MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Penghawa Dingin Dan Kesan Sampingan Kepada Manusia



Penghawa dingin telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian dalam kebanyakan penduduk tetapi agak kurang dibincangkan mengenai keburukan menggunakannya secara berterusan.
Terkini terdapat cadangan bahawa penggunaan yang berterusan boleh menyebabkan masalah daripada perasaan mengantuk hingga mengganggu konsentrasi seseorang disebabkan tahap karbon dioksida yang tinggi.

"Saya telah mengukur tahap CO2 dalam kereta saya semasa memandu dari USJ (Subang Jaya) ke Mid Valley. Tahap CO2 mencapai lebih 2,500 bahagian per juta (ppm) dalam pemanduan selama 35 minit.

Oleh itu, saya menganggap tahap CO2 dalam bilik tidur akan tinggi pada waktu pagi sekiranya semua tingkap tertutup," kata Leong Siew Meng, bekas Presiden Ashrae atau American Society of Heating, Refrigerating and Air-Conditioning Engineers cawangan Malaysia.

Di bawah Kod Amalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010 yang dikeluarkan oleh Kementerian Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan, tahap siling untuk CO2 adalah pada 1,000ppm untuk kualiti udara dalaman yang sihat (IAQ).

Kadar IAQ yang tidak baik boleh dikaitkan  dengan masalah jangka pendek dan jangka panjang bermula dari reaksi alergi, masalah pernafasan dan kegatalan mata kepada sinusitis dan bronchitis.


Satu kertas kajian diterbitkan oleh Jurnal Kemampanan Alam bertajuk "Direct Human Health Risks of Increased Atmospheric Carbon Dioxide" juga mencadangkan bahawa walaupun dengan tahap di bawah 1,000ppm, tahap CO2 berpotensi menimbulkan masalah kesihatan walaupun terdedah kepadanya dalam beberapa jam sahaja.

Jurnal tersebut juga mencatatkan bahawa risiko kesihatan daripada tahap CO2 yang tinggi termasuk keradangan, mengurangkan kebolehan kognitif peringkat tinggi, demineralisasi tulang, kalsifikasi buah pinggang dan tekanan oksidatif.

"Tahap CO2 dalam kenderaan boleh juga berpotensi menyebabkan mengantuk," kata Leong.
Beliau memberitahu bahawa ada beberapa rumah yang memasang tingkap yang tetap, bermaksud ianya tidak dapat dibuka.

Dengan tingkap yang dipasang tetap, Leong memberitahu tahap CO2 akan membina di dalam ruang tertutup kerana kebanyakan rumah menggunakan penghawa dingin jenis unit berasingan yang tidak membawa angin dari luar masuk ke dalam rumah.

"Mereka yang mempunyai asthma dan tidur di dalam bilik berhawa dingin semalaman akan memburukkan lagi keadaan mereka," katanya.

Sebagai penyelesaian untuk tidur di dalam bilik berhawa dingin adalah dicadangkan seseorang untuk membiarkan sedikit ruang di antara satu atau dua sentimeter dibuka pada tingkap agar angin luar dapat menyusup masuk.

Untuk penduduk yang bergantung kepada pengambilan udara luar, beliau mencadangkan sebuah kipas ekzos kecil dipasang dalam bilik tersebut.



"Sebagai penyelesaian kepada pemanduan jarak jauh, buka injap laluan angin kenderaan tersebut untuk memasukkan udara luar untuk mengatasi tahap konsentrasi gas karbon dioksida (bilamana udara luar tidak dicemari oleh asap kenderaan di depan atau pembakaran terbuka di kawasan tersebut), " katanya.

Presiden Ashrae, Ng Wen Bin berkata masalah asthma yang semakin teruk, alergi dan juga sindrom kesakitan dalam bangunan (sick building syndrome atau SBS) adalah isu kesihatan yang disebabkan dari penghawa dingin yang tercemar.

"SBS dikaitkan dengan gejala seperti hidung tersumbat, kesusahan bernafas, pening kepala, keletihan dan kegatalan kulit.

"Ada kemungkinan terdapat mikrorganisma yang tumbuh di dalam sistem penghawa dingin disebabkan proses penyejukan udara panas menghasilkan kelembapan dan kondensasi yang mesti dibuang.

"Oleh itu, sekiranya penghawa dingin anda tidak melakukan tugas dengan baik disebabkan kurang senggeraan, kerosakan atau masalah rekabentuk, ianya boleh menjadi tempat membiak bakteria dan kulat," katanya.

Ng berkata untuk menjaga kesihatan, pertahanan yang terbaik ialah dengan menggunakan penghawa dingin yang dijaga dan diselenggara dengan baik.

Jurnal Kemampanan Alam juga mencatatkan pendedahan CO2 perlu juga dilihat dari perspektif kumpulan yang mudah terdedah seperti bayi, orang tua yang lemah dan kumpulan yang paling tinggi pendedahan seperti penduduk yang tinggal di kawasan bandar dan di dalam cuaca tropika.

Laporan yang diterbitkan oleh Ashrae pada September 2019 bertajuk "Do Indoor CO2 Levels Directly Affect Perceived Air Quality, Health, or Work Performance?” menjumpai bahawa beberapa kajian telah memberikan "bukti kuat" bahawa prestasi kognitif seseorang menyusut disebabkan tahap CO2 yang meningkat.

Walau bagaimanapun, kajian tersebut mengakui bahawa beberapa keputusan tidak konsisten dengan kajian-kajian lain yang menjumpai "tiada kesan" dalam prestasi kognitif yang menurun dan ini menambah lagi pendapat bahawa tiada kesan dijumpai sama ada dari gejala kesihatan akut dan kesan kualiti udara untuk tahap CO2 di bawah 5,000ppm.

Sumber: The Star, Pixabay

Post a Comment

0 Comments