KUALA LUMPUR, 16 Jan -- Program Sarapan Percuma
(PSP) di sekolah akan diteruskan namun disasarkan kepada murid daripada
keluarga kurang mampu sahaja, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, adalah tidak adil untuk turut menyediakan bantuan itu kepada anak daripada golongan berada.
"Kita akan teruskan program (PSP) yang ada sekarang, tetapi akan tertumpu pada mereka yang kurang mampu.
"Jika yang ada duit, kaya, yang makan di rumah banyak pun dapat, itu tak adil ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur Tenaga Nasional Berhad di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata penerima manfaat program itu akan ditambah dari masa ke masa.
Kementerian Pendidikan sebelum ini menyatakan PSP fasa pertama 2020 akan bermula 20 Jan ini membabitkan 37,000 murid dari 100 sekolah di seluruh negara, dengan anggaran kos RM22 juta.
Ia menggunakan menu makanan berkonsepkan Grab ‘n’ Go terdiri daripada menu minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwic, buah-buahan atau telur rebus.
Sumber : Bernama dan gambar TNB
0 Comments