Nestle (Malaysia) Bhd telah mengumumkan
keuntungan bersih sebanyak RM672.9 juta untuk tahun berakhir pada 31 Dis 2019
berbanding RM658.88 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Kecemerlangan prestasi ini berjaya diraih
walaupun di sebalik kenaikan harga komoditi serta kadar pertukaran yang tidak
memuaskan, bagaimanapun, ia dapat diimbangi melalui fokus yang berterusan bagi
mendorong kecekapan dan penjimatan untuk melindungi prestasi kewangan.
Kumpulan mencatatkan jumlah dagangan sebanyak
RM5.51 bilion, sama dengan tahun sebelum ini.
"Prestasi 2019 yang positif telah disokong
oleh pelaksanaan operasi jualan yang kukuh, jangkaan aliran pasaran dan aliran
inovasi yang berterusan sepanjang tahun," kata syarikat itu dalam satu
makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.
Nestle mendedahkan bahawa pelancaran yang berjaya
pada 2019 terdiri daripada variasi MAGGI Pedas Giler, NESCAFÉ Tarik Kurang
Manis serta MILO Protein Up, STARBUCKS HOME, Nasi Perang NESTUM dan ais
krim LA CREMERIA serta pelbagai lagi.
Bagi suku keempat berakhir pada 31 Dis 2019, ia
mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu RM131.81 juta berbanding
RM123.82 juta, manakala hasil adalah sebanyak RM1.32 bilion daripada RM1.34
bilion.
"Kami telah dirangsangkan dengan prestasi
2019 kami, terutamanya dalam konteks persekitaran perdagangan yang tidak
menentu. Berdasarkan ini pada 2020, kami terus fokus untuk memacu momentum
pertumbuhan yang kukuh, mengembangkan jenama dan membina keupayaan bagi
terus menghasilkan pertumbuhan yang mampan dan menguntungkan.
"Nestle membayangkan permintaan pengguna
akan terus menerima kesan termasuk tekanan daripada faktor luaran serta
harga komoditi atau krisis-krisis yang sedang ditangani dunia sejak dari awal
tahun.
"Bagaimanapun, kami terus optimistik bahawa
asas yang kukuh dan tumpuan kami terhadap aktiviti komersial yang didorong oleh
pengguna, telah membolehkan kami untuk berada pada kedudukan yang baik bagi
mencapai pertumbuhan berterusan pada 2020.
"Nestle mencadangkan dividen akhir sebanyak
140.00 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2019 tertakluk kepada
kelulusan para pemegang saham di Mesyuarat Agung Tahunan 2020 yang akan datang.
-- BERNAMA
0 Comments