Penjelasan
Berkenaan Isu Status Halal Minyak Masak Jenama Helang, Vesawit, Knife dan Buruh
serta Air Minuman Jenama Spritzer.
Pihak
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjawab pertanyaan dari pengguna media social berkenaan status
halal produk minyak masak jenama Helang, Vesawit, Knife dan Buruh serta Air
Minuman Jenama Spritzer.
Ia
berpunca dari tular yang kononnya mendakwa produk-produk tersebut telah diputuskan
haram oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada 26 Mei 2014 kerana
menggunakan gelatin lemak babi dan binatang yang tidak halal.
JAKIM
menegaskan bahawa dakwaan yang menyatakan keputusan sedemikian melalui
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
tersebut adalah tidak benar sama sekali.
Untuk
makluman, minyak masak jenama Helang dan Vesawit keluaran Syarikat Yee Lee
Edible Oils Sdn Bhd, minyak masak jenama Knife dan Buruh keluaran Syarikat Lam
Soon Oils Sdn Bhd serta minuman jenama Spritzer keluaran Syarikat Chuan Sin Sdn
Bhd merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah sehingga
ke hari ini.
Justeru,
masyarakat dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu tular
berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk
pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah, salah faham sesama
ummah dan menjejaskan keharmonian Negara.
Untuk mengetahui
produk premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM),
sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my.
Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.
Ikuti
penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular di:- http://bit.ly/PenjelasanIsuHalalTular
Harap
Makluam dan terima kasih.
“Yakini
Halal Malaysia”
Diterbitkan
pada 17 April 2019M
Sumber :
JAKIM
0 Comments