Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM menjelaskan mengenai status halal produk madu jenama ALSHIFA yang diedar oleh Syarikat Teik Senn (M) sdn Bhd serta turut didakwa mengedar produk yang tidak halal.
Untuk makluman pengguna, produk madu jenama ALSHIFA tersebut dikilangkan oleh Sunbulah Al Shifa Honey Bottling Plant dari Arab Saudi dan telah dipersijilkan halal oleh Halal Certification Services (HCS) yang merupakan badan pensijilan halal luar negara diiktiraf oleh JAKIM di negara Switzerland manakala Teik Senn (M) sdn Bhd hanyalah pengimport dan pengedar produk terbabit.
Justeru, JAKIM menyeru agar masyarakat lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah firnah, salah faham sesama ummah dan menjejaskan keharmonian negara. Jadilah pengguna yang bijak, bermaklumat dan berakhlak mulia.
Sumber: Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM
0 Comments