Setelah
sekian lama menjalani ujian sebelum dapat digunakan secara komersial, akhirnya
GE9X berjaya diterbangkan di udara bersama pesawat baharu Boeing 777X pada 25
Januari 2020 yang lalu. GE9X ialah enjin generasi terbaru daripada sebelum ini
iaitu GE90 yang sudah berada berbelas tahun dalam pasaran dunia penerbangan dan
digunakan oleh pesawat Boeing 777 daripada syarikat penerbangan seperti Etihad
Airways, British Airways, Emirates dan Air New Zealand.
Sebelum
itu, untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita berkenalan dahulu apa itu
GE9X yang dibangunkan oleh General Electric (GE) Aviation, syarikat gergasi
pembuatan enjin pesawat di dunia selain daripada Rolls Royce. Kami berharap,
setelah anda membaca artikel ini, dapatlah sedikit sebanyak pengetahuan
berkaitan enjin pesawat komersial yang acap kali terbang di ruang udara kita.
GE9X
telah dibangunkan khas untuk keluarga baharu pesawat Boeing 777X, di mana
Boeing 777X ini mempunyai dua varian, iaitu 777-8 dan 777-9. Setelah siap
dibangunkan, GE9X secara rasminya merupakan enjin pesawat komersial paling
besar dan berkuasa di dunia. Ia sangat besar dan sangat berkuasa, sehingga
sukar diungkapkan dengan kata-kata betapa besarnya ia. Anda mahu tahu betapa
besar dan berkuasanya ia? Kami akan tulis sedikit sebanyak fakta berkaitan
GE9X.
Untuk
pengetahuan anda semua, GE9X dilengkapi 16 bilah kipas gergasi diperbuat
daripada bahan komposit termaju. Kami tidak pasti bahan terperinci yang
digunakan untuk membuat bilah kipas enjin tersebut, sudah pastinya ia adalah
resepi rahsia daripada GE. Namun, GE ada mendedahkan bahawa antara bahan yang
digunakan ialah generasi keempat “carbon fibre” komposit termaju. Melalui
penggunaan bahan ini, GE mendakwa ia lebih ringan dan kuat daripada titanium.
Setiap
bilah kipas GE9X berdiameter 11.15 kaki iaitu bersamaan dengan 3.40 meter dan
diameter keseluruhan enjin GE9X ialah 3.96 meter. Jika kita bandingkan dengan
pesawat komersial lain seperti Boeing 737, saiznya lebih besar dan lebar
daripada badan Boeing 737 yang biasa kita gunakan dalam penerbangan domestik
seperti Malaysia Airlines dan juga Ryanair. Besar bukan? Ya, GE9X lebih besar
daripada badan Boeing 737. Anda juga boleh mendukung kawan anda dan berdiri di
dalam enjin tersebut tanpa masalah ruang. Ia sangat besar!
Seterusnya,
kami akan menerangkan sedikit spesifikasi enjin GE9X ini. Untuk mengurangkan
bunyi dan juga menjimatkan penggunaan bahan api, GE9X dibangunkan dan dicirikan
daripada “High-bypass turbofan[1]”. Selain itu, turbin GE9X mempunyai
2-bahagian tekanan tinggi (HP) dan 6-bahagian tekanan rendah (LP). Kompresor
GE9X pula mempunyai 3-bahagian tekanan rendah (LP) dan 11-bahagian tekanan
tinggi (HP). Hal ini menjadikan GE9X menjadi lebih efisien berbanding generasi
enjin sebelumnya.
Untuk
lebih mengetahui kuasa yang akan dijana oleh GE9X, mari kita selidik “Bypass
ratio[2[“ bagi GE9X. Bypass ratio bagi
enjin ini ialah sebanyak 10:1. Untuk pengetahuan anda, bypass ratio bagi enjin
turbofan bermaksud nisbah jisim kadar aliran udara masuk terhadap jisim kadar
aliran udara yang dimampatkan memasuki teras enjin. Sebagai contoh, nisbah 10:1
bermaksud 10 kg udara memasuki enjin bagi setiap 1 kg udara yang melalui teras
enjin. Dengan ini, GE9X dapat menjana kuasa tujahan sebanyak 105000 paun (47627
kg). Bagi perbandingan, enjin pesawat pejuang F-16 Falcon hanya dapat menjana
kuasa tujahan sebanyak 27000 paun sahaja. Ya, ia sangat berkuasa! Berbekalkan
kuasa tujahan ini, GE9X mampu menerbangkan pesawat yang seberat 180 tan dengan
begitu mudah.
Anda
mahu lihat kuasa tujahan bagi pesawat komersial? Di bawah ini kami sertakan
bayangan kekuatan kuasa tujahan bagi enjin pesawat komersial.
Ya,
sekiranya aanda melalui belakang enjin, anda mungkin ditolak dan diterbangkan
bersama-sama kereta tersebut. Di dalam sedutan video di atas, enjin Boeing 747
tersebut hanyalah berkuasa tujahan sebanyak 58000 paun. Bayangkan pula GE9X.
Justeru, tidak hairanlah sehingga enjin ini sudah mendapat tempahan sebanyak
700 buah daripada syarikat-syarikat penerbangan seluruh dunia kerana GE9X
sangat berkuasa, besar dan hebat. Demikianlah sedikit sebanyak fakta berkaitan
enjin pesawat komersial yang paling besar dan berkuasa di dunia. Kami harap
anda dapat sedikit pengetahuan berkaitan enjin pesawat komersial dan juga dunia
penerbangan yang tidak asing lagi bagi kita.
0 Comments