Pihak
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan secara rasmi pada 5 Januari
2020 tentang satu kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) melibatkan
masyarakat setempat di Wuhan yang terletak di Wilayah Hubei, Republik Rakyat
China. Kejadian
kluster ini telah mula dikesan dan telah dilaporkan oleh pihak berkuasa
Republik Rakyat China kepada WHO China Country Office pada 31 Disember 2019.
Punca
jangkitan masih di dalam siasatan walau bagaimanapun pihak berkuasa Republik
Rakyat China telah mengesahkan jangkitan tersebut bukanlah jangkitan influenza,
avian flu, adenovirus, Middle East Respiratory Syndrome coronavirus (MERS-CoV)
ataupun Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS). Pihak WHO memaklumkan bahawa
insiden ini sedang dipantau rapi namun buat masa ini pihak WHO tidak mengeluarkan
sebarang larangan lawatan dan perdagangan dengan Republik Rakyat China.
Sehingga
5 Januari 2020, sebanyak 59 kes telah dikenal pasti mempunyai kaitan dengan
kejadian kluster tersebut. Daripada jumlah kes tersebut, sebanyak tujuh (7) kes
dalam keadaan yang teruk, manakala yang lain dilaporkan stabil dan tiada kematian
dilaporkan. Pihak WHO juga melaporkan buat masa ini tiada human-to-human
transmission. Siasatan masih dijalankan dan sebanyak 121 kontak rapat kes-kes
tersebut telah dikesan dan diletakkan di bawah pemerhatian.
Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius mengenai kejadian kluster radang
paru-paru (pneumonia) yang berlaku di Wuhan, Republik Rakyat China ini dan
sentiasa memantau kejadian ini dari semasa ke semasa. Antara langkah-langkah
kesiapsiagaan yang dilaksanakan bagi menghadapi potensi penularan penyakit ini
adalah:
i.
Pemakluman berkaitan kejadian kluster ini dan langkah-langkah pencegahan dan
kawalan infeksi kepada anggota KKM di semua peringkat termasuk Pintu Masuk
Antarabangsa Negara;
ii.
Memberi penekanan dan memperkukuhkan aktiviti saringan demam sedia ada dalam
kalangan pengembara oleh anggotaanggota yang bertugas di Pintu Masuk
Antarabangsa Negara;
iii.
Sekiranya mengesan mana-mana pengembara yang demam dan bergejala, pemeriksaan
akan dilakukan semula di pusat kuarantin kesihatan atau tempat pemeriksaan yang
terletak di Pintu Masuk Antarabangsa Negara;
iv.
Saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital
diperkukuhkan bagi memastikan kes-kes yang disyaki akan dirujuk dan
dikendalikan dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi;
v.
Sekiranya terdapat kes yang disyaki, individu tersebut akan dirujuk ke fasiliti
kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut;
vi.
Menggunakan tatacara sedia ada bagi proses pelaporan / notifikasi segera
melalui saluran yang telah dikenalpasti kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah,
Jabatan Kesihatan Negeri dan Crisis
Preparedness
and Response Centre (CPRC) KKM sekiranya terdapat kes disyaki yang dikesan dari
mana-mana fasiliti kesihatan;
vii.
Penggunaan personal protective equipment (PPE) bagi semua anggota kesihatan
yang terlibat perlu diberikan penekanan dan simpanan stok (stockpile) bagi PPE
dan ubat-ubatan bagi menghadapi wabak perlu dipastikan mencukupi untuk
menampung keperluan di fasilti kesihatan masing-masing;
viii.
Memperkukuhkan aktiviti survelan bagi kes influenza-like illness (ILI) dan
severe acute respiratory infection (sARI) di semua lokasi sentinel yang telah
dikenalpasti, termasuk pemantauan berterusan kejadian kluster ILI di dalam komuniti.
Begitu juga, memantau sebarang kejadian luar biasa membabitkan kemasukan
pesakit ILI ke ICU mahupun kematian yang melibatkan pesakit sedemikian; dan
ix.
KKM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan semua agensi yang berkaitan secara
berterusan bagi memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respons KKM bagi
menghadapi potensi penularan jangkitan dalam Malaysia.
KKM
akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan
daripada pihak WHO akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Buat masa ini, tiada
sebarang laporan diterima oleh CPRC KKM mengenai kes bergejala dengan sejarah
perjalanan ke Wuhan. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang
sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.
Kenyataan ini diterbitkan pada 6 Januari 2020
Sumber: Ketua Pengarah KKM
0 Comments