Mahkamah Persekutuan hari ini dalam keputusan
majoriti 4-3, memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan
perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh dibin atau dibinti dengan nama
bapanya.
Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden
Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemuka
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk
mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan pada 2017, memutuskan anak orang
Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa, sebaliknya perlu
‘dibin atau binti Abdullah.’
Hakim Rohana yang menyampaikan keputusan majoriti
Mahkamah Persekutuan itu berkata, Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan
Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang
Melayu kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga.
Beliau berkata, Seksyen 13A tidak diguna pakai
dalam sistem nama orang Melayu dan tidak membolehkan anak-anak dibin atau
dibinti dengan nama peribadi orang yang diketahui ialah bapa kepada anak itu
(responden pertama dalam kes rayuan ini).
Hakim Rohana, bagaimanapun mengeluarkan perintah
penting bagi Ketua Pengarah JPN untuk mengeluarkan ‘bin Abdullah’ daripada
sijil kelahiran kanak-kanak itu.
“Nama responden pertama (kanak-kanak) tanpa ‘bin
Abdullah’ perlu kekal,” katanya.
Hakim Rohana berkata, Ketua Pengarah JPN tidak
boleh menggunakan fatwa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terhadap kanak-kanak itu
kerana tiada fatwa tentang bagaimana memberi nama pada kanak-kanak tidak sah
taraf yang diwartakan di Johor.
Fatwa Kebangsaan menyatakan bahawa anak tidak sah
taraf Islam hendaklah ‘dibin atau binti Abdullah’.
“Pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau
sesuatu fatwa itu akan menjadi undang-undang di negeri Johor dan mengikat di
sisi perundangan jika ia diwartakan dalam Warta Negeri selaras dengan Seksyen
49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003,” katanya.
Dalam penghakimannya, Hakim Rohana berkata, Ketua
Pengarah JPN bertindak secara tidak munasabah dalam menggunakan fatwa tertentu
ke atas kanak-kanak itu serta ibu bapanya, dan dengan berbuat demikian, Ketua
Pengarah JPN telah merampas kuasa Sultan Johor.
Beliau berkata, Ketua Pengarah JPN, dalam
melaksanakan pendaftaran kelahiran anak-anak orang Islam, boleh merujuk dan
bergantung pada Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor)
2003 mengenai pewarisan harta pusaka.
Katanya, tindakan Ketua Pengarah JPN tidak
membenarkan permohonan bapa agar kanak-kanak itu dibin dengan namanya betul
dari segi undang-undang.
Tiga lagi hakim iaitu Hakim Besar Malaya, Tan Sri
Azahar Mohamed dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Mohd Zawawi
Salleh dan Tan Sri Idrus Harun bersetuju dengan Hakim Rohana, manakala Hakim
Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah serta Hakim-Hakim Mahkamah
Persekutuan, iaitu Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nallini
Pathmanathan menentang.
Dalam penghakiman menentangnya, Hakim Nallini
berkata, Seksyen 13A terpakai dalam pendaftaran kelahiran anak-anak orang Islam
yang membolehkan mereka dibin atau dibinti dengan nama peribadi individu yang
mengaku sebagai bapa kanak-kanak itu.
Beliau berkata, BDRA terpakai kepada semua orang
di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.
Sementara itu, peguam Datuk Ikbal Salam yang
mewakili Majlis Agama Islam Johor memberitahu pemberita bahawa fatwa berkaitan
anak tidak sah taraf dibin atau dibinti Abdullah bagi negeri Johor hanya
diwartakan pada 21 Mei 2018.
Beliau berkata, meskipun fatwa itu diwartakan
selepas kes berkenaan bermula, namun pada masa akan datang, kedudukan seseorang
individu akan jelas kerana sudah terdapat fatwa yang diwartakan di Johor yang
berkaitan dengan anak tidak sah taraf.
Responden dilahirkan kurang enam bulan selepas
pernikahan ibu bapanya, yang disifatkan sebagai anak tidak sah taraf di bawah
undang-undang syariah.
Ibu bapa kanak-kanak (yang identiti mereka
dirahsiakan oleh mahkamah) itu memohon kepada JPN mengikut Seksyen 13 BDRA
untuk kanak-kanak itu dibin dengan nama bapanya di dalam sijil kelahirannya,
tetapi JPN enggan menggantikannya dengan nama bapa atas alasan kanak-kanak itu
tidak sah taraf.
Ibu bapa itu kemudian memfailkan permohonan
semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak pada 4 Ogos 2016.
Pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membenarkan
semakan kehakiman mereka untuk mengarahkan Ketua Pengarah JPN menggantikan nama
keluarga kanak-kanak berkenaan, iaitu ‘Abdullah’ dengan nama bapa kanak-kanak
itu dalam sijil kelahiran. - BERNAMA
0 Comments