Berdasarkan
pemeriksaan lapangan yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), terdapat penemuan penapis air yang
mengandungi bahan dari sumber haiwan seperti tulang dan lemak.
Pengarah
Bahagian Pengurusan Halal JAKIM Bukhari Md Akhir berkata, walau bagaimanapun,
masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kesimpulan secara menyeluruh
bahawa komponen yang terkandung dalam penapis air adalah dari sumber bahan
tidak halal.
Katanya,
ini kerana di dalam pensijilan halal, segala sumber bahan mentah atau ramuan
yang berasaskan haiwan adalah kritikal serta status kehalalannya wajib
diperiksa dan disahkan pihak berautoriti sebelum digunakan mana-mana pemegang
atau pemohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Menurutnya,
syarat berkenaan adalah salah satu keperluan umum yang perlu dipenuhi oleh
pemohon SPHM untuk pelbagai skim yang ditawarkan dalam pensijilan halal
Malaysia.
“Pemeriksaan
halal oleh JAKIM dan JAIN bukan sekadar secara dokumentasi semata-mata bahkan
membabitkan pemeriksaan secara lapangan iaitu keberkesanan Sistem Jaminan Halal
(SJH) yang diamalkan syarikat terutama kepada premis makanan berangkai yang
banyak menggunakan fasiliti penapis air.
“Penemuan
penapis air yang mengandungi komponen haiwan akan menyebabkan permohonan Sijil
Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dikenakan ketidakakuran pihak JAKIM dan JAIN
sehinggalah unsur meragukan itu dihindarkan penggunaannya dari premis atau
produk yang mahu dipersijilkan halal.
Situasi
ini menjadi lebih rumit apabila ia membabitkan jumlah rangkaian yang banyak,
masa yang lama untuk menggantikan penapis air yang mematuhi hokum syarak, kos
dan komitmen yang tinggi dari pemohon SPHM,” katanya kepada Harian Metro.
Bukhari
berkata, kerumitan itu mampu diatasi lebih awal jika pasukan Jawatankuasa Halal
Dalaman mempunyai tahap ketelitian yang tinggi sebelum menghantar permohonan ke
JAKIM dan JAIN.
“Sewajarnya,
penilaian yang lebih mendalam terhadap semua aspek pemprosesan produk dan
perkhidmatan halal diperhalusi sebaik mungkin dan dibincangkan secara serius
sebelum pemasangan fasiliti membabitkannya dilakukan.
“Demi
merancakkan lagi pertumbuhan bilangan pemegang SPHM dan kelestariannya, jabatan
ini sentiasa bersikap terbuka terhadap pelbagai bentuk perbincangan dengan
industri yang menghadapi banyak kekangan untuk memenuhi syarat pensijilan demi
kebaikan ummah sejagat,” katanya.
Untuk
mengetahui dengan lebih lanjut barang gunaan yang telah dipersijilkan halal,
sila layari Portal Rasmi Halal Malaysia di www.halal.gov.my dan
semakan juga boleh dibuat menerusi aplikasi Verify Halal.
(Sumber :
Harian Metro , 05 Janauari 2020) dan Facebook JAKIM)
*Ikuti
kupasan lanjut berkaitan isu-isu serta info halal semasa di akhbar-akhbar
tempatan:-
0 Comments