MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Bolehkah Imam Wanita menguatkan suaranya Dalam Solat Jahar?



SOALAN
Assalamualaikum Ustaz, adakah boleh seorang perempuan menguatkan suaranya di dalam solat maghrib, isyak atau subuh seperti lelaki? Lagi-lagi kalau dia menjadi imam kepada jemaah perempuan. Mohon pencerahan ustaz.
JAWAPAN
Muqaddimah
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Kekuatan suara ketika  membaca bacaan solat terbahagi kepada dua iaitu:
  • Solat jahriyyah iaitu membaca bacaan dengan suara yang kuat
  • Solat sirriyyah iaitu membaca bacaan dengan suara yang perlahan
Membaca bacaan solat secara kuat atau perlahan di tempat-tempatnya merupakan salah satu dari sunat hai’at dalam solat.
Antara tempat tempat yang disunatkan untuk membaca dengan kuat (jahar) ialah ketika solat Subuh, pada dua rakaat pertama solat Maghrib dan Isyak, solat Jumaat, solat Hari Raya Adilfitri dan Aidiladha, solat gerhana bulan, solat istisqa’, solat terawih dan witir pada bulan Ramadhan. Hal ini disunatkan sama ada sesorang tersebut menjadi imam kepada Jemaah solat atau solat secara bersendirian.
Manakala selain daripada solat-solat tersebut, disunatkan membaca dengan bacaan yang perlahan (sirr) sama ada imam atau pun solat bersendirian contohnya ketika solat Zuhur dan Asar. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 1/149]
Berkata Imam al-Mawardi:
حَدُّ الْجَهْرِ أَنْ يُسْمِعَ مَنْ يَلِيهِ وَحَدُّ الْإِسْرَارِ أَنْ يُسْمِعَ نَفْسَهُ
Maksudnya: Had bacaan jahar (kuat) ialah didengari oleh orang disebelahnya, dan had bacaan israr (perlahan) hanyalah didengari oleh dirinya sendiri.
Justeru, membaca bacaan di dalam solat jahriyyah sunat dilakukan oleh setiap orang Islam, lelaki dan perempuan sama ada solat secara bersendirian atau menjadi imam. Namun apabila menjadi makmum, hendakalah dibaca bacaan solat dengan perlahan sahaja dan makruh sekiranya makmum menguatkan suara.
Berkata Imam al-Nawawi:
أَمَّا الْمَرْأَةُ فَقَالَ أَكْثَرُ أَصْحَابِنَا إنْ كَانَتْ تُصَلِّي خَالِيَةً أَوْ بِحَضْرَةِ نِسَاءٍ أَوْ رِجَالٍ محارم جهرت بالقراءة سواء صلت بنسوة أو مُنْفَرِدَةً وَإِنْ صَلَّتْ بِحَضْرَةِ أَجْنَبِيٍّ أَسَرَّتْ
Maksudnya: Adapun seorang perempuan, maka berkata kebanyakan ulama’ Syafie – sekiranya seorang perempuan solat bersendirian, atau bersama-samanya sekumpulan perempuan, atau lelaki mahramnya, hendaklah dia menguatkan suaranya dalam bacaan solat sama ada solat berjemaah dengan perempuan yang lain atau sendirian. Namun, sekiranya seorang perempuan solat dengan kehadiran lelaki ajnabi, maka hendaklah dia memperlahankan suaranya
Berkata Imam al-Bandanijiy bahawa bacaan jahar (kuat) suara perempuan mestilah lebih rendah daripada bacaan kuat seorang lelaki. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 3/390]
Dan yang dimaksudkan dengan menguatkan bacaan bagi seorang perempuan adalah dengan dapat didengari oleh makmum yang solat bersamanya atau sesiapa yang solat dibelakangnya. [Lihat: al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa Bayt al-Muslim 1/255]
Penutup
Tuntasnya, seorang perempuan disunatkan untuk menguatkan suaranya dalam solat jahriyyah sama ada solat bersendirian atau menjadi imam kepada jemaah perempuan yang lain. Namun begitu, sekiranya terdapat lelaki yang bukan mahramnya, maka hendaklah dia membaca bacaan solat secara sirr (perlahan) sahaja sama ada ketika menjadi imam, makmum atau secara bersendirian.
Walaubagaimanapun, dibolehkan seorang perempuan yang menjadi imam menguatkan suaranya ketika membaca bacaan solat tetapi mestilah tidak melebihi kekuatan dan kelantangan suara seorang lelaki.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya. Amin.
WaAllahu a’lam. 

Sumber : www.muftiwp.gov.my

Post a Comment

0 Comments