MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Ulama Al-Azhar dan Ucapan Tahniah Kepada Bukan Muslim Atas Perayaan Mereka

Saban tahun, isu samada dibolehkan atau tidak mengucapkan tahniah kepada penganut Kristian sempena Hari Krismas terus berlegar di media sosial. Kami tetap berpegang dengan pendirian mengharuskannya dengan garis panduan tertentu, sebagaimana yang telah dijawab pada 24 Disember 2018 dengan tajuk Mengucapkan “Merry Christmas” Kepada Mereka Yang Beragama Kristian. Kami amat sarankan semua umat Islam di Malaysia membacanya. Diharapkan ia dapat menamatkan perbalahan sesama umat Islam yang berlanjutan saban tahun. Hormat menghormati dan menerima perbezaan adalah kunci utama bagi penyelesaian isu ini.
Penulisan kali ini mungkin agak ringkas kerana kami hanya ingin berkongsi pandangan sebahagian para ulama al-Azhar yang mengharuskan ucapan tahniah kepada bukan Muslim, dan dalam konteks artikel ini, penganut agama Kristian.
Sebelum meneruskan pembacaan, umat Islam di Malaysia perlu memahami bahawa isu ini perkara ijtihadi yang berkait rapat dengan hubungan sosial bersama masyarakat bukan Islam atau yang selalu kami sebutkan sebagai fiqh al-ta’ayush (co-existence). Penentuan hukum ini perlu mengambil kira segenap sudut maklumat melibatkan demografi, statistik, taburan penduduk, racial tension dan lain-lain disamping meneliti al-Qur’an, al-Sunnah, ijma’ dan qiyas. Inilah antara faktor-faktor kami tekuni semasa menulis artikel ini pada tahun 2016 dan dikemaskini pada 2018.
Kaedah yang masyhur sebagaimana yang disebutkan:
الاجتهاد لا ينقض بالاجتهاد
Maksudnya: “Ijtihad itu tidak membatalkan ijtihad yang lain.”
Disebabkan ijtihad itu terhasil daripada pemikiran manusia dan melibatkan perkara zhan (sangkaan), tidak boleh memaksa orang yang telah berijtihad mengikut mana-mana ijtihad lain, memandangkan keupayaan dan sudut pandang antara satu sama lain adalah berbeza. Begitu juga tiada siapa yang berhak mengisytiharkan pendapatnya adalah yang paling benar. Inilah keluasan Islam dalam hal ijtihad.
Berikut adalah pandangan para ulama’ al-Azhar dalam isu ini:
Syeikh Mustafa al-Zarqa
Syeikh Musthafa Zarqa’ mengharuskannya atas dasar mujamalah dan pergaulan baik sesama manusia, dan Islam tidak pernah melarang hal ini. (Rujuk Fatawa Mustafa al-Zarqa’, m. 357)
Syeikh Muhammad Rashid Redha
Syeikh Muhammad Rashid Redha menulis bahawa maslahah rakyat sesebuah negara tertakluk kepada hubungan sesama mereka. Akhlak yang buruk jka disandarkan kepada agama merupakan sebesar-besar fitnah dan tohmahan terhadap agama. Maka hendaklah kaum Muslimin menziarahi orang Kristian sewaktu perayaan mereka dan bergaul dengan mereka dengan akhlak yang baik. (Lihat Majallah al-Manar, 7/24) Daripada fatwa ini kita fahami, jika beliau mengharuskan menziarahi mereka sewaktu perayaan mereka, maka sekadar mengucapkan tahniah pastinya lebih ringan hukumnya.
Syeikh Dr. Ahmad al-Tayyib[1]
Syeikh Dr. Ahmad al-Tayyib menegaskan bahawa ianya adalah satu bentuk wasatiyyah (kesederhanaan). Beliau juga berpegang dengan firman Allah SWT
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Surah al-Mumtahanah (8)
Mengucapkan tahniah termasuk dalam kebaikan (al-birr). Begitu juga firman Allah SWT:
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
Maksudnya: Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.
(Surah al-Ma’idah: 82)
Malah, umum mengetahui beliau juga biasa mengunjungi gereja sempena perayaan Krismas bersama para ulama' al-Azhar yang lain bagi mengucapkan tahniah kepada Pope Tawadros II di Iskandariah, Mesir.
Syeikh Syauqi Ibrahim Abdul Karim 'Allam[2]
Syarak tidak melarang umat Islam untuk mengucapkan tahniah sempena perayaan mereka. Malah, mereka yang mengucapkannya tidak terkeluar daripada agama sebagaimana yang didakwa oleh golongan yang keras dan tidak arif tentang kesempurnaan teks-teks syar’iyyah dan meraikan siyaqnya.
Syeikh Dr. Ali Jum’ah[3]
Diharuskan bagi umat Islam mengucapkan mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam yang bergembira dengan perayaan mereka. Perayaan orang Kristian berbeza dengan yang lain kerana ianya berkaitan dengan kelahiran Nabi ‘Isa alaihissalam. Nabi Isa jua adalah antara Nabi kita yang dikasihi.
Firman Allah SWT:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Surah al-Mumtahanah (8)
Umat Islam bersepakat bahawa al-birr dalam ayat ini membawa maksud tahniah, takziah, ta’ayush, kemuliaan dan rahmah.
Markaz al-Azhar al-‘Alami li al-Fatwa al-Iliktruniyyah
Mengucapkan tahniah kepada penganut Kristian sempena hari-hari perayaan mereka adalah dibolehkan. Ianya termasuk dalam bab ihsan dan berbuat baik kepada mereka. Sebagaimana ianya termasuk juga dalam bab perkataan yang lembut dan baik. Kesemuanya ini telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada kita dan seluruh manusia tanpa dibeza-bezakan, khususnya kepada ahli kitab yang berkongi tanah air dan persaudaraan atas dasar kemanusiaan.
Ini sebagaimana firman Allah SWT:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Surah al-Mumtahanah (8)
Kesimpulan
Kami menutup penulisan ini dengan ulasan daripada Syeikh Abdullah bin Bayyah, Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin yang amat kami hormati dan kasihi.
Menurut Syeikh Abdullah bin Bayyah, adalah diharuskan untuk kita mengucapkan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka sama ada melalui lisan ataupun bertulis, selagimana tidak mengandungi syiar-syiar keagamaan mereka yang bercanggah dengan Islam seperti salib.
Ucapan tahniah sempena perayaan ini tidak menunjukkan sebarang pengakuan atau keredhaan ke atas kebenaran agama mereka, bahkan ia hanya satu bentuk mujamalah (perkataan yang baik dan penuh hormat) sesama manusia. Hal ini lebih-lebih lagi sekiranya kita mempunyai hubungan kekerabatan, persahabatan dan kemasyarakatan dengan mereka. Namun, beliau tetap menegaskan akan keharaman orang Muslim menyambut sebarang perayaan orang bukan Islam sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian Muslim pada hari ini. (Lihat Sina’ah al-Fatwa wa Fiqh al-Aqalliyyat, m 430-435)
Hal ini juga dihuraikan dengan lebih mendalam dalam rakaman video yang dimuatnaik di Youtube yang dilampirkan di sini.[4]
Semoga kita semua berlapang dada dalam persoalan ijtihad ini dan mendalami ilmu dengan penuh insaf dan hormat kepada apa jua perbezaan selagimana masih berada di atas landasan syarak.

hukum Mengucapkan Merry Christmas
Diterbitkan pada 25 Disember 2019
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Post a Comment

0 Comments