurus dana mengurus dan mentadbir i-REIT
- Pemegang amanah bertindak sebagai penjaga dana
- Penasihat Syariah memberi nasihat dalam perkara-perkara berkaitan Syariah
- Pengurus hartanah memberi khidmat penyelenggaran dan pengurusan hartanah
- Penyewa menyewa hartanah
Pulangan dan risiko i-REIT
Menjana
pulangan daripada pendapatan sewaan atau peningkatan nilai hartanah, i-REIT
ialah satu pelaburan yang menguntungkan kerana ia menawarkan:
- Aset portfolio yang pelbagai
Para pelabur dapat mempelbagai profil risiko mereka
melalui pelaburan dalam hartanah dan aset yang berkaitan dengan hartanah.
- Pengagihan dividen yang tinggi kepada pemegang unit
Untuk layak mendapat taraf ketelusan cukai, i-REIT
dikehendaki mengagihkan 90% atau lebih daripada jumlah pendapatan kepada
pemegang unit.
- Pulangan yang stabil
Punca pendapatan yang stabil dan lestari daripada
sewaan dan peningkatan nilai hartanah membolehkan i-REIT membayar
dividen secara tetap.
- Mampu milik
Berbanding pembelian hartanah secara terus, i-REIT
merupakan pelaburan dalam pasaran hartanah yang bermodalkan biaya yang lebih
kecil.
- Pelindung nilai daripada inflasi
Namun begitu,
para pelabur perlu sedar akan risiko-risiko berkaitan dengan i-REIT:
- Pulangan adalah tidak dijamin
Jumlah pulangan i-REIT adalah bergantung
kepada pencapaian pasaran hartanah. Oleh itu, harga unit i-REIT boleh
jatuh sekiranya aset mengalami susut nilai.
- Hilang kawalan ke atas hartanah
Para pelabur tidak mempunyai pengaruh secara
langsung ke atas keputusan pelaburan yang dibuat oleh pengurus dana seperti
masa yang terbaik untuk melakukan jual beli sesuatu hartanah atau cara terbaik
untuk mengurus sesuatu hartanah.
- Faktor-faktor pasaran
Harga unit i-REIT turut terdedah kepada
faktor-faktor yang mempengaruhi permintaan dan penawaran pasaran seperti
turun-naik pasaran, keyakinan ekonomi dan pergerakan kadar faedah.
Bagaimanakah untuk melabur dalam i-REIT?
Para
pelabur boleh menjual beli i-REIT yang disenaraikan di Bursa Malaysia
melalui syarikat pembrokeran saham masing-masing. Empat (4) i-REIT yang
disenaraikan di Bursa Malaysia ialah:
- Amanah Pelaburan Hartanah Al-‘Aqar Healthcare
- Amanah Pelaburan Hartanah Axis
- Amanah Pelaburan Hartanah KLCC*
- Amanah Pelaburan Hartanah Al-Salam
*Sekuriti
terikat (stapled securities) yang terdiri daripada unit Amanah Pelaburan
Hartanah KLCC dan saham KLCC Property Holdings Berhad
Sumber : www.bursamalaysia.com
0 Comments