MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Sokongan Lebih Separuh Ahli Parlimen Layak Jadi Perdana Menteri (PM)




Buat pertama kalinya dalam sejarah negara, Parlimen akan menjadi penentu untuk merungkai siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Ini susulan kenyataan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini bahawa satu persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac ini bagi mengundi calon yang mendapat majoriti untuk menjawat portfolio nombor satu dalam kerajaan.
Dr Mahathir selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya, hari ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan forum yang tepat untuk memilih Perdana Menteri adalah di Parlimen selepas baginda mendapati tiada calon yang mempunyai majoriti ketara.
Dr Mahathir berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan.
Timbul pula persoalan, berapa jumlah undi majoriti pada persidangan khas itu yang diperlukan untuk seseorang itu dipilih sebagai Perdana Menteri. 
Bagi pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, meskipun Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan secara spesifik tidak menyatakan maksud majoriti, namun mengikut tafsiran beliau seseorang calon itu perlulah mendapat kepercayaan daripada sekurang-kurangnya 112 daripada 222 Ahli Dewan Rakyat.
"Ada yang tafsir majoriti itu bermaksud yang paling banyak...misalnya sekiranya ada tiga calon, yang mendapat undi tertinggi itu yang akan dipilih menjadi Perdana Menteri namun pada tafsiran saya pula, seseorang itu perlulah mendapat  satu pertiga (112) undian barulah layak,” katanya kepada Bernama.
Beliau memberi contoh kes Tan Sri Stephen Kalong Ningkan yang dipecat daripada jawatan Ketua Menteri Sarawak yang kemudiannya menyaksikan mahkamah membuat keputusan bahawa jumlah 21 daripada 42 ahli Dewan Undangan Negeri yang tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinannya, bukanlah jumlah majoriti.
"Jadi secara integrasinya, sekiranya undi tidak percaya memerlukan lebih separuh daripada undian, maka undi kepercayaan juga perlulah lebih separuh barulah dikira sebagai majoriti," katanya.
Shamrahayu juga berkata undian majoriti itu juga adalah logik dan mustahak demi kestabilan kerajaan yang ditubuhkan kerana ia menunjukkan calon itu mendapat sokongan yang optimum dan layak untuk menjawat tampuk kepimpinan tersebut, tanpa mengira ideologi parti.
Dalam pada itu, pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood juga berkongsi pandangan sama, bahawa bakal Perdana Menteri perlu mendapat kepercayaan sekurang-kurangnya majoriti mudah.
"Pengundian di Parlimen adalah atas dasar untuk mencari Perdana Menteri yang mendapat undi kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat, lantas proses mencari 'kepercayaan' ini adalah penting, dipercayai adalah yang pertama kali dijalankan di Parlimen.
"Saya tidak pasti sama ada setiap parti politik akan mencadangkan calon mereka... kemungkinan besar hanya nama-nama tertentu akan dicadangkan atas dasar kemelut sekarang ini yang berkisar kepada pemimpin tertentu sahaja," katanya.
Nik Ahmad Kamal, yang juga Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Professor Negara, berkata proses di Dewan Rakyat adalah tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, maka proses undian adalah tertakluk dalam peraturan dan diselia Speaker Dewan Rakyat.
"Cara pengundian juga mungkin berlainan daripada pengundian biasa di Dewan Rakyat kerana ini mungkin pertama kali... mungkin juga cara kertas undi, mungkin juga cara lain...ini adalah peraturan mesyuarat Dewan Rakyat iaitu peraturan dalaman maka Speaker yang menentukannya," katanya.
Beliau berkata meskipun akan ada ahli dewan yang gagal hadir ketika persidangan khas itu atas faktor yang tidak dapat dielakkan, namun oleh kerana proses tersebut amat penting kepada negara, maka Ketua Whip setiap parti perlulah memastikan setiap anggota mereka hadir untuk mengundi.
"Yang penting adalah undian 112 meskipun tidak lengkap seramai 222 yang hadir... namun korum yang sempurna penting dalam keadaan di mana sidang khas sebegini diadakan untuk masa depan negara," katanya.
-- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments