Dua beradik dari
Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020, Tanjung Malim, Perak. Shaheer
Pandurar, 10 dan Shahmeer, 12, menerima Anugerah Pencipta Antarabangsa (WIA)
sempena Festival Anugerah Pencipta Antarabangsa (WIAF) yang berlangsung di
Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.
Anugerah diterima
melalui inovasi dan reka cipta Basikal Pengecas atau dikenali sebagai Enviro
Cycle Charger yang dibeli oleh bapa mereka dengan harga RM7 sahaja daripada
seorang penjual.
Walaupun menerima
anugerah melalui pos, namun dua beradik tetap berbangga kerana dapat
mengharumkan nama negara dalam bidang inovasi dan reka cipta pada peringkat
antarabangsa.
Shahmeer berkata,
mereka berdua tidak berpeluang terbang ke Seoul kerana tidak berkemampuan
daripada segi kewangan tetapi atas usaha guru Sains, Dr S Santharasekaran,
membawa hasil inovasi dan reka cipta itu ke WIAF, nyata usaha itu berbaloi.
Mereka gembira
kerana mampu menghasilkan basikal yang boleh menghasilkan tenaga elektrik
ketika ditunggang.
“Kami terkejut
apabila dipanggil oleh pihak sekolah semalam untuk menerima anugerah ini yang
diposkan oleh pihak penganjur, walaupun kami tidak dapat hadir ketika festival
berlangsung.
“Anugerah ini
sangat bermakna kepada kami berdua sepanjang kami membabitkan diri dalam bidang
inovasi dan reka cipta,”
Sepanjang tahun
ini, dua beradik itu dibantu seorang lagi adik mereka, iaitu Shazlan berusia 9
tahun memenangi lapan pingat emas, empat perak, satu gangsa dan dua anugerah
‘Best Of The Best’ beberapa pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Shameer berkata,
kejayaan demi kejayaan yang diperolehi semenjak menyertai pertandingan inovasi
dan reka cipta memberi motivasi dalam mengubah masa depan kehidupan mereka.
Mereka kini bukan
sahaja mula dikenali oleh masyarakat sekitar malah di seluruh negara, dan ramai
yang ingin menjadi rakan untuk berkongsi maklumat dan kejayaan mereka melalui
media sosial.
Sumber: Berita Harian & KPM
0 Comments