MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

BNM Mungkin Kurangkan OPR Tahun Ini


Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melihat keperluan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk sekali lagi mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) tahun ini bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Pengerusi MIER, Tan Sri Dr Kamal Salih, berkata beliau tidak menolak kemungkinan bank pusat akan melaksanakan langkah itu selepas mengambil kira pertumbuhan lemah ekonomi negara tahun lalu, di samping impak daripada COVID-19.

“Pengurangan kadar itu adalah tidak mustahil dan ia sentiasa terbuka. Sudah tentu (penurunan OPR) akan memberi impak positif apabila lebih banyak kecairan akan masuk ke dalam pasaran, jadi ia amat penting," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media MIER mengenai impak penularan COVID-19 kepada ekonomi Malaysia, di sini, hari ini.

BNM pada Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) bulan lalu menurunkan OPR yang menjadi penanda aras kadar faedah tempatan kepada 2.75 peratus.

Penurunan itu mengejutkan pasaran kerana kebanyakan menjangkakan kadar penanda aras pinjaman tempatan itu akan dikekalkan buat masa sekarang.

Mengenai kajian MIER berkenaan kesan COVID-19 terhadap ekonomi Malaysia, Dr Kamal berkata, ia dibuat dengan mengandaikan berlaku dua senario iaitu jika keadaan lebih baik (low case) atau lebih buruk (high case).

Untuk keadaan yang lebih baik, beliau berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku pertama tahun ini dijangka susut 0.15 peratus manakala untuk senario lebih buruk, jatuh 0.77 peratus.

“Selain itu, kadar pengangguran bagi sektor berkaitan pelancongan juga dijangka meningkat di antara 0.5 hingga 0.8 peratus untuk ‘low case’ dan di antara 1.8 hingga 3.5 peratus bagi ‘high case’,” katanya.

Sumber : Berita harian

Post a Comment

0 Comments