Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti, saya ingin bertanya, adakah dibolehkan untuk membuat aqiqah pada hari ke-5 kelahiran bayi?
Jawapan
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Aqiqah dari segi istilah bermaksud penyembelihan binatang korban sebagai tanda syukur di atas kelahiran anak beserta niat dan syarat-syarat tertentu.
(Lihat: al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/276)
Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/426]. Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.
Riwayat al-Bukhari (2839)
Ia sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut di samping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:
الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ
Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari yang ketujuh selepas kelahirannya, dalam masa yang sama diberikan nama dan dicukur rambutnya”.
Riwayat Abu Daud (1522)
Berdasarkan hadis di atas, penetapan hari ketujuh merupakan hari yang disunatkan sahaja. Sekiranya ada pihak yang ingin melakukan sebelum hari ketujuh ataupun selepasnya, pahala aqiqah tetap dikira di sisi mazhab Syafieyyah.
(Lihat: al-Majmu’, 8/431)
Syeikh Zakariyya al-Ansari Rhm (wafat 926H) menyebut di dalam kitabnya, waktu untuk melakukan aqiqah bermula seusai kelahiran bayi tersebut sehinggalah waktu mencapai usia baligh.
(Lihat: al-Ghurur al-Bahiyyah, 5/171)
Berdasarkan hadis lain yang diriwayatkan oleh Buraidah Bin Husoib al-Aslami RA,
العقيقةُ تُذْبَحُ لسَبْعٍ، أوْ لِأَرْبَعَ عشرَةَ، أوْ لِإِحْدى وعشرينَ
Maksudnya: Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari ketujuh, atau hari ke-14 atau hari ke-21.
Riwayat al-Baihaqi (19771)
Asalnya, disunatkan untuk buat hari ketujuh. Walau bagaimanapun, sekiranya tidak berkemampuan, laksanakanlah pada hari yang ke-14. Jika tidak berkemampuan juga, laksanakan pada hari yang ke-21. Sekiranya tidak berkelapangan juga, buatlah pada mana-mana hari yang berkelapangan. Ini juga pandangan yang dinyatakan oleh Dar al-Ifta’ Mesir[1].
Sebahagian ulama Syafi’i yang terkemudian berpendapat bahawa seseorang yang tidak mampu melakukan aqiqah kemudian berkelapangan selepas tujuh hari kelahiran, tidak disunatkan untuk melakukan aqiqah. Manakala sebahagian Syafieyyah pula berkata sebelum tamat tempoh nifas. Namun, pendapat yang rajih dalam mazhab al-Syafie menyebut bahawa hukum sunat kekal sehingga anak itu baligh. Selepas tempoh baligh, disunatkan anak itu membuat aqiqah untuk dirinya sendiri.
(Lihat: Mughni al-Muhtaj; 6/139)
Lihat perbahasan terperinci berkenaan pelaksanaan aqiqah selepas baligh di sini https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/787-al-kafi-633-hukum-aqiqah-bagi-diri-sendiri.
Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab Hanbali. Alasannya, ibadah aqiqah ini disyariatkan sebagai mensyukuri pemberian anak oleh Allah swt iaitu melalui kelahiran. Memandangkan hari pertama sehingga hari ketujuh termasuk dalam lingkungan hari kelahiran, maka melakukan aqiqah sepanjang tempoh tersebut juga dikira sah dan harus. Keharusan tersebut berdasarkan qiyas kepada isu melaksanakan kafarah sumpah terlebih dahulu sebelum melanggarinya.
(Lihat: al-Kafi Ibn Qudamah, 1/547)
Kesimpulannya, dibolehkan untuk melakukan aqiqah pada hari ke-5 sekiranya tidak berkesempatan untuk melakukannya pada hari ke-7. Namun begitu, jika tidak berkesempatan untuk melakukan pada hari ke-7, disarankan dan digalakkan untuk membuat aqiqah pada hari ke-14 ataupun hari ke-21 berdasarkan hadis Buraidah di atas. Sekiranya tidak berkesempatan, maka buatlah pada bila-bila masa yang berkelapangan sebelum anak tersebut mengenjah usia baligh.
Semoga dengan huraian di atas dapat memudahkan urusan aqiqah kalian sekeluarga.
Wallahua’lam.
Sumber : www.muftiwp.gov.my
0 Comments