Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL)
2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari
bermula malam tadi (18 Disember 2019) sehingga 21 Disember 2019 (sabtu) dan
dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.
Persidangan kelima (5) kali ini membawakan tema
'Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara'
Tun Dr Mahathir Mohamad juga Pengerusi Sidang
Kemuncak berkongsi pengalaman dan kejayaan Malaysia mewujudkan suasana damai
dan harmoni walaupun mempunyai masyarakat pelbagai anutan agama, kaum dan
kepercayaan.
Katanya, walaupun majoriti rakyat Malaysia adalah
orang Islam, negara ini mempunyai kelompok minoriti besar yang berbeza agama,
budaya, adat istiadat dan cara hidup.
“Kami bukan umat Islam yang sempurna atau model
negara Islam yang baik, tetapi kami membuktikan dapat hidup dalam keadaan aman
damai dan harmoni bersama masyarakat bukan Islam sejak berdekad lalu sejak kami
merdeka.
“Memang diakui, wujud konflik antara kaum dan
agama, tetapi ia jarang berlaku dan kecil sifatnya, tidak wajar jika kita
membandingkannya dengan tempoh kedamaian, muhibah dan kemakmuran dikecapi.
“Dalam minda kita, itulah yang Islam perintah
kita lakukan, untuk hidup aman damai dengan rakyat dan orang bukan Islam
membina negara yang makmur, aman dan harmoni," katanya.
Perdana Menteri berharap perwakilan yang
menghadiri sidang kemuncak ini juga merebut peluang untuk mendekati saudara
Islam lain seperti diperintahkan dalam al-Quran.
“Pepatah Melayu ada menyebut ‘tak kenal maka tak
cinta’, secara harfiah diterjemahkan bermakna anda tidak akan menyintai jika
tidak saling mengenali,” katanya turut berharap apabila persidangan berakhir,
ia dapat mengesahkan beberapa inisiatif khusus yang boleh menjadi pemangkin
kepada perkara lebih besar.
Sidang Kemuncak KL 2019 ini memberikan tumpuan
kepada tujuh teras utama iaitu:-
1. Pembangunan
dan kedaulatan negara,
2. Integriti
dan tadbir urus yang baik,
3. Kebudayaan
dan identiti,
4. Keadilan
dan kebebasan,
5. Keamanan,
keselamatan dan pertahanan,
6. Perdagangan
dan pelaburan
7. Teknologi
dan tadbir urus Internet.
Pengisian persidangan tersebut di antaranya isu-isu:
- Kebangkitan Islamofobia dan mengatasinya.
- Etnik Rohingnya.
- Pemenjaraan/penahanan umat Islam di seluruh dunia.
- Penghijrahan besar-besaran umat Islam akibat perang saudara.
Turut hadir dan menyertai persidangan Sidang
Kemuncak KL 2019 ini ialah:-
- Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani
- Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan
- Presiden Iran Hassan Rouhani
- Naib Presiden Indonesia Ma’ruf Amin
- Penasihat Negara Uzbekistan kepada Presiden, Rustam Kasimov
Kira-kira 450 wakil dari 56 negara Islam dan 800
pengamal media dalam dan luar negara menghadiri sidang kemuncak ini terdiri
daripada pemikir, intelektual, ahli politik dan pemimpin masyarakat.
Tun
Dr Mahathir Mohamad melahirkan harapan bahawa Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019
akan membuka jalan ke arah pencapaian yang lebih besar bagi ummah.
Pada 18 Disember 2019 (Siang) Perdana Menteri, Dr
Mahathir Mohamad, mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Turki, Recep Tayyip
Erdogan di Perdana Putra, di luar Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.
Hasil pertemuan tersebut menyaksikan pertukaran
beberapa dokumen perjanjian antara kedua-dua kerajaan dan perniagaan kedua-dua
negara dalam pelbagai bidang.
Perjanjian tersebut, antara lain, merangkumi
kerjasama dua hala dalam bidang sains dan teknologi dan sejumlah 13 pertukaran
dokumen perjanjian antara entiti perniagaan kedua-dua negara itu dalam bidang
pertahanan turut berlangsung.
Antara lain ialah memorandum perjanjian (MOA)
antara Sapura Secured Technologies Sdn Bhd dan Aselsan Electronic mengenai
domain komunikasi ketenteraan dan memorandum persefahaman (MOU) antara Havelsan
Hava Electronic dan AMP Corporation Sdn Bhd mengenai Radar Pengawas Pantai.
Selain itu, pertukaran dokumen juga melibatkan
MOU antara Tijan Galaxy Aerospace Consortium Sdn Bhd dan Baynar Makina mengenai
kerjasama, rakan perkongsian, perkongsian ilmu dan pertukaran teknologi
berhubung pesawat tanpa pemandu (UAV) dan perkhidmatan.
KL Summit 2019
KL Summit 2019
Sumber: Akhbar Tempatan dan YouTube
0 Comments