MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Sejarah Kewujudan Air Zam Zam


Kewujudan Air Zam Zam sinonim dengan sejarah Hajar dan puteranya Nabi Ismail a.s yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s di sebuah lembah yang gersang lagi tiada berpenghuni atas perintah Allah swt. Baginda telah meninggalkan isteri dan puteranya Ismail a.s yang masih menyusu itu di kawasan tersebut dengan hanya berbekalkan sebuah bekas daripada kulit yang mengandungi beberapa biji buah tamar dan seuncang air.

Apabila bekalan telah habis, diikuti keringnya susu Hajar,  puteranya Ismail a.s mulai menangis kerana kepanasan dan dahaga. Sedih melihat situasi itu, Hajar telah memberanikan diri dengan pergi mendaki sebuah bukit yang berhampiran iaitu Bukit Safa dengan harapan dapat bertemu dengan manusia yang dapat menolongnya. Setelah mendapati tiada apa-apa, beliau turun lalu berjalan hingga tiba di sebuah bukit iaitu Bukit Marwah. Hajar mendaki bukit tersebut dengan harapan yang sama namun tetap hampa. Begitulah berlarutan perbuatan tersebut sehingga mencecah tujuh (7) kali ulang alik.

Satu ketika pada saat semakin kritikal, semasa Hajar tiba di Bukit Marwah pada kali terakhirnya. Hajar mendengar satu suara yang apabila diamati dengan penuh teliti datangnya dari arah di mana puteranya Ismail a.s ditinggalkan. Alangkah terkejutnya Hajar apabila mendapati ada air yang sedang terpancar berhampiran Ismail a.s. Hajar dengan segera membuat kepungan sambil berkata "tazammami" (tazammu) agar air yang terpancar itu tidak melimpah keluar. Sempena dengan peristiwa itu ia dinamakan Telaga Zamzam. Setelah itu, Hajar mengisi bekas airnya yang kosong itu dengan air tersebut.

Dengan wujudnya Telaga Zamzam, diikuti dengan pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim a.s dan puteranya Nabi Ismail a.s yang mana jarak antara keduanya hanyalah kira-kira 18 meter sahaja. Bumi Makkah yang dahulunya sebuah kawasan yang gersang serta tiada berpenghuni telah mula didiami manusia, sehingga hari ini Makkah menjadi tumpuan penganut agama Islam untuk menunaikan ibadah Haji, Umrah dan ekonominya berkembang pesat.

Sumber : Buku Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah 

Post a Comment

0 Comments