Muzium Kehakiman
Sabah dan Sarawak yang juga muzium kehakiman pertama di Malaysia,
dilancarkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan
Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah di Kompleks Mahkamah
Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Wong dalam
ucapannya berkata muzium kehakiman itu, antara lain menceritakan sejarah yang
terlepas pandang sejak pembentukan Malaysia dan akan memastikan cerita
mengenai kehakiman diwar-warkan kepada generasi hari ini dan akan datang.
Katanya,
perancangan dan penyelidikan meluas dijalankan untuk menggambarkan
bagaimana badan kehakiman berkembang mengikut arus masa sejajar keadaan
ekonomi, sosial dan politik.
Muzium yang
terletak di tingkat lima kompleks mahkamah berkenaan, dibuka kepada orang awam
dari Isnin hingga Jumaat mulai pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Antara artifak
perundangan yang dipamerkan di muzium ini adalah Jata Diraja United
Kingdom yang berusia 132 tahun, disimpan dengan selamatnya di Sandakan sebelum
diserahkan kepada Muzium Kehakiman Sabah dan Sarawak pada April 2019 semasa
pelancaran kompleks mahkamah berkenaan.
“Antara 1881 dan
1882, North Borneo Chartered Company diberikan konsesi untuk mentadbir
North Borneo.
“Hanya pada 1888,
undang-undang Inggeris diperkenalkan melalui penubuhan mahkamah, perlantikan
hakim dan penguatkuasaan undang-undang, seterusnya perletakan Jata Diraja di
mahkamah," katanya sambil menjelaskan bahawa selepas pembentukan Malaysia
pada 16 Sept, 1963, semua mahkamah menggantikan Jata Diraja United Kingdom
dengan Jata Negara kerana mahkamah tidak lagi mewakili istana Britain.
Wong berkata
muzium itu bukan sekadar memelihara artifak dan sejarah perundangan tetapi juga
memperkaya kehidupan rakyat Malaysia dengan ilmu pengetahuan
mengenai perundangan dan memperkenalkan keadilan sosial.
“Keadilan sosial
mempromosikan masyarakat yang berdaya tahan dan kuat. Oleh itu, pentingnya
muzium ini kepada masyarakat sememangnya tidak terkira, “ katanya sambil
menzahirkan harapan agar orang ramai mempunyai sebab untuk datang melawat
muzium berkenaan.
Barangan lain yang
dipamerkan di muzim berkenaan adalah jubah istiadat hakim; tukul hakim; mesin
taip mahkamah lama; cop dan meterai lama; dan cap meterai yang digunakan pada
1960-an.
Sumber : www.bernama.com
0 Comments