Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan tiga (3) lantikan baharu pengurusan kanan TH iaitu (i) Ketua Pegawai Kewangan, (ii) Ketua Pegawai Pelaburan dan (iii) Pengurus Besar Pelaburan Strategik bagi mengukuhkan pentadbiran kewangan dan pelaburannya.
YBhg. Dato’ Merina binti Abu Tahir telah dilantik
sebagai Ketua Pegawai Kewangan berkuatkuasa pada 5 Februari yang lalu. Beliau
adalah Akauntan Bertauliah Malaysian Institute of Accountants (MIA),
Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Malaysian Institute of
Certified Public Accountants (MICPA), ASEAN Chartered Professional Accountant
(ASEAN CPA), dan Institute of Internal Auditors Malaysia (IIAM).
Beliau mempunyai lebih daripada 30 tahun
pengalaman bekerja di pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk
multinasional, institusi kewangan dan amalan audit. Pengalaman luas Dato’
Merina meliputi aspek pengurusan umum, kewangan, komersial, pembangunan
perniagaan, dan audit dalaman & luaran. Selain pernah dilantik sebagai ahli
Majlis MIA pada Disember 2016 hingga November 2019, beliau juga merupakan
mantan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia.
Bagi mengukuhkan pengurusan pelaburan, TH
telah melantik Encik Mohamad Damshal Awang Damit sebagai Ketua Pegawai
Pelaburan (berkuatkuasa 20 Januari 2020). Beliau merupakan lulusan MBA dari
University of Toledo, Ohio, USA dan juga adalah pemegang charter sebagai
Penganalisis Kewangan Bertauliah atau Chartered Financial Analyst (CFA).
Sebelum menyertai semula TH,
Encik Mohamad Damshal merupakan Ketua Pelaburan Ekuiti dan Pendapatan Tetap di
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Malaysia. Beliau mempunyai lebih
daripada 26 tahun pengalaman bekerja khususnya dalam bidang pengurusan
pelaburan domestik dan luar negara, analisa kredit serta kawal selia risiko,
termasuk pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat dana pelaburan
komersil. Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat di TH dari 1999
sehingga 2003 di bahagian perancangan korporat dan pernah mengetuai pengurusan
portfolio pelaburan pendapatan tetap.
Bagi meningkatkan potensi pelaburan aset
strategik, TH telah melantik Tuan Haji Muhammad Fawwaz
Aminuddin sebagai Pengurus Besar Pelaburan Strategik berkuatkuasa 11 Februari
2020. Beliau adalah pemegang CFA dari CFA Institute dan Akauntan Bertauliah
(ACA) dari Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan
strategi pelaburan dengan pengkhususan dalam perancangan strategik, pembangunan
organisasi, penstrukturan transaksi, kewangan korporat, pengurusan projek,
penilaian pelaburan serta pembangunan perniagaan. Beliau juga pernah berkhidmat
sebagai juruaudit di Deloitte United Kingdom sebelum menyertai
PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia sebagai perunding korporat. Sebelum menyertai
TH, beliau berkhidmat sebagai Pengurus Besar di UMW Group dan
sebagai pengurusan tertinggi beberapa buah syarikat di Timur Tengah. -Tamat-
Sumber : www.tabunghaji.gov.my/& Imej Google
0 Comments