MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Amalan Sunnah Ketika Minum Susu


Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ingin bertanya, ada tak dalam Islam amalan sunnah khusus ketika minum susu atau laban. Mohon penjelasan Dato' Mufti.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT ;
وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً نُسْقِيكُمْ مِمَّا فِي بُطُونِهِ مِنْ بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِلشَّارِبِينَ
Maksudnya : “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terhasil dari dalam perutnya, yang lahir daripada antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”
(Surah al-Nahl : 66)
Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di menyebutkan bahawa sesungguhnya pada haiwan-haiwan ternakan itu yang mana Allah SWT telah tundukkan (sediakan) buat manfaat kamu semua, ada sesuatu yang boleh kamu ambil pelajaran daripadanya iaitu ia menunjukkan kepada kesempurnaan kekuasaan Allah serta luasnya belas kasihanNya. Bilamana Dia telah memberi kamu minum apa yang terhasil daripada dalam perut haiwan - haiwan tersebut yang terdiri daripada kotoran dan darah. Dia telah keluarkan daripada antara kedua-dua perkara tersebut, susu yang bersih daripada apa-apa yang mengeruhkannya (tidak bercampur dengan apa-apa selainnya), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya kerana kelazatannya. Juga kerana ia menghilangkan dahaga serta mengenyangkan. Tidaklah perkara-perkara ini (terjadi) melainkan dengan kekuasaan Allah SWT, bukan semata-mata tabiat semulajadi. Apakah ada sesuatu yang secara tabiat semulajadinya boleh menukarkan kotoran yang di makan oleh haiwan-haiwan serta minuman yang diminumnya yang terdiri daripada air tawar dan masin menjadi susu yang bersih (daripada sebarang anasir-anasir lain), yang menyenangkan orang-orang yang meminumnya. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 443)
Keharusan minum susu
Terdapat banyak hadis yang menunjukkan bahawa Baginda SAW minum susu. Antaranya riwayat daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, beliau berkata :
أَهْدَتْ خالَتي إلى النبيِّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ ضِبابًا وأَقِطًا ولَبَنًا، فَوُضِعَ الضَّبُّ على مائِدَتِهِ، فلوْ كانَ حَرامًا لَمْ يُوضَعْ، وشَرِبَ اللَّبَنَ، وأَكَلَ الأقِطَ
Maksudnya : “Makcikku pernah memberi hadiah kepada Nabi SAW daging dhob, keju dan susu. Kemudian daging dhob tersebut diletakkan di atas hidangan baginda. Kalaulah daging dhob itu haram, ia tidak akan diletakkan (di situ). Baginda meminum susu dan memakan keju.” [HR al-Bukhari (5402)]
Begitu juga, dalam satu riwayat daripada Abu Bakar R.A bahawa beliau telah memberikan segelas air susu kepada Rasulullah SAW dan Baginda telah meminumnya. [HR al-Bukhari (2439)]
Sunnah-sunnah ketika minum susu
Ada beberapa amalan yang sering Baginda SAW beri perhatian akannya ketika minum susu. Antaranya ialah :
  1. Mencampurkan susu dengan air
Perkara ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A menyatakan bahawa :
أنَّ رَسولَ اللَّهِ ﷺ أُتِيَ بلَبَنٍ قدْ شِيبَ بماءٍ، وعَنْ يَمِينِهِ أعْرابِيٌّ، وعَنْ شِمالِهِ أبو بَكْرٍ، فَشَرِبَ ثُمَّ أعْطى الأعْرابِيَّ، وقالَ: الأيْمَنَ فالأيْمَنَ
Maksudnya : “Rasulullah SAW pernah diberi susu yang telah dicampur dengan air, sementara di sebelah kanannya terdapat seorang Arab Badwi. Manakala sebelah kirinya adalah Abu Bakar. Kemudian, baginda meminum susu tersebut. Kemudian, baginda memberikan (lebihan) susu tersebut kepada Arab Badwi itu sambil bersabda : “(Dahulukan) yang kanan dan kanan.” [HR al-Bukhari (5619) dan Muslim (2029)]
Mengenai perkara ini Imam al-Nawawi menyatakan bahawa :
هذه الأحاديث بيان هذه السنة الواضحة وهو موافق لِمَا تَظَاهَرَتْ عَلَيْهِ دَلَائِلُ الشَّرْعِ مِنِ اسْتِحْبَابِ التَّيَامُنِ فِي كُلِّ مَا كَانَ مِنْ أَنْوَاعِ الْإِكْرَامِ وَفِيهِ أَنَّ الْأَيْمَنَ فِي الشَّرَابِ وَنَحْوِهِ يُقَدَّمُ وَإِنْ كَانَ صَغِيرًا أَوْ مَفْضُولًا لِأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدَّمَ الْأَعْرَابِيَّ... عَلَى أَبِي بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ تعالى عنه... نُهِيَ عَنْ شَوْبِهِ إِذَا أَرَادَ بَيْعَهَ لِأَنَّهُ غِشٌّ قَالَ الْعُلَمَاءُ وَالْحِكْمَةُ فِي شَوْبِهِ أَنْ يبرد أو يكثر أو للمجموع
Maksudnya : “Hadis-hadis ini merupakan penerangan kepada sunnah yang sudah jelas iaitu selari dengan apa yang telah jelas mengenainya melalui dalil-dalil syarak bahawa sunat mendahulukan kanan dalam semua perkara yang baik (mulia) dan antaranya ialah orang di sebelah kanan bagi tujuan diberi minum atau seumpamanya didahulukan sekalipun dia masih kecil atau mafdhul (kedudukannya kurang utama) kerana Rasulullah SAW telah mendahulukan orang Arab Badwi… berbanding Abu Bakar R.A… Selain itu, tidak dibenarkan untuk mencampurkannya (dengan air) sekiranya dia mahu menjualnya kerana itu adalah termasuk dalam menipu. Para ulama menyebutkan bahawa hikmah mencampurkan (susu dan air) ialah sama ada untuk menyejukkannya atau memperbanyakkannya atau kedua-duanya.” (Lihat Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 13/200-201)
Begitu juga, al-‘Iraqi ada menyebutkan bahawa :
فِيهِ جَوَازُ شَوْبِ اللَّبَنِ أَيْ خَلْطِهِ بِالْمَاءِ إذَا كَانَ الْقَصْدُ اسْتِعْمَالَهُ لِنَفْسِهِ أَوْ لِأَهْلِ بَيْتِهِ أَوْ لِأَضْيَافِهِ... وَقَدْ يَكُونُ لَهُ سَبَبٌ آخَرُ، وَهُوَ إزَالَةُ حَمْضِهِ أَوْ تَخْفِيفُهُ.
Maksudnya : “Padanya menunjukkan bahawa hukumnya adalah harus mencampurkan susu dengan air sekiranya ia adalah untuk kegunaan sendiri atau ahli keluarganya atau tetamu-tetamunya… dan boleh jadi ada sebab yang lain (mencampurkan susu dengan air) iaitu menghilangkan rasa masam susu atau mengurangkannya (rasa masam tersebut)” (Lihat Torh al-Tasrib fi Syarh al-Taqrib, 6/23)
Selain itu, berkemungkinan kerana sifat pada susu itu sendiri serta faktor setempat sebagaimana disebutkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani bahawa mereka mencampurkan susu dengan air kerana susu ketika ia diperah sifatnya adalah panas dan begitu juga dengan negeri berkenaan (Tanah Hijaz) kebiasaannya juga panas. Maka, mereka akan mengurangkan panas susu tersebut dengan air sejuk. (Lihat Fath al-Bari, 10/76)
  1. Membaca doa selepas minum susu
Sebagaimana yang telah kita ketahui sunat untuk kita membaca basmalah sebelum makan dan minum. Ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW :
سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بيَمِينِكَ، وَكُلْ ممّا يَلِيكَ
Maksudnya : “Bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.”
[HR al-Bukhari (5376) dan Muslim (2022)]
Antara hikmahnya adalah supaya makanan dan minuman tersebut diberkati Allah SWT dan jauh daripada syaitan. Seorang sahabat Nabi SAW ada menceritakan bahawa :
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم جالسا، ورجلٌ يأكلُ، فلم يُسمّ حتى لم يبقَ من طعامه إلا لقمة، فلما رفعها إلى فِيه، قال: بسم الله أوّله وآخرُه؛ فضحكَ النبيّ صلى الله عليه وسلم، ثم قال: "ما زَالَ الشَّيْطانُ يأكُلُ مَعَهُ، فَلَمَّا ذَكَرَ اسْمَ اللَّهِ اسْتَقَاءَ ما في بَطْنِهِ"
Maksudnya : “Rasulullah SAW pernah duduk, dan ada seorang lelaki sedang makan tetapi tidak membaca nama Allah sehinggalah tidak tinggal daripada makanannya melainkan satu suapan sahaja. Kemudian, tatkala dia mengangkat suapan terakhir tersebut ke dalam mulutnya, dia membaca, ‘Bismillahi Awwaluhu wa Akhiruhu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya). Nabi SAW ketawa dan kemudiannya bersabda : “Syaitan terus makan bersamanya, kemudian apabila dia menyebut nama Allah, syaitan itu memuntahkan semula apa yang ada di dalam perutnya (yang dimakan).” [HR Abu Daud (3768)]
Adapun doa selepas meminum susu, daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda :
مَا أَعْلَمُ شَرَابًا يُجْزِئُ عَنِ الطَّعَامِ غَيْرَ اللَّبَنِ، فَمَنْ شَرِبَهُ مِنْكُمْ فَلْيَقُلْ : اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ، وَمَنْ طَعِمَ طَعَامًا فَلْيَقُلْ : اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ
Maksudnya : “Tidak aku ketahui satu minuman yang dapat menggantikan makanan selain daripada susu. Sesiapa dalam kalangan kamu yang minum susu, hendaklah dia mengucapkan : ‘Allahumma barik lana fihi wazidna minhu’ (Ya Allah berkatilah kami dengan apa yang ada di dalamnya dan tambahkan buat kami daripadanya), manakala sesiapa yang makan makanan, hendaklah dia mengucapkan : ‘Allahumma barik lana fihi wa at’imna khairan minhu’ (Ya Allah berkatilah kami dengan apa yang ada di dalamnya dan berilah kami makanan yang lebih baik daripadanya).” [HR Ahmad (2569)]
Syeikh Muhsin al-Abbad mengatakan bahawa doa ini adalah khusus buat sesiapa yang minum susu berbanding yang lain kerana dengan susu sahaja sudah cukup (mengenyangkan) dan tidak perlu lagi kepada makanan dan minuman. (Lihat Syarah Sunan Abi Daud, 422/9)
  1. Berkumur-kumur selepas minum susu
Disunatkan untuk berkumur-kumur selepas meminum susu sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW dalam banyak riwayat. Antaranya, riwayat daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa :
أنَّ رَسولَ اللَّهِ ﷺ شَرِبَ لَبَنًا فَمَضْمَضَ، وقالَ : إنَّ له دَسَمًا
Maksudnya : “Rasulullah SAW telah meminum susu dan lalu baginda berkumur-kumur. Dan Baginda SAW bersabda : “Sesungguhnya susu mengandungi lemak”
[HR al-Bukhari (211)]
Mengenai perkara ini, Ibn Khuzaimah telah menyebutkan di dalam kitabnya, bab menyatakan dalil bahawa berkumur-kumur selepas meminum susu adalah sunat bagi menghilangkan lemak (lemak susu) di dalam mulut dan bukannya mewajibkan berkumur-kumur selepas meminumnya. (Lihat Sahih Ibn Khuzaimah, 1/29)
Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa :
فِيهِ اسْتِحْبَابُ الْمَضْمَضَةِ مِنْ شُرْبِ اللَّبَنِ... وَكَذَلِكَ غَيْرُهُ مِنَ الْمَأْكُولِ وَالْمَشْرُوبِ تُسْتَحَبُّ لَهُ الْمَضْمَضَةُ وَلِئَلَّا تَبْقَى مِنْهُ بَقَايَا يَبْتَلِعُهَا فِي حَالِ الصَّلَاةِ وَلِتَنْقَطِعَ لُزُوجَتُهُ وَدَسَمُهُ وَيَتَطَهَّرَ فَمُهُ
Maksudnya : “Padanya terdapat dalil bahawa hukumnya adalah sunat untuk berkumur-kumur selepas minum susu… Dan demikianlah pada selainnya yang terdiri daripada makanan dan minuman, disunatkan untuk berkumur-kumur (selepas selesai makan dan minum), supaya tidak ada baki sisa yang tertinggal lalu dia menelannya semasa sedang solat. Juga bagi menghilangkan lekit dan lemaknya serta membersihkan mulutnya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/46)
Ibn Muflih al-Hanbali juga menyebutkan bahawa sunat berkumur-kumur selepas meminum susu. Kemudian, beliau menyebut sebahagian para ulama mazhab Hanbali yang terkemudian (mutaakhirin) ada menukilkan daripada para doktor bahawa kerap kali (banyak) meminum susu boleh merosakkan gigi dan gusi. Oleh sebab itu, perlunya berkumur-kumur dengan air selepas meminumnya. (Lihat al-Adab al-Syar’iyyah, 3/219)
Oleh itu, kita boleh fahami bahawa antara hikmah daripada perbuatan tersebut ialah menjaga kebersihan mulut daripada bau atau perkara yang kurang menyenangkan. Sesuai sebagaimana nilai-nilai yang sangat diberi perhatian oleh agama kita Islam soal kebersihan dan bersuci. Sabda Nabi SAW :
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya : “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”
[HR Muslim (223)]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami simpulkan semula kepada beberapa perkara :
  • Sunnah sangat luas merangkumi setiap sudut dan nilai yang ditunjukkan oleh Nabi SAW sama ada daripada segi perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah, sifat khalqiyyah dan kehidupan baginda SAW sama ada sebelum perutusan baginda SAW menjadi rasul sebagaimana yang telah ditakrifkan oleh ahli Hadis. (Lihat Qawaid al-Tahdith, hlm. 61)
Bagi mendapatkan perbahasan lanjut berkenaan sunnah, bolehlah merujuk artikel kami di dalam Irsyad al-Hadith Siri ke-250 : Berinteraksi Dengan Sunnah.
  • Rasulullah SAW adalah qudwah dan uswah terbaik yang wajib dicontohi oleh setiap orang Islam, dalam menjalani dan menempuh kehidupan seharian. Sebagaimana firman Allah SWT :
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
Maksudnya : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”
(Surah al-Ahzab : 21)
  • Di antara amalan sunnah ketika meminum susu yang Nabi SAW sentiasa menjaganya (melakukannya) ialah mencampurkan susu dengan air, membaca doa selepas meminum susu dan berkumur-kumur selepas meminumnya.
  • Sesuatu amalan atau perkara yang dilakukan oleh Nabi SAW sekalipun asalnya adalah bersifat uruf atau adat setempat, namun sekiranya seseorang itu mengikuti atau melakukannya kerana cinta dan mahu ikut Nabi SAW, dia tetap diberi pahala sebagaimana Abdullah bin Umar R.Anhuma yang sangat terkenal sebagai seorang sahabat yang akan cuba sedaya upaya buat apa yang baginda buat.
Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan bagi mengamalkan syariatNya serta sunnah nabiNya dengan sebaik mungkin.

Sumber : www.muftiwp.gov.my

Post a Comment

0 Comments