Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Benarkah boleh bertawakkal tanpa berusaha untuk mencapai apa yang diingini?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Kami mulakan maksud tawakkal. Ibn al-Athir menyebut, tawakkal bermaksud menyerahkan urusan kepada pihak lain atau menggantungkan kepadanya. Hal ini disebabkan kerana kepercayaan penuh kepada yang diserahkan atau ketidakmampuan menangani sendiri. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/221)
Ibnu Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahah dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahwa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali Dia.” (Lihat Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, 3/1266)
Allah SWT berfirman:
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
Maksudnya: Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Surah al-Talaq (3)
Ibn Qayyim menjelaskan: Dalam firman Allah SWT di atas, tidak dikatakan bahawa orang yang bertawakkal akan dibalas dengan pahala sekian dan sekian seperti balasan untuk amalan yang lain. Malah disebut balasan dari tawakkal adalah Allah sendiri yang mencukupkannya. Jika seseorang benar-benar bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan memberikan jalan keluar melalui langit dan bumi serta setiap makhluk di dalamnya yang Allah tundukkan. Allah SWT akan mencukupkan dan menolong orang yang bertawakkal tersebut. (Lihat Bada’i al-Fawa’id, 2/775)
Adakah Tawakkal itu Tidak Perlu Kepada Usaha?
Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan di sini sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda:
لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
Maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164),
Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894)
Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894)
Dalam menjelaskan maksud hadis ini, Imam al-Munawi berkata: Hal ini menunjukkan bahawa tawakkal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Tawakkal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki.
Dalam hadis ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa tawakkal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. (Dinukilkan dalamTuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi, 7/8)
Imam al-Suyuti menukilkan bahawa Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman berkata: “Hadis ini bukanlah dalil untuk duduk bersantai-santai dan enggan melakukan usaha untuk memperoleh rezeki. Sebaliknya hadis ini merupakan dalil yang memerintahkan untuk mencari rezeki kerana burung tersebut pergi pada pagi hari untuk mencari rezeki.
Imam al-Ghazali menyatakan: Tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap eskapisme bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha atau gagal usahanya, tetapi tawakal itu ialah tempat kembalinya segala usaha. Tawakal bukan menanti nasib sambil berpangku tangan, tetapi berusaha sekuat tenaga dan setelah itu baru berserah diri kepada Allah. Allah lah yang nanti akan menentukan hasilnya. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/65)
Justeru, usaha mesti tetap dilakukan. Malah Rasulullah SAW turut melakukannya. Rasulullah SAW berperang dengan tombaknya dan memakai dua lapis baju besi dalam pelbagai peperangannya. Baginda Nabi SAW juga memakai topi besi pada kepalanya. Rasulullah SAW juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:
اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Maksudnya: Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal.
Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708)
Rasulullah SAW memerintahkan kepadanya untuk melakukan usaha terlebih dahulu dan kemudian menyerahkan urusannya kepada Allah SWT. Justeru, hendaklah wujud usaha dalam sesuatu perkara di samping penyerahan urusan kepada Allah SWT.
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan kenyataan-kenyataan di atas, dapat difahami bahawa tawakkal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki.
Kami nyatakan di sini, maksud sebenar tawakkal terangkum padanya tekad, azam, strategi, usaha dengan bersungguh, doa dan diakhiri dengan redha atas keputusan Allah SWT. Jika berjaya dan terhasil, disyukurinya. Sebaliknya jika gagal, dia akan berusaha di samping bersabar. Sudah pasti, wujud di sebaliknya hikmah yang tak terjangkau dek akal.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita serta menjadikan kita daripada mereka yang bertawakkal dengan sebenar-benar tawakkal kepada-Nya. Amin.
Sumber: www.muftiwp.gov.my
Sumber: www.muftiwp.gov.my
0 Comments