Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia
Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah
menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Setiap
tahun tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia
akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj
berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Kota Mekkah ke
Kota Madinah.
Israk dan
Mikraj adalah kisah perjalanan Rasulullah
S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua
fasa.
Fasa Pertama
Israk
yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang bernama Buraq dari Masjidil Haram di Mekah
ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
Fasa Kedua
Mikraj
ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan
Rasulullah S.A.W ini telah dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah
Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud;
“Maha
Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al
Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar
Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Menariknya,
keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para
ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa
perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan
dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi
SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat
tadi di mana Allah menegaskan “asra bi ‘abdihi lailan” yang bermaksud
memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di
sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya
serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah
tentu firman Allah itu berbunyi “asra bi rohi ‘abdihi lailan” yang bermaksud
memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di
mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya
iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa
ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya,
mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun
mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi
bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka
tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang
telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah
kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W
bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk
Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan
baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi
Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar
berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W
lalu beliau dengan tegas menyatakan :
“Benar!
Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W
mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku
tetap beriman kepadanya”. Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah
bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga
beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.
Selain
itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan
manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa
bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali
sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik
peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
Sebelum
berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut
oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam
(‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan
hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya
dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan,
didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam
perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.
Semasa
Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang
perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat
Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia
dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan
bersembahyang sebanyak dua rakaat.
Antara
tempat-tempat berkenaan ialah:
01.Negeri
Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
02.Bukit
Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,
03.Baitul-Laham
(tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan),
Dalam
perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin ‘Afrit
dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat
ajaib.
Peristiwa-peristiwa
tersebut adalah seperti berikut :
01.Kaum
yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai,
hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini
berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum
yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali
ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
02.Tempat
yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur
Masitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya
(termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh
oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui
Fir’aun sebagai Tuhan).
03.Sekumpulan
orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala
mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali.
Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka
untuk sujud (sembahyang).
04.Sekumpulan
orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis
kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu
dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan
zakat harta mereka.
05.Satu
kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan
daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang
melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
06.Lelaki
yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah
orang yang makan riba.
07.Lelaki
yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah
lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah
tetapi masih menerima amanah yang lain.
08.Satu
kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi
berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti
biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu
yang dia sendiri tidak melakukannya.
09.Kaum
yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail:
Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah
(mencela, menghinakan) orang.
10.Seekor
lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya
semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur).
Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
11.Seorang
perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak
memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian
kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.Seorang
perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti.
Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang
mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13.Seorang
perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata
Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari
kiamat.
Setibanya
di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam
masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin
menjadi makmum.
Rasulullah
S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu.
Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat
pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan
menjadi sesat.
Semasa
Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );
Didatangkan
Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke
atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit
Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu
berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan
riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan
mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina
perempuan.
Di Langit
Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan
bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
Di Langit
Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit
Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit
Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang
dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di Langit
Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya
dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu
dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk
syurga tanpa hisab.
Di Langit
Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu
dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi
oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda,
“Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat
dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah
umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH
Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada
umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan
tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA
ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL-
‘ALIYYIL-‘AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan
ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”.
Setelah
melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke
dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas
Baitullah di Mekah).
Di
Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan
pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada
pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai
madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan
bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan.
Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat
menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya
baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Di Tangga
Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha.
Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam.
Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki
di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada
masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Di Tangga
Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat
Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas
sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT
: Ya Muhammad.
Rasulullah
: Labbaika.
Allah SWT
: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai
Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan
Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi.
Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada
sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin.
Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan
orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan
ibunya daripada syaitan.
Allah
S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih.
Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu.
Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku
beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh
ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku
berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di
bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan
amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka
Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan
umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai
munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa
A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar
diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan
kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan
memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya
sebanyak 50 waktu juga.
Selepas
Mikraj:
Rasulullah
S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu
menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam
perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya
menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada
satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18
bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.
(Sumber :
Kitab Jam’ul-Fawaa’id)
Kesimpulannya,
Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang
diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk
kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani
perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan
Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran
seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T
dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya
peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar
kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai
kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam
(apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di
zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan
memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa
Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau
kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan
bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi
Wasallam.
Dengan kita
mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk
dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis
Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh
berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)
Baitulmaqdis
dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis
Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga
tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat
Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam
seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan
dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai
dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.
Berkaitan: Salam Israk Mikraj
11 Comments
Wujudkah lelaki ghaib di nur arasy itu ... Wallah Hu Alam.
ReplyDeleteKalau Muslim harus percaya
DeleteALLAH ALLAHU AKBAR
DeleteKalau wujud ... SIAPA DIA
ReplyDeleteBertanyalah pada ahli zikr jika tidak mengetahui
DeleteALLAH ALLAHU AKBAR
DeleteTODAY I BELIEVE THE MAN WHO IS DISAPPEAR AT ARASY EXIST .... ALLAHU AKBAR
ReplyDeleteINSYA-ALLAH
DeleteALLAH ALLAHU AKBAR WALILLAH HILHAM ALLAHU AKBAR
DeleteLELAKI ITU DIGELAR ..........
ReplyDeleteANAK ARASY OR CHILD OF ARASY
ReplyDelete