Sejak
akhir-akhir ini istilah ‘palatau’ menjadi popular dalam kalangan pengguna media
sosial di Malaysia.
Istilah yang
dikatakan berasal daripada gabungan perkataan ‘kepala tahu’ diguna untuk
merujuk kepada seseorang yang suka bercakap tentang sesuatu perkara seakan-akan
dia seorang pakar sedangkan dia tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam
berkenaan perkara yang dikatakan.
Sejak berita
penularan koronavirus (2019-nCOV) menggemparkan dunia beberapa hari sebelum
sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, muncul ramai ‘pakar jadian’ menunjukkan
‘kepandaian’ mereka melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter serta
laman sembang Whatsapp.
Golongan
‘palatau’ ini cenderung untuk mengeluarkan kenyataan yang tidak benar dan
bercakap berdasarkan pendapat atau telahan peribadi semata-mata.
Mereka juga yang
berpotensi besar menyebarkan berita palsu atau mengeluarkan kenyataan bersifat
provokatif tidak berasaskan fakta sehingga menimbulkan rasa cemas serta resah
anggota masyarakat.
Malangnya dek
kerana kenyataan mereka di media sosial biasanya bersifat sensasi, ia mendapat
banyak ‘like’ dan dikongsi ramai sehingga menimbulkan persepsi salah dan
mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
Sebagai contoh,
pada minggu lalu, berbekalkan gambar atau video yang entah dari mana datangnya,
golongan palatau ini sebar dan dakwa penyakit koronavirus ini sudah menular di
beberapa negeri di Malaysia.
Walhal pada
waktu itu, Malaysia baru sahaja mengumumkan proses kuarantin tiga warga China
yang masuk ke negara ini dari Singapura melalui Johor. Belum pun disahkan
berpenyakit, sudah heboh di seluruh negara kononnya Malaysia sengaja membiarkan
pesakit ini masuk.
KERJASAMA
JENTERA KERAJAAN
Penghargaan
besar selayaknya diberikan kepada semua jentera kerajaan yang bertungkus lumus
memerangi penularan berita palsu ini.
Sebagai contoh,
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melalui semua saluran media sosial mereka
tidak berhenti-henti menyiarkan maklumat penafian ‘berita’ dan dakwaan tidak
berasas yang disebarkan pihak tidak bertanggung jawab.
Tidak cukup
dengan itu, KKM turut menyiarkan statistik terkini perkembangan koronavirus di
Malaysia dan seluruh dunia, video pencegahan virus serta kenyataan akhbar
daripada pihak kementerian agar masyarakat hanya mendapatkan maklumat sahih.
Surujanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja
Malaysia (PDRM) pula bertindak tegas untuk tidak memberi ruang kepada penyebar
berita palsu daripada terus berleluasa, Tindakan yang dikenakan ke atas pihak
yang terlibat hendaknya menjadi pelajaran supaya tidak ada lagi penyebar berita
palsu.
Sehingga artikel
ini ditulis, Kementerian Kesihatan telah menafikan 19 berita palsu berkenaan
isu koronavirus manakala PDRM pula sudah menahan enam individu kerana
menyebarkan berita palsu berkenaan penyakit itu.
Kesemua pendakwaan dibuat berdasarkan peruntukan
undang-undang yang termaktub dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
1998.
Di samping itu
laman sesawang Sebenarnya.my turut menjadi wadah menyebar maklumat tepat
berkenaan perkembangan isu koronaviru dan menafikan berita palsu.
Media tempatan
juga turut menyumbang ke arah usaha memerangi berita palsu ini. Agensi
penerbitan berita kerajaan seperti Bernama, RTM dan Jabatan Penerangan Malaysia
menggunakan semua platform mereka untuk memberi maklumat tepat kepada rakyat.
Tidak dilupakan
juga peranan agensi penerbitan berita swasta yang turut memainkan peranan
menyiarkan pelbagai bahan berkaitan koronavirus serta memastikan kesahihan
berita yang disiarkan demi kebaikan bersama.
CORONAPALATAU
Kesedaran diri
untuk melawan penularan berita palsu memberi ilham kepada pereka grafik, Faris
Akmal Faizal dan mahasiswa bidang farmasi Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM), Azahari Azizi untuk menghasilkan poster unik menyindir
golongan ‘palatau’.
Poster ‘Virus
Coronapalatau’ rekaan mereka menggabungkan perkataan ‘corona’ dan ‘palatau’
dengan definisi ‘sebuah virus yang tiba-tiba muncul dalam kepala otak
sebilangan besar manusia menjadikan mereka pakar dalam setiap perkara’ mencuit
hati banyak pengguna media sosial sehingga dikongsi lebih 3,000 pengguna
Facebook dan Instagram.
Tambah mencuit
hati apabila poster itu turut menyenaraikan gejala serta tip keselamatan
menghadapi virus rekaan itu.
“Saya percaya
bahawa poster lebih mudah untuk disebar luas dan membuat warga maya berfikir
dahulu sebelum menyebarkan apa-apa berita yang tidak dapat dipastikan
kesahihannya.
“Saya juga
berharap agar kita sama-sama dapat mendidik masyarakat menggunakan kepakaran
yang kita ada untuk menjadi sebuah komuniti yang tidak mudah menerima dan
menyebarkan berita yg tidak sahih apatah lagi ketika berlakunya isu yang
melibatkan keselamatan dan kesihatan orang ramai,” kata beliau kepada Bernama.
PORTAL
KHUSUS
Bagi sekumpulan
saintis Malaysia, sumbangan mereka dalam memerangi berita palsu adalah dengan
membina sebuah laman sesawang menyalurkan maklumat tepat tentang perkembangan
isu koronavirus di Malaysia dan seluruh dunia.
“Berdasarkan
sumber maklumat yang disahkan kesahihannya, langkah persediaan boleh dilakukan
untuk melindungi diri dan orang lain. Cetusan panik lantaran penyebaran
maklumat palsu boleh dielakkan berikutan saranan pencegahan efektif dan
maklumat sahih dari pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia. Ini
merupakan misi utama penubuhan kumpulan sukarelawan Corona Tracker,” kata
pengasas laman sesawang CoronaTracker Dr Lau Cher Han.
Laman CoronaTracker
( https://www.coronatracker.com/)
dibangunkan oleh Dr Lau yang berpangkalan di Pulau Pinang bersama 400
sukarelawan dari Malaysia dan beberapa negara lain seperti Singapura,
Indonesia, Filipina, Taiwan, Jepun, Amerika Syarikat dan Botswana.
Melalui laman
ini, orang ramai boleh mengetahui jumlah bilangan kes yang dikenal pasti,
bilangan kes kematian, kes disyaki dan kes yang disembuhkan di seluruh dunia.
Ia turut menghimpunkan berita berkaitan koronavirus dari seluruh dunia untuk
memudahkan rujukan pengguna.
Syukurlah,
akhirnya rakyat Malaysia bersatu hati melawan berita palsu!
Disunting oleh
Melati Mohd Ariff
--BERNAMA
0 Comments