Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk
‘Energy Candy’ yang tular di laman sosial, baru-baru ini mengandungi racun
berjadual tadalafil yang digunakan untuk pesakit mati pucuk.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham
Abdullah berkata, susulan daripada penularan produk berkenaan di laman sosial,
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) diarah menjalankan pemantauan.
Beliau berkata, hasil analisis makmal, produk
Energy Candy yang dipercayai diimport disahkan mengandungi racun berjadual dan
dilarang penggunaannya dalam makanan di bawah Akta Makanan 1983.
Menurutnya, antara produk lain terbabit
adalah ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.
“Tadalafil sejenis ubat terkawal digunakan untuk
merawat pesakit mengalami masalah mati pucuk dan ia hanya boleh diberikan
kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar.
“Penyalahgunaan racun berjadual tanpa pengawasan
boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan serta
pendengaran selain penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang
berbahaya terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,”
katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur,
hari ini.
Baru-baru ini, tular di laman sosial remaja
lelaki di Dungun, Terengganu yang dikatakan mengalami komplikasi kesihatan
seperti sawan sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas dipercayai
memakan produk berkenaan untuk kejohanan merentas desa di sekolahnya.
Beliau berkata, KKM sudah mengeluarkan larangan
pengimportan dan memberi amaran kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk
itu agar menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan atas talian.
Katanya, tindakan boleh dikenakan mengikut
Seksyen 13, Akta Makanan 1983 yang jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak
melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
“Pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli
produk berkenaan dan jika sudah dibeli, jangan memakannya selain mendapatkan
nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.
“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara
yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan sebarang kemusykilan berhubung
sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan
Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman
web http://moh.spab.gov.my atau Facebook
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.
Sumber : KKM dan Gambar WhatsApp
0 Comments